NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keegoan Pemimpin DAP Dan Kebebalan Mereka Pada Sejarah

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Hari ini hampir tiga dekad PAS memerintah tanah serendah sekebun bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke 19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. PAS kehilangan Kelantan dalam Pilihanraya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosio ekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti. Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Saudara Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman UMNO, krisis pemimpin UMNO dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan UMNO dalam Pilihanraya tahun 1990.

Tuduhan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya adalah tuduhan melampau dan tidak berasas. Ia memperlihatkan bahawa beliau hanya beremosi tatkala kerajaan Kelantan mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri. Egonya tercabar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut atas alasan kekangan kewangan namun mahu diteruskan pula oleh kerajaan PAS. Hatinya panas jika kerajaan PAS mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan kerajaan pusat sedangkan kerajaan PH sendiri tidak tertanggung untuk meneruskannya. 

Daripada fakta mana yang diperolehi oleh Lim Guan Eng ketika membuat tuduhan sedemikian? Jika begitu, bagaimana kakitangan awam kerajaan negeri mampu bertahan bertahun-tahun lamanya bekerja dengan kerajaan Kelantan jika kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji mereka? Sudah tentu kerajaan negeri akan dilapor dan segala media memburukkan kerajaan Kelantan siang dan malam manakala kerajaan Kelantan akan didakwa oleh kakitangan terbabit.

Sebegitu besar kebencian dan dendam beliau terhadap PAS memang boleh di agak sejak lama dahulu. Kedegilan dan keangkuhan pemimpin sepertinya membuatkan siapa sahaja rakan Pakatan (dahulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan) sukar berkolaborasi dengan partinya. Maka atas sebab itu, PAS terpaksa menarik diri daripada terus diperlekeh dan dihina oleh beliau dan DAP ketika di dalam PR dahulu. Atas sebab itu jugalah mana-mana parti yang bersekutu dengan DAP terpaksa menahan sabar kerana dominasi DAP yang mahu membolot semuanya.

Mungkin beliau merasa PAS tanpa Pakatan Harapan tidak akan ke mana-mana. Telahan beliau dan pemimpin sepertinya bahawa PAS akan kehilangan segala-galanya dalam PRU ke 14 tidak kesampaian apabila PAS mampu menang bergaya di Kelantan dan Terengganu. Bayangkan, hanya sebuah parti mampu memenangi dua buah negeri, sesuatu yang beliau dan rakan parti komponennya tidak mampu lakukan. Mungkin sebab itu beliau geram dan dendam berpanjangan. 

Minggu ini serangan gencar DAP dihalakan kepada PAS terutama akibat usaha penyatuan ummah PAS-UMNO yang akan menyingkatkan usaha pemerintahan PH. Mereka menwar-warkan bahawa pemerintahan ala Toliban akan mengusur non muslim jika PAS UMNO berkuasa di negara ini. Naratif ini cuba ditancap kemas dengan kononnya negeri Kelantan yang tidak mempunyai panggung wayang serta acara kesenian tradisional yang tak dibenarkan di Kelantan. Kokok DAP disambut cemerlang oleh trompet mereka, pemain media sosial pro PH serta avatar mereka. Kelompok ini lupa bahawa almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadikan Kelantan negeri bebas maksiat dan mungkar serta patuh syariah. Hanya rakyat Kelantan yang memahami sosio budaya Kelantan, jika mereka bosan atau benci pada Kelantan pastilah telah lama parti Islam ditendang daripada teraju pemerintahan. Jangan nafikan negeri serambi Mekah ini setiap tahun, pelajar-pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan awam negara ini. Ohh, HIV Kelantan paling tinggi kerana tiada panggung wayang. Ketololan apakah yang pimpinan muda DAP ini cuba paparkan dalam masyarakat?. Membenci dan berbeda pandangan sekali pun, jangan sampai menfitnah, lihat statistik, negeri manakah paling tinggi kadar pesakit HIV?

Kelantan dan Terengganu adalah jantung hati orang Melayu, dua negeri Pantai Timur ini damai dan tenang dalam rengkuhan pemerintahan PAS. Dipimpin oleh sosok pemimpin yang kredibel, kompeten dan berjiwa rakyat. Serangan DAP kepada dua negeri ini termasuk usaha mengucilkan bantuan kewangan, maka sebenarnya DAP membina jarak intergrasi antara kaum. Berpada-padalah kalian berpolitik!

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo