NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahu ulang kesilapan PPSMI?

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pendekatan kerajaan untuk membenarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah dilihat seolah-olah cuba mengulangi kesilapan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini. 

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, PPSMI telah disahkan program yang salah dari segi dasar, matlamat dan pelaksanaannya malah beberapa kajian termasuk oleh Kementerian Pendidikan sendiri telah mengesahkan kegagalan PPSMI. 

"Kementerian Pendidikan sendiri telah memansuhkannya pada tahun 2012. Adakah kerajaan kini hendak mengulang kesilapan hingga sanggup masuk ke lubang biawak kali kedua?

"PPSMI bukan program pemulihan atau peningkatan penguasaan bahasa Inggeris kerana terbukti dalam kajian-kajian empiris bahawa penguasaan bahasa Inggeris tidak meningkat, malah pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik turut merudum," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah pada masa sama pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Jelas Dr. Mahathir pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran itu, manakala ada pula menentangnya selain ramai berpendapat bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang yang lulus lebih mudah diterima di pasaran. 

Sementara itu, jelas Awang, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar hendaklah ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri iaitu menerusi latihan perguruan, penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran serta penyusunan sukatan pelajaran yang berkesan.

"Pelajarilah sikap dan kebijaksanaan negara-negara lain yang melaksanakan pendidikan dalam bahasa kebangsaan masing-masing dan mereka maju, melebihi negara yang memilih bahasa asing sebagai bahasa penghantar utama. 

"Jerman, China, Belanda, Perancis, Jepun dan Korea ialah antara contoh yang nyata. Semua negara itu tidak meminggirkan bahasa Inggeris malah menekankannya tetapi tidak sampai mengutamakan bahasa asing daripada bahasa sendiri. - UTUSAN ONLINE.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo