NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Minta maaf untuk apa, Nga soal Pemuda PAS Selangor




KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mempersoalkan gesaan Pemuda PAS Selangor supaya beliau memohon maaf kerana membuat kenyataan "melampau".

"Minta maaf untuk apa?" tanyanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Pemuda PAS Selangor dipetik Malaysiakini sebagai berkata, mereka akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika 3 pemimpin DAP, iaitu Lim Guan Eng, Nga Kor Ming dan Chew Chong Sin tidak meminta maaf atas kenyataan "melampau" mereka.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Hanafi Zulkapli berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada ibu pejabat DAP berkenaan kenyataan 3 pemimpin parti itu.

Pada 3 Mac lalu, Nga, selaku pengerusi DAP Perak, dilaporkan berkata, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban jika Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan.

3 hari kemudian, Lim, selaku setiausaha agung DAP, menyifatkan kerjasama Umno-PAS sebagai "perisytiharan perang" terhadap orang bukan Melayu.

Beliau kemudiannya menukar frasa itu dengan menggunakan perkataan "menyasarkan orang bukan Melayu".

Chew, Adun Mengkibol dilaporkan berkata, serangan keganasan di masjid di New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa patut dijadikan pengajaran di Malaysia dalam soal isu kaum dan agama dengan menjadikan kerjasama Umno-PAS sebagai contoh.

Beliau kemudian menarik balik kenyataan itu kerana ia mengakibatkan "salah faham".

Nga berkata, beliau menyerahkan isu tersebut kepada polis untuk mengawal himpunan yang mahu diadakan oleh Pemuda PAS Selangor itu.

"Kita hormati undang-undang negara dan kita juga hormati hak kebebasan bersuara.

"Mereka boleh anjurkan himpunan itu selagi mereka mengikut undang-undang," katanya.

Nga berkata, beliau juga telah membuat penjelasan mengenai kenyataannya sebelum ini.

"Saya telah buat penjelasan, tapi tak apa. Nanti saya balik kaji semula handsard. Saya akan ambil tindakan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo