NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahasiswa UM tuntut yuran majlis makan malam dipulangkan

KUALA LUMPUR: Pihak pentadbiran kolej kediaman di Universiti Malaya (UM) diminta memulangkan semula wang bayaran yuran makan malam sebanyak RM120 kepada kira-kira 7,000 mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Angkatan Mahasiswa UM Muhammad Ahnaf Mohd Yunus berkata yuran itu telah dicaj secara automatik bersama yuran pengajian dan penginapan kolej pada minggu ketiga semester pertama iaitu Febuari lepas tanpa kebenaran pelajar.

Muhammad Ahnaf yang juga pelajar tahun empat Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu mendakwa pelajar tidak diberi pilihan dan dipaksa menyertai majlis makan malam atau dikenali sebagai Malam Anugerah yang diadakan di hotel bertaraf lima bintang di ibu negara.

"Ini tindakan tidak relevan dan berperikemanusiaan kepada pelajar sedangkan wang itu boleh digunakan untuk membeli buku atau digunakan sebagai kos sara hidup," katanya.

Terdahulu, Muhammad Ahnaf bersama 10 wakil pelajar bagi setiap kolej kediaman di UM berhimpun di hadapan Bangunan Canselori universiti itu pada Khamis untuk menyerahkan memorandum bantahan yuran makan malam kepada Naib Canselor UM Datuk Dr Ir Abdul Rahim Hashim.

Memorandum itu bagaimanapun hanya dapat diserah kepada pegawai tadbir UM Muhammad Izzat Izzuddin Hamdan yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) universiti Prof Dr Ir Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuda Baharu UM Wong Yan Ke berkata bantahan mengenai yuran makan malam telah disuarakan kepada pihak pentadbiran kolej pada tahun lepas tetapi perkara itu masih berlanjutan sehingga kini.

"Jumlah itu bukan kecil dan setakat ini tiada respons daripada pihak pentadbiran kolej mengenai perkara itu," katanya.

Wong pelajar Tahun Empat Fakulti Kejuruteraan berkata pihaknya mencadangkan tiga alternatif penyelesaian isu yuran tersebut iaitu memansuhkan kehadiran mandatori mahasiswa ke majlis makan malam, mengurangkan yuran makan malam dan perbelanjaan, serta laporan kewangan perbelanjaan majlis itu disemak oleh pelajar supaya lebih telus.

-- BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo