NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa Kerajaan PH sertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)?




Oleh : HUZIR SULAIMAN

Terkejut juga saya apabila meneliti laporan media serta kenyataan rasmi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bahawa Malaysia menerusi Menteri Luar nya telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk menyertai Statut Rome bagi ICC pada 4 Mac 2019.

Sebagai Rakyat Marhaen yang cintakan Islam, Kesultanan Melayu dan Kedaulatan Negara, saya nak tanya Menteri Luar, Dato Saifuddin Abdullah berkenaan implikasi keputusan ini terhadap Mahkamah Syariah, Raja-Raja Melayu termasuk campurtangan asing di dalam kes-kes tertentu (jika berlaku dan termasuk di bawah skop ICC) di dalam Negara selepas ini.

Mohon penjelasan Kerajaan PH terhadap tindakan mereka menyertai ICC:

1. Kedudukan Artikel 7 di dalam Statut Rome yang berkaitrapat dengan 'Torture' di mana Sebatan Syariah cuba diklasifikasikan pihak tertentu sebagai 'Torture' di dalam Konvensyen CAT (Covention Against Torture atau Konvensyen Terhadap Penyeksaan).

2. Keputusan Kerajaan yang tidak mahu sertai ICC atas sebab-sebab tertentu yang berkaitrapat dengan pindaan perlembagaan dan penggubalan undang2 tertentu.

Kenapa tiba-tiba mahu sertai ICC? Sila Rujuk Laporan Kebangsaan yang dihantar wakil Kerajaan(Bahagian Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan Kementerian Luar Negeri) untuk tempoh Mac 2013 sehingga Mac 2018 kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Persidangan Universal Periodic Review (UPR) atau Kajian Berkala Universal yang dianjurkan baru-baru ini pada 8 November 2018.

3. Beberapa Negara TIDAK sertai ICC seperti BRUNEI, INDONESIA, TURKI, SUDAN, THAILAND, ARAB SAUDI dan lain-lain. Kenapa MALAYSIA mahu sertai ICC?

4. Kesan pada kuasa Raja2 Melayu khususnya terhadap Mahkamah Khas, kedudukan Ketua Negara, imuniti dan kekebalan. Kesannya pada Umat Islam secara keseluruhannya kerana Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam.

5. Kesan kepada campurtangan Negara atau Pihak Asing terhadap kes-kes 'jenayah kemanusiaan' di dalam Negara.

Saya juga ingin mencadangkan agar keputusan Kerajaan PH untuk menyertai Statut Rome ditarik balik sehingga Konsultansi Awam dengan semua pihak yang berkepentingan dapat dilaksanakan terlebih dahulu.

Menarik balik keputusan yang telah dibuat adalah satu tindakan yang biasa dan dipuji kerana tindakan itu pernah dilakukan beberapa Negara lain sebelum ini, pada masa yang sama tindakan seperti itu akan menggambarkan keterbukaan Kerajaan PH untuk mendengar pandangan sisi Rakyat Marhaen seperti saya terhadap kemungkinan implikasi-implikasi negatif yang saya bangkitkan di atas.

Skop ICC:

(1) jenayah perang;
(2) genosid
(3) jenayah kemanusiaan;
(4) menyerang negara lain tanpa sebab.

Kalau kita pandang sekali lalu, semuanya memenuhi prinsip Islam. Tetapi bila kita kaji dengan lebih terperinci skop (3) jenayah kemanusiaan, terdapat beberapa klausa yang meragukan, yang boleh digunakan untuk kekang usaha-usaha memperkasakan Mahkamah Syariah, menghadkan kuasa Raja-raja Melayu termasuk menghalalkan campurtangan asing di dalam kes-kes yang kononnya diklasifikasikan mereka sebagai 'Jenayah Kemanusiaan'.

Jika kita rujuk ke semua laporan Hak Asasi Manusia yang disediakan Kerajaan sebelum ini termasuk laporan-laporan Hak Asasi dari PBB sendiri, sangat jelas dan nyata, kumpulan Hak Asasi Manusia tempatan dan luar Negara cuba untuk mengekang Islam sebagai kuasa dominan Negara, meliberalkan Umat Islam termasuk memurtadkan Umat Islam. Saya mohon sahabat berhati-hati dengan skop (3) jenayah kemanusiaan. Kajilah dengan lebih terperinci.

Malah proses perundangan yang akan dilaksanakan ICC pun tidak menggunapakai prinsip-prinsip perundangan Islam. Cuba bayangkan jika Ketua Negara / Ketua Negeri seperti YDPA, Sultan2 diheret ke muka pengadilan ICC dengan membelakangkan prinsip perundangan Islam. Wallahua'lam.

Dalam kesibukan kita menangani isu penghinaan kepada Nabi Muhammad s.a.w, dan kemudian isu penjualan aset-aset negara berkaitan bumiputera, serta keriuhan PRK di Semenyih.

Rupa-rupanya dalam diam diam Malaysia sudah menandatangani STATUT ROM (Rome Statute) yang diberitakan berlaku pada 4 Mac 2019 lalu.

---------------------

Bahan kedua

APA ITU STATUT ROM?

Sumber : Dr Fareed Mohd Hassan

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Statut Rom adalah satu perjanjian di peringkat antarabangsa (undang-undang antarabangsa) yang telah dipersetujui oleh wakil-wakil negara di dunia pada Julai 1998 dan telah dikuatkuasakan pada Julai 2002 bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court, ICC) yang terletak di The Hague, Belanda.

Perkara 6 hingga 8 statut ini memperuntukkan bidang kuasa ICC untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah yang terhad kepada jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity), jenayah perang (war crimes) dan jenayah pencerobohan (crimes of aggression).

Namun, bidang kuasa mahkamah ini adalah tertakluk kepada Prinsip Saling Melengkapi (Complementarity Principle) di mana pihak berkuasa tempatan atau mahkamah sesebuah negara akan terlebih dahulu menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes berkenaan dengan jenayah-jenayah tersebut.

Antara aspek-aspek penting yang perlu diberikan perhatian yang mendalam sebelum menjadi sebuah negara anggota atau ahli Statut Rom ialah Perkara 27, Perkara 28(a), Bahagian Kesembilan serta Perkara 120 Statut Rom.

Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom memperuntukkan bahawa ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa ICC jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut.

Bukan itu sahaja, sebarang imuniti atau kekebalan yang diperuntukkan kepada mereka, baik di dalam undang-undang negara mahupun undang-undang antarabangsa, tidak akan terpakai jika mereka dibicarakan di hadapan ICC, bila mana pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman negara tersebut tidak mampu atau tidak mahu (unable or unwilling) untuk menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes berkenaan dengan jenayah-jenayah tersebut.

Jika pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman negara tersebut tidak mampu atau tidak mahu untuk menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes berkenaan dengan jenayah-jenayah tersebut, maka ICC akan meminta pihak berkuasa negara tersebut untuk bekerjasama bagi menangkap dan menyerahkan mereka-mereka yang berkemungkinan telah melakukan jenayah tersebut, termasuklah ketua negara dan komander tentera seperti termaktub di dalam Bahagian Kesembilan Statut Rom.

Tidak seperti perjanjian-perjanjian antarabangsa yang lain yang memperuntukan bahawa sesebuah negara ahli boleh menghadkan pemakaian beberapa peruntukan didalam negara mereka, Perkara 120 Statut Rom secara jelas tidak membenarkan mana-mana peruntukan yang termaktub didalam Statut Rom dihadkan penggunaannya didalam negara ahli.

Ini bermakna, Perkara 27, 28(a) dan Bahagian Kesembilan Statut Rom akan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh negara Ahli.

Agong dan Mahkamah Khas

Sungguh pun Malaysia mempunyai Mahkamah Khas yang tertubuh di bawah Bahagian 15, Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan semenjak tahun 1993 bagi mendakwa Agong (atau mana-mana Raja Melayu) bagi mana-mana kesalahan jenayah (termasuk kesalahan atau saman sivil), terdapat beberapa halangan dan implikasi yang wujud dari segi perundangan untuk membicarakan Agong bagi sebarang pertuduhan.

Sebarang tindakan atau pertuduhan jenayah (atau saman sivil) keatas Agong (atau mana-mana Raja Melayu) hanya boleh dilakukan jika mendapat persetujuan awal daripada Peguam Negara seperti yang termaktub dibawah Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, pertuduhan jenayah (atau saman sivil) ke atas Agong (atau mana-mana Raja Melayu) hanya boleh dilakukan atau berjalan atas kapasiti persendirian (personal capacity) dan bukan atas kapasiti atau jawatan rasmi (official capacity) Agong (atau mana-mana Raja Melayu).

Sejak penubuhan Mahkamah Khas ini pada 1993, kes-kes yang telah dihadapkan di hapadan Mahkamah Khas ini kesemuanya adalah berkenaan tuntutan sivil sama ada ke atas Agong atau mana-mana Raja-Raja Melayu yang lain.

Ini kerana Seri Paduka Baginda atau mana-mana Raja-Raja Melayu akan hilang kedudukan mereka sebagai Agong dan raja pemerintah bagi negeri-negeri di dalam Persekutuan jika disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

Justeru, kekebalan Seri Paduka Baginda (dan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang lain) atas kapasiti atau jawatan rasmi adalah tidak tergugat.

Jika ini berlaku, pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman negara ini akan dilihat sebagai tidak mampu atau tidak mahu (unable or unwilling) untuk menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes berkenaan dengan jenayah-jenayah tersebut.

Maka, Malaysia akan diminta oleh pihak ICC untuk menangkap dan menyerahkan Ketua Negara dan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia kepada ICC, seperti mana yang berlaku kepada Presiden Sudan dan Libya.

Negara-negara jiran yang lain yang mempunyai sistem pemerintahan beraja atau Raja berperlembagaan seperti Brunei dan Thailand dan juga negara-negara lain seperti Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan sebagainya TIDAK MENGANGGOTAI atau menjadi ahli Statut Rom.

Tambahan pula, Filipina telah keluar daripada menjadi negara ahli Statut Rom, termasuk keputusan negara-negara lain seperti Gambia, Burundi dan Afrika Selatan yang cuba untuk keluar daripada menjadi negara ahli tetapi telah menarik balik keputusan tersebut.

Adalah tidak wajar bagi Malaysia untuk menjadi negara ahli Statut Rom buat masa ini. Ini kerana beberapa undang-undang, terutama Perlembagaan Persekutuan harus diperhalusi dan dipinda sebelum Malaysia menjadi negara ahli kepada Statut Rom ini bagi mengelakkan sebarang ketidakmampuan atau ketidakmahuan Malaysia bagi menangani jenayah-jenayah tersebut dalam negara, terutama bagi memelihara kedudukan dan keistimewaan Seri Paduka Baginda (dan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang lain).

PERSOALANNYA

Adakah Seri Paduka Baginda juga diberitahu oleh Menteri Luar berkenaan dengan implikasi terhadap kedudukan baginda sebagai Ketua Negara dan juga Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia seperti yang termaktub didalam Perkara 32 (1) dan 42 Perlembagaan Persekutuan berikutan dengan penyertaan Malaysia sebagai negara Ahli?
- Peguam Azam.Aziz.
( Hide )
  1. Tu no...banyak benda depa buat tanpa pengetahuan kita ni..

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo