NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Palestin, Jordan bantah Israel tutup Bab Ar-Rahmah



RAMALLAH, 11 Rejab 1440H, Isnin – Kementerian Luar Palestin dan Jordan masing-masing menolak campur tangan Israel dalam hal ehwal dan status Masjid Al-Aqsa, masjid suci ketiga umat Islam.

Dalam kenyataan berasingan semalam, kedua-dua kementerian itu mengecam tindakan mahkamah rejim Israel yang memerintahkan pihak berkuasa sekali lagi menutup ruang solat berhampiran Pintu Ar-Rahmah di Masjid Al-Aqsa.

Kedua-dua kementerian menegaskan, Israel tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Masjid Al-Aqsa.

"Keputusan mahkamah Israel adalah permulaan bagi Israel untuk mengambil alih seluruh lokasi suci, yang dikatakan kumpulan ekstremis sayap kanan Israel sebagai usaha untuk merobohkan tapak Islam bagi membina kuil Yahudi," kata Kementerian Luar Palestin semalam.

Sementara Kementerian Luar Jordan pula berkata, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa adalah mengikut undang-undang antarabangsa dan ia tidak boleh dibawa ke dalam sistem kehakiman Israel.

"Bab Ar-Rahmah adalah sebahagian daripada kompleks Masjid Al-Aqsa, dan Waqf di Baitulmaqdis adalah satu-satunya pihak yang menjaga hal ehwal masjid itu," katanya. 

Semalam, mahkamah rejim Israel memerintahkan pihak berkuasa sekali lagi menutup ruang solat berhampiran Pintu Ar-Rahmah di Masjid Al-Aqsa, yang sebelum ini dibuka kepada umat Islam.

Pihak berkuasa yang menguruskan masjid ketiga suci dalam Islam itu, Waqf, pada Februari lalu membuka ruang solat di Pintu Ar-Rahmah, walaupun dihalang pihak berkuasa rejim pengganas Israel yang menutupnya ketika Intifada Kedua dahulu.

Mahkamah Majistret Baitulmaqdis berkata, Pintu Ar-Rahmah yang sebahagian besar turut membabitkan Bab al-Dhahabi yang ditutup di timur kawasan Masjid Al-Aqsa, mesti ditutup sementara perbicaraan masih dijalankan. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo