Kerjasama UMNO-PAS tidak bersifat nasional ?




Oleh Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Banyak diperkatakan kini mengenai kerjasama UMNO dan PAS yang dilihat mampu menggugat kerajaan Pakatan Harapan (PH), khususnya selepas kejayaan kerjasama mereka memenangkan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands dan Semenyih.

Yang pasti, kerjasama antara kedua-dua parti ini bukan baru. Malah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu juga memang sudah diketahui wujudnya kerjasama kedua-dua parti secara tidak langsung untuk mengalahkan PH.

Sesi perjumpaan Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Hadi Awang pada satu majlis bersama memakai baju merah jambu sudah menjadi tatapan warga Malaysia keseluruhannya. Cuma kerjasama UMNO dan PAS sebelum ini gagal memenangkan BN pada peringkat nasional, namun memberi kelebihan kepada PAS untuk terus menguasai Kelantan dan Terengganu.

Pihak BN khususnya tidak menyangka pertandingan tiga penjuru sebenarnya menyebabkan berlaku pecahan undi kepada penyokong kedua-dua parti ini dan memenangkan PH di banyak negeri khususnya pada peringkat Persekutuan.

Perpecahan yang berlaku terhadap BN pasca PRU-14 daripada 13 parti gabungan hingga menjadi hanya tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC, mencetuskan idea kepada kepemimpinan UMNO dan PAS yang berasakan gabungan kedua-dua parti ini, akan mampu menggugat PH di tampuk pemerintahan sekarang.

Tidak dinafikan juga retorik perjuangan bangsa dan agama yang dibawa kedua-dua parti ini sudah menarik ramai orang Melayu untuk menyokong UMNO dan juga PAS di kala pihak PH masih tercari-cari formula terbaik melaksanakan janji pilihan raya yang mereka utarakan melalui manifesto.

Satu hakikat yang jelas ialah sekiranya berlaku kerjasama politik antara UMNO dan PAS, seperti membentuk satu logo baharu hasil kerjasama politik ini, masa depan BN sebagai parti gabungan terus malap dan akan berkubur.

Parti gabungan lain seperti MCA dan MIC tidak setuju PAS menyertai BN dan kerjasama politik bersama PAS. Bagi PAS, kerjasama politik antaranya dengan UMNO akan memperkuatkan parti itu kerana PAS mempunyai kuasa tawar-menawar yang kuat untuk memastikan beberapa negeri akan dapat dikuasai mereka seperti terus menguasai Kelantan dan Terengganu serta berpeluang mendapat Kedah juga.

UMNO patut cari strategi baharu

UMNO pula sebagai parti nasional perlu memikirkan strategi mereka sama ada mahu kekal sebagai parti nasional atau hanya menjadi parti yang menguasai kawasan majoriti Melayu. Yang pasti UMNO harus berkongsi kedudukan dan kuasa dengan PAS.

Namun, penyertaan PAS akan menyebabkan UMNO sukar menguasai peringkat Persekutuan dan nasional kerana parti lain khususnya di Sabah dan Sarawak akan menolak kerjasama dengan UMNO ketika ia bekerjasama dengan PAS.

Kini MCA dan MIC mengugut untuk mewujudkan parti gabungan lain menggantikan BN. Yang menarik untuk ditinjau hasil kerjasama PAS ini, boleh dirungkapkan dalam beberapa perkara. Pertama ialah idea berkenaan penyatuan Melayu.

Ramai Melayu sangat emosional dalam melihat isu ini dan menganggap bahawa sekiranya UMNO bergabung dengan PAS, maka penyatuan Melayu akan wujud. Sebenarnya idea penyatuan Melayu tidak memerlukan gabungan kedua-dua parti, malah boleh berlaku di dalam banyak bentuk.

Ini kerana Malaysia adalah negara demokrasi yang membenarkan kepelbagaian dalam berparti politik. Sebenarnya PH sebagai Kerajaan Persekutuan lebih mampu membawa idea penyatuan Melayu kerana kuasa di tangan mereka.

Malah penyatuan Melayu tidak harus dilihat hanya bercorak kepartian, dan harus dilihat lebih holistik dan meluas sifatnya membabitkan kerjasama pelbagai parti, organisasi bukan kerajaan dan rakyat amnya. Kedua, adakah PH akan tergugat dengan kerjasama UMNO dan PAS? Ya, dalam konteks pilihan raya kecil kini namun senarionya mungkin amat berbeza bila menjelang PRU-15 nanti.

Ini berbalik kepada persoalan PH yang memegang kuasa. PH mampu merencanakan agenda politik dan pembangunan yang menarik rakyat menyokong mereka. Sekiranya PH mampu memerintah dengan cemerlang pada masa depan sebelum PRU-15, tiada parti yang mampu menggugat kekuatan PH nanti.

Pertembungan dua penjuru tidak menjamin kemenangan UMNO dan PAS pada pilihan raya nanti. Akhir sekali, gabungan ini akan menyebabkan BN terkubur. Kedua-dua parti ini tidak akan dilihat lagi sebagai parti nasional kerana mereka mewakili satu kaum dan agama sahaja.

Parti yang dominan di Malaysia ialah parti yang menjadi dokongan kepelbagaian kaum termasuklah di Sabah dan Sarawak. Kelebihan ini yang menyebabkan PH yakin bahawa mereka akan diterima oleh rakyat Malaysia pada masa hadapan kerana sifat nasional parti berkenaan.

Sekiranya gabungan PAS dan UMNO ingin berjaya, mereka haruslah memikirkan bahawa mereka mampu menjadi parti nasional yang diterima umum rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kaum.



Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Malaya
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget