NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pencemaran Kimia Pasir Gudang: Ini nasihat pakar



PENCEMARAN KIMIA PASIR GUDANG, INI NASIHAT PAKAR

Oleh Dr Abu Furqan

Berikut beberapa pandangan dan panduan penting berkaitan pencemaran kimia di Pasir Gudang:

Antara bahan kimia utama yang dikenalpasti adalah:

a. Acrylonitrile.

Amat bahaya dan amat toksik/beracun, juga merupakan agen kanser (biasanya paru-paru) serta 'teratogenic' iaitu boleh menyebabkan kecacatan bayi dalam kandungan jika terdedah BERTERUSAN (biasanya bulan atau tahun). 

Biasanya dalam bentuk cecair atau wap dan takat yang dibenarkan hanya 2 ppm atau 2 bahagian dalam 1 juta bahagian udara. Analoginya ialah sukatan 2 sudu gula dalam 1 juta sudu air; serta semakin tinggi, semakin pekat dan bahaya. 

Mengikut sumber Bomba, kepadatannya di Pasir Gudang melebihi takat yang dibenarkan. Manakala, takat bahaya melampau adalah 85 ppm. Berdasarkan simptom dan maklumat berita, diyakini kepekatan yang dihidu mangsa-mangsa di Pasir Gudang tidak melebihi takat lampau ini.

Ia larut di dalam air; dengan demikian cuaca panas dan tiada/sedikit hujan menyebabkan kimia ini yang sedia ada dalam dan sepanjang sungai meruwap lalu dibawa angin.

Lebih berat daripada udara. Bila meruwap dan terapung bersama dalam udara, dgn kehadiran angin kuat ia akan bergerak dan mengancam pernafasan penduduk dan anak-anak. Semakin kuat angin, maka semakin luas penyebarannya. Memandangkan puncanya di sungai, maka kepekatannya tinggi di kawasan sekitar sungai dan apabila tersebar semakin luas, semakin kurang kepekatan dan semakin kurang risikonya kepada manusia.

Namun, jika sebaran itu masih mempunyai kepekatan tinggi melebihi takat yang dibenarkan, untuk keluasan tertentu, ia meningkatkan risiko keracunan. Kemungkinan inilah penyebab gelombang keracunan berkali-kali.

b. Methane/Metana.

Bahaya tetapi hanya sedikit toksik. Gas ini tidak berwarna, tiada rasa dan tidak berbau menyebabkan mangsa akan terus terasa sesak nafas tanpa tanda amaran. Namun, ia tidaklah seteruk acrylonitrile, bukan agen kanser dan tiada data mengenai sebarang kesan pada bayi dalam kandungan. Boleh melemaskan nafas kerana bersifat menyisihkan oksigen daripada udara. Takat yang dibenarkan terdedah adalah tidak melebihi 1000 ppm dalam 8 jam. Takat bahaya segera dan mengancam nyawa ialah 50000 ppm.

Tidak larut dalam air tetapi lebih ringan daripada udara, malah ia lebih ringan juga daripada acrylonitrile. Ini bermakna sebaran metana akan lebih meluas dan sekata di dalam udara daripada acrylonitrile. Namun, takat yang amat tinggi diperlukan untuk mendatangkan mudarat dalam ruang terbuka menyebabkan risikonya sementara dan kurang berbanding acrylonitrile.

c. Hydrogen Chloride/Hidrogen Klorida

Bahaya dan bertoksik. Gas berasid yang amat menghakis saluran pernafasan, kulit dan mata. Menyebabkan rasa pedih terbakar apabila terhidu dan terkena mata. Takat selamat hanya 2 - 5 ppm serta amat memudaratkan jika terhidu/terdedah melebihi takat ini. Boleh menyebabkan kematian.

Ia boleh larut dalam air menjadi asid hidroklorik.

Namun dalam bentuk gas, ia lebih berat daripada udara dan hanya akan beredar di sekitar permukaan serta sukar terapung tinggi di ruang angkasa. Sebarannya tidak akan seluas metana. Namun, jika angin kuat dan kepekatannya tinggi, kawasan sebaran akan lebih besar dan amat berbahaya. Boleh membentuk kelompok-kelompok gas/wap yang berkepekatan tinggi di kawasan kurang terbuka walaupun tidak 'seliar' (a) dan (b).

d. Acrolein

Bahaya dan bertoksik: Gas berasid yang amat menghakis dan boleh menyebabkan kematian jika terdedah serendah 10 ppm. Sifat sama seperti (c). Takat selamat dibawah 0.1 ppm untuk 8 jam pendedahan. Berkemungkinan agen kanser. Kurang larut dalam air tetapi mudah meresapi sumber air bawah tanah dan terurai secara sederhana di dalam masa 1 - 10 hari. Lebih berat daripada udara. Jadi, kemungkinan sebarannya akan seumpama (c).

e. Benzene

Bahaya dan bertoksik. Tiada warna tetapi berbau harum seperti ‘benda manis’. Agen kanser terutama kanser darah (leukemia). Takat selamat di dalam udara adalah dibawah 1 ppm untuk pendedahan 8 jam. Pendedahan melampau melebihi 50 ppm boleh menyebabkan radang paru-paru, anemia (kurang darah) dan maut. Ia tidak larut air dan amat berat berbanding udara. Sebaran akan seumpama (c) dan amat bahaya jika berkepekatan tinggi kerana sukar ‘dicairkan’ oleh angin.

f. Toluene

Bahaya dan bertoksik. Sifat hampir sama seperti benzene termasuk berbau harum. Bukan agen kanser tetapi dikesan boleh merosakkan organ pembiakan dan berisiko kepada bayi dalam kandungan. Takat selamat dalam udara adalah dibawah 50 ppm untuk pendedahan 8 jam. Jadi, kurang berisiko berbanding benzene. Tidak larut di dalam air dan amat berat berbanding udara dan benzene. Sebaran akan seumpama (c) dan (e).

g. Xylene

Bahaya dan bertoksik: Sifat hampir sama seperti benzene dan toluene termasuk bau harum. Boleh meracuni paru-paru dan organ pernafasan. Amat toksik kepada hidupan air untuk jangka masa panjang. Takat selamat adalah dibawah 100 ppm untuk pendedahan 8 jam. Kurang berisiko berbanding benzene dan toluene.Tidak larut di dalam air dan lebih berat daripada udara, benzene dan toluene. Sebaran akan seumpama (c) dan (e).

h. Limonene

Kurang bahaya dan kurang toksik: Sifat hampir sama seperti benzene, toluene dan xylene. Banyak digunakan sebagai pewangi berbau limau/lemon. Tiada rekod toksik kepada manusia melainkan gangguan pernafasan yang tidak kritikal. Namun amat toksik kepada hidupan air untuk jangka masa panjang. Tidak larut di dalam air, terapung di permukaan air dan lebih berat daripada udara.

2. Risiko maksimum terhadap manusia seperti kanser dan kecacatan bayi dalam (1) di atas adalah jika terdedah secara berterusan untuk jangka masa yang lama pada takat melebihi paras selamat. Segala usaha pemulihan dan pembersihan perlu dibuat agar sisa kimia ini tidak berterusan wujud di dalam persekitaran Pasir Gudang.

3. Namun, tanda-tanda keracunan menghidu toksik seperti sesak nafas, pitam, pengsan, muntah, sakit kepala, mual, pening, gangguan saraf, kepedihan mata, gatal kulit dan sebagainya menunjukkan paras pencemaran kombinasi bahan kimia di atas adalah melebihi takat selamat tetapi belum mencapai tahap sangat kritikal yang mengancam nyawa untuk kebanyakan penduduk yang sihat.

4. Namun, takat pencemaran ini boleh menjadi amat bahaya dan kritikal kepada rakyat yang sedia ada masalah pernafasan, kanak-kanak dan juga orang tua.

5. Kecuali metana/methane, kesemua kimia toksik yang dikenalpasti adalah lebih berat daripada udara dan kemungkinan kebanyakannya dalam bentuk wap (vapour). Kesemuanya juga murah meruap dan terbakar. Sifat wap lebih bahaya kerana berlegar pada paras pernafasan manusia dan perlahan untuk dineutralkan oleh aliran angin.

6. Wap-wap dan gas beracun ini meruap serta tersebar hasil gabungan ‘resepi’ cuaca panas, angin, kepekatan sumber kimia pencemar yang tinggi dan ketiadaan hujan. Jika resepi ini masih ada dipersekitaran Pasir Gudang, risiko gelombang keracunan akan berulang.

7. Masa bertindak amat kritikal sejak dikenalpasti wujud pencemaran dan pembuangan sisa kimia ini. Tindakan lambat dan membiarkan sisa kimia mengalir ke dalam anak Sungai Kim Kim yang mungkin tidak mampu atau perlahan dalam mencairkan kepekatan kimia itu boleh menukarkan sepanjang sungai tersebut sebagai agen pembawa/senjata kimia apabila digabungkan dengan resepi di atas.

8. Kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Bomba yang mendakwa kerajaan lambat bertindak kerana kos pembersihan awal yang tinggi amat mengejutkan kerana ia sebenarnya telah menjadikan sungai Kim Kim sebagai senjata beracun mengalirkan sisa kimia berkepekatan tinggi yang meruap apabila cuaca panas lalu diangkut dan disebar luas oleh angin kepada penduduk sekitar.

9. Penyelesaian terbaik untuk rakyat di kawasan tercemar adalah untuk keluar daripada kawasan tersebut sehingga kandungan sisa kimia semakin ‘cair’ dan hilang terutamanya jika berlaku hujan lebat berserta aktiviti pembersihan oleh pihak berkuasa.

10. Memandangkan pencemaran berlaku di kawasan terbuka dan bahan kimia kebanyakannya lebih berat daripada udara, pengurangan aktiviti luar dan perlindungan di dalam rumah/bangunan, menutup tingkap rumah/bangunan, menutup ruang pintu/tingkap dengan kain lembap sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan kesan pencemaran.

11. Walau bagaimanapun, jika pencemaran masih tinggi, berlindung di dalam rumah tidak efektif untuk jangka masa panjang.

12. Langkah-langkah pembersihan dengan banyakkan mandi, membasuh muka, membasuh pakaian tercemar, memakai topeng gred bersesuaian apabila diluar boleh membantu mengurangkan pendedahan kepada sisa kimia terbabit.

13. Kos pembersihan yang mencecah jutaan ringgit sepatutnya ditanggung oleh penjenayah alam sekitar terbabit. Denda maksimum RM500K amat rendah berbanding kesan dan akibat jenayah tersebut. Ini praktis di kebanyakan negara maju.

14. Perlu perbanyakkan doa dan solat hajat memohon keselamatan serta memohon hujan agar pembersihan semulajadi yang terbaik daripada Allah SWT berlaku.

15. Kerajaan juga boleh menimbangkan pembenihan hujan di kawasan terbabit sekiranya keadaan masih serius dan gagal dikawal disamping pembersihan sedia ada.

Segala yang benar dan tepat hanya daripada Allah SWT. Wallahualam.

Dr Abu Furqan merupakan seorang ahli Profesional Istiqamah berkelulusan PhD di dalam bidang Sensor Kimia dan Gas & Ketua Sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan.
( Hide )
  1. maaf, sy ad menonton berita. kenapa dlm berita lebih tertumpu kp methane gas? dlm pengetahuan sy, methane adlh bhn flammable dan kadar tosik tdk begitu tinggi. mohon pencerahan dr pihak tuan...

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo