Islam dan Keharmonian

TRANSKRIPSI PIDATO PERDANA ‘’ISLAM DAN KEHARMONIAN’’ YB DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG, PRESIDEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Borneo Tree House, Kota Kinabalu, Sabah
09 Mac 2019


Disediakan oleh: Amiruddin Mohd Rosdi, Penolong Setiausaha 1 Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله بنعمته تتم الصالحات، والصلاة والسلام على نبينا وشفيعنا وإمامنا وقدوتنا سيدنا محمد نبي الرحمة ،وعلى آله وأصحابه أفضل الصلاوات وأذكى تسليمات.

اللهم اغفرلي فيما يقولون
ولا تأخذني مما يقولون
وجعلني خيرا مما يقولون
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ

(Surah al-Hujurat)

Firman Allah yang bermaksud;
''Wahai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, Adam dan Hawwa’ berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf yakni bermasyarakat madani, berkenalan, berhubung dan bertolong menolong di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa, mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan urusan kamu.'
Yang dihormati semua pemimpin parti politik umat Islam. Pimpinan daripada NGO, pemimpin-pemimpin masyarakat, para ulama, para ilmuwan, hadirin hadirat saudara-saudari dan anak-anak yang saya kasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya meminta maaf, untuk menghuraikan tajuk yang besar ini memerlukan huraian yang panjang. Besar tajuk ini merangkumi ajaran Islam yang menyeluruh. Mesej dan risalahnya kepada seluruh manusia. Apabila kita menyebut Islam adalah ad-din, kita perlu memahami bahawa ad-din itu tidak mampu diterjemahkan dengan perkataan agama dalam bahasa Sanskrit, bahasa Melayu atau religion dalam bahasa Barat, kerana kesempurnaannya merangkumi seluruh alam. Bukan sahaja alam manusia, alam yang dapat dilihat, termasuk alam ghaib dan khusus bagi manusia merangkumi aspek-aspek yang berkait dengan fitrah, dengan naluri, sifat semula jadi mereka yang berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain sehingga Allah menugaskan manusia itu dengan tugas yang khusus di atas muka bumi yang tak mungkin dilaksanakan oleh makhluk-makhluk yang lain.

Tugas untuk beribadah, mengabdikan diri kepada Allah.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
(Surah al-Zariyat)

''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu mengabdikan diri kepada-Ku (Allah).''

Tugas khilafah. Firman Allahu Taala.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
(Surah al-Baqarah)

''Dan ingatlah apabila Tuhan berkata kepada para Malaikat: Aku hendak ciptakan satu makhluk iaitulah manusia bermula dengan Adam untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Lalu para malaikat bertanya.''

Meminta penjelasan, bukan untuk melawan. Meminta penjelasan, kerana makhluk malaikat ini sangat taat kepada Allah. Tidak derhaka sekali-kali. Berlumba-lumba menunaikan perintah Allah, meninggalkan larangan-Nya.

''Para malaikat bertanya: Adakah Engkau hendak jadikan di atas muka bumi itu, mahkhluk yang akan melakukan kejahatan, yang menumpahkan darah, berperang di antara satu sama lain, padahal kami sentiasa memuji memuja-Mu, bertasbih dan bertahmid. Mengapa tidak tugaskan kami? Allah menjawab: Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.

Yang ketiga, tugas menunaikan amanah. Firman Allahu Taala:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
(Surah al-Ahzab)

''Sesungguhnya Kami (Allah) telah mempamerkan, memaparkan, menunjukkan satu perkata yang dinamakan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang supaya mereka menerimanya. Tiba-tiba makhluk yang besar seperti langit dan bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang, takut, gerun untuk menerimanya. Namun, manusia bersedia menerimanya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi sangat jahil.''

Tetapi Allah sudah menetapkan manusia yang menunaikan amanah itu. Apakah yang dimaksudkan dengan memperhambakan diri kepada Allah? Tujuannya ialah menyatakan hubungan manusia dan makhluk dengan Tuhan. Bukan hubungan rakyat dengan kerajaan. Bukan hubungan pegawai dengan ketua jabatan. Bukan hubungan buruh dengan majikan. Hubungan hamba dengan Tuhan. Kalau rakyat dengan kerajaan, rakyat boleh mengatakan tak setuju pada kerajaan, tak sokong kerajaan. Tapi, dengan Allah Taala tak mungkin kata tak setuju, tak sokong. Kalau pegawai tak puas hati dengan jabatan, letak jawatan. Tak mungkin orang letak jawatan daripada kuasa Allah Taala. Kalau pekerja dan buruh tak setuju dengan majikan, mogok, berhenti kerja. Tak mungkin begitu dengan Allah Taala.

Kerana manusia ini diciptakan oleh Allah dengan setiap detik, degup jantung, denyut nadi, sepanjang kejadiannya bergantung dengan Allah Taala. Rezeki mengisi perut, mengisi akal fikiran dan roh bergantung dengan Allah Taala. Maka hubungan manusia dengan Tuhan adalah hamba dengan penciptanya, ربّ العالمين yang diucap pada tiap-tiap rakaat sembahyang. Dengan makna tak ada pilihan dalam perkara yang diputuskan oleh Allah SWT. Itu makna ibadah.

Adapun makna khilafah atau khalifah, bukan makna khalifah ini seperti dalam bahasa Melayu, ketua silat gayong. Khilafah dengan makna إقامة الدين وسياسة الدنيا به Menegakkan ad-din iaitu Islam itu dalam diri manusia di atas muka bumi ini dan mentadbir politik, mentadbir dan mengurus. Ini makna khilafah.

Adapun makna amanah itu ialah menunaikan syariat Allah SWT. Hukum Allah Taala yang berkait dengan akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara menjadi tujuan manusia diciptakan. Dan Allah SWT memulakan agenda yang pertama membentuh sahsiah, membentuk jati diri manusia dengan ilmu. Dengan ilmu dahulu, bukan dengan ekonomi dahulu. Bukan dengan politik, kuasa dahulu. Dengan ilmu dahulu!

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

Diilmukan Adam, sebelum dihantar ke muka bumi. Dengan nama-nama, bahan-bahan yang ada di bumi, diilmukan menyaksikan makhluk malaikat yang taat kepada Allah. Menyaksian makhluk iblis yag melawan Allah. Diletakkan dalam syurga terlebih dahulu, diajar makan minum, diajar bergaul dengan isteri, suami isteri. Diajar makanan halal dan haram.

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

Jangan dekati pokok ini. Nanti kamu ada di bumi, bukan semua pokok boleh hentam makan buah dia. Ada pokok yang beracun, pokok untuk perubatan, pokok untuk macam-macam. Bukan semua makan. Ada batas halal dan haram.
Setelah diilmukan, dididik dan ditarbiah. Diajar dengan melakukan kesalahan. Ditipu oleh iblis yang dilaknat oleh Allah. Iblis yang menderhakai Allah itu di hadapan Adam dan Hawwa'. Tiba-tiba menipu Adam dan Hawwa'. Dengan takdir daripada Allah, diatur oleh Allah Taala. Di sini berkait dengan qada' dan qadar daripada Allah.

Disebut dalam Sahih Bukhari, Nabi Musa alaihissalam berdebat dengan Adam di alam barzakh. Ini hadis riwayat Bukhari. Kata Musa: ''Wahai Adam, mengapa kamu pergi makan buah yang dilarang itu? Dengan sebab kamu makan buah inilah, kami susah hidup dalam dunia ini.''

Berani Musa tanya Adam. Ini disebut dalam hadis. Adam kata: ''Wahai Musa, kamu tak faham kekuasaan Allah, yang mengatur qada' dan qadar dengan kebijaksanaan-Nya begitu rupa sebelum aku dihantar ke bumi. Terdiam Musa alaihissalam.

Adam dan Hawwa' dihantar ke bumi dengan Islam. Islam dengan makna petunjuk Allah. Bagaimana melaksanakan perintah Allah semuanya di atas muka bumi. Manusia pada masa Adam sehingga seribu tahun, sehingga wafatnya Adam alaihissalam dalam keadaan Islam. Cuma mereka mengerjakan maksiat, tetap dengan Islam. Seribu tahun selepas wafatnya Adam alaihissalam berlakunya kekufuran. Melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Mengadakan undang-undang dan peraturan sendiri yang tidak diizin oleh Allah. Apabila membuat peraturan sendiri yang tak diizin oleh Allah, maka rosaklah kehidupan manusia dan rosaklah dunia ini.

Kalau kita beli kereta, buatan Jerman ke, Jepun ke, pencipta dan pembuat kereta mengatakan kereta ini mesti pakai minyak diesel, tak boleh petrol, ataupun kereta ini kena petrol, kita buat peraturan sendiri, tak ikut pencipta kereta itu, nak jimat wang, letak air saja, apa jadi? Kereta tak berjalan, rosak. Begitulah apabila manusia. mengadakan peraturan sendiri yang tak diizin oleh Allah Taala.

Dan Allah Taala tutup kerasulan dengan Muhammad SAW. Ringkas ceritanya. Diutuskan untuk manusia akhir zaman. Untuk seluruh dunia. Berbeza dengan rasul sebelum daripadanya. Untuk kaumnya sahaja, bangsanya sahaja, zamannya sahaja, negerinya sahaja. Kerana Allah mengetahui. Allah yang beri ilmu pada manusia pada akhir zaman ini.

وما أوتيتم من العلم إلا قليلا

Dengan sedikit ilmu yang diberi kepada manusia pada akhir zaman ini, terciptalah alat-alat yang canggih. Manusia boleh bergerak ke sana ke mari dalam masa yang cepat, ke timur, barat, utara dan selatan. Dengan pesawat udara, kapal terbang yang besar dan laju, masa yang cepat bukan macam zaman dahulu. Teknologi maklumat, mendapat maklumat seluruh dunia dalam masa beberapa saat, minit sahaja dengan internet dan sebagainya. Allah Maha Mengetahui.

Maka pada manusia akhir zaman ini, cukup seorang rasul sahaja, Muhammad SAW. Diberi kepadanya kitab yang jadi mukzijat ilmu, al-Quran al-Karim. Berbeza dengan rasul-rasul sebelum daripadanya. Untuk memimpin seluruh manusia tanpa mengira kaum, bangsa di mana sahaja mereka berada. Kedatangan Islam pada akhir zaman untuk seluruh dunia. Berbeza dengan rasul sebelum daripadanya. Maka Allah mengatur kelahirannya di bumi Mekah yang kering.

بواد غير ذي زرع

Lembah yang tidak ada tanaman, yang tak ada air, yang tak sanggup didiami oleh binatang. Airnya tak ada, pokonya tak ada, kering, di bumi Mekah. Diperintahkannya Ibrahim alaihissalam, kerana kepercayaan kepada Allah menjadi naluri manusia.

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Jika kau tanya mereka, termasuk mereka yang bukan Islam itu, siapa yang ciptakan langit dan bumi, semua mengatakan Allah dengan bahasa masing-masing.

Masalah mereka syirik, melantik macam-macam tuhan, itu cerita lain. Tapi semua percaya kepada Allah, adanya Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sama ada Islam dan bukan Islam. Termasuk yang jakun di rimba belantara, percaya adanya kuasa yang ghaib yang menguasai alam ini. Termasuk kalangan ateis yang tak percaya kepada tuhan. Apabila mereka naik kapal terbang, enjin mati. Masa itu percaya kepada Tuhan. Apabila terdesak, percaya kepada Tuhan.

Pernah diceritakan, Lenin pemimpin Komunis yang kononnya tak percaya kepada Tuhan untuk menyesatkan manusia. Apabila Lenin dalam keadaan kesakitan, tak mampu diselamatkan oleh pakar-pakar perubatan di Rusia pada masa itu, di Soviet masa itu. Tiba-tiba Lenin menyebut nama Allah, nama Tuhan. Lalu anggota polis biro parti Komunis tanya Lenin, mengapa kamu sebut Tuhan? Tidakkah dalam buku Das Kapital, Karl Marx mengatakan Tuhan tak ada, karut. Kata Lenin, tak tahan sakit. Itu Lenin.

Stalin, ketika Perang Dunia yang kedua, apabila Jerman menyerang Soviet dengan hebat. Tak ada jalan untuk menentang kemaraan Jerman yang maju teknologinya masa itu. Memang Hitler dan Jerman hebat pada peringkat permulaan. Jangan tengok filem yang Amerika buat. Filem yang Amerika buat, Jerman ini bodoh, kalah. Asalnya hebat, dia punya teknologi . Apabila Stalin merasakan tak mampu nak lawan kemaraan Jerman, permukaan Perang Dunia yang kedua, Stalin membenarkan gereja dan masjid berdoa kepada Tuhan. Menunjukkan fitrah manusia percaya adanya Tuhan.

Dalam masa yang sama, keseluruhan agama merujuk Ibrahim alaihissalam. Umat Islam menyebut Ibrahim, orang Eropah menyebut Abraham. Bahkan ada dalam ilmu Qiraat baca Quran, ada Qiraat al-Syamiah, Abraham, tak jadi salah bacanya Abraham. Ada ulama yang baca begitu. Adapun Hindu menyebut Brahma. Brahma, yang dilantik jadi tuhan lain daripada Allah. Menunjukkan mereka percaya kepada tuhan, percaya kepada Ibrahim, mengikut akidah masing-masing.

Allah memilih Ibrahim yang berjuang menentang kerajaan Babylon Raja Namrud dengan gigih, diberi kemuliaan menghantar puteranya Ismail di bumi Mekah untuk dilahirkan daripada zuriatnya Nabi akhir zaman, Muhammad SAW. Bumi yang kering, tak ada hasil, tak ada air. Datang air zamzam, tak cukup. Datang qabilah Jurhum, qabilah yang lain, tercipta kaum Quraisy yang tinggal di Mekah untuk dilahirkan Nabi Muhammad SAW. Mengapa dijadikan begitu? Tak dilahirkan Nabi akhir zaman itu di Asia Tenggara yang subur, di Jepun yang maju, di Amerika yang hebat, di Eropah yang maju. Dilahirkan di bumi Mekah yang kering. Tujuannya untuk mencipta manusia dengan acuan Allah. Dibentuk dirinya dengan ilmu daripada Allah secara langsung. Manusia yang punya unsur jasad tubuh badan, punya akal, punya roh berbeza dengan makhluk yang lain.

Maka ilmu yang diberi itu, ilmu yang melengkapkan akal, roh dan jasad. Untuk memakmurkan bumi dengan perintah Allah, dikurniakan mukjizat al-Quran al-Karim yang dicabar oleh Allah

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
(Surah al-Baqarah)

Dan jika sekiranya kamu ragu terhadap apa yang Kami turunkan, al-Quran yang kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad SAW. Kalau kamu ragu terhadap ilmu yang di dalam al-Quran ini, sila panggil penolong-penolong kamu, sama ada tuhan-tuhan yang lain daripada Allah yang kamu lantik, pemimpun-pemimpin yang bijak yang kamu lantik, yang kamu sanjung. Segala ilmuwan, segala pakar segala bidang. Kumpul merka, buat satu ayat seperi al-Quran, kalau kamu adalah orang yang benar. Ingat, jika kamu tidak dapat melakukannya dan kamu tak akan dapat melakukannya, takutlah kamu akan api neraka di mana bahan bakarnya ialah manusia, manusia dan batu-batu. Disediakan untuk mereka yang ingkar yang melawan, yang kafir, melawan. Melawan apa? Melawan apa al-Quran ini.

Ini amaran Allah. Diturunkan al-Quran itu menjadi mukjizat ilmu, segala ilmu; ilmu agama, ilmu dunia, sains teknologi terrmasuk ilmu sihir yang diharamkan, disebut dalam al-Quran. Apa yang al-Quran sebut adalah benar. Cerita-cerita zaman dulu; kaum Aad, kamu Tsamud, kaum Firaun, Babylon disebut dalam al-Quran. Benar.

Hari ini manusia dapat mengetahui tentang peredaran bulan bintang, cakerawala di langit mengikut al-Quran adalah benar. Hari ini saintis mengaku, benar apa yang al-Quran sebut tentang angkasa lepas. Menandakan semua yang di dalam al-Quran termasuk hari kiamat dan lain-lain adalah benar. Diturunkan pada generasi awal, yang dilahirkan di Mekah itu. Disebut;

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ

إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاء وَالصَّيْفِ

فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ

الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ

(Surah Quraisy)

Menjadi kelaziman kepada kamu Quraisy yang tinggal di Mekah itu, apabila mereka memerlukan makanan, memerlukan pakaian, memerlukan kemudahan hidup, di Mekah tak ada hasil, menyebabkan mereka mencari-cari, sedangkan hati mereka bergantung dengan Kaabah, kerana doa Ibrahim alaihissalam, sayang nak tinggal Mekah. Tapi apabila lapar, memerlukan pakaianterpaksa keluar mencari. Mereka melakukan رِحْلَةَ الشِّتَاء pelayaran pada musim sejuk ke negeri Yaman. وَالصَّيْفِ perjalanan pada musim panas di negeri Syam.

Yaman adalah pelabuhan, menjadi tumpuan negeri-negeri Timur; China, Parsi, India dan lain-lain. Syam adalah pelabuhan, menjadi tumpuan negeri Barat; Eopah, Utara Afrika, Asia Tengah datang ke Syam. Maka penduduk Mekah yang berniaga itu pergi ke Yaman mengambil barang-barang Timur dibawa ke Mekah. Sebahagian ditinggalkan, dibawa ke Syam tukar dengan barang-barang. Ini berlaku pergerakan ekonomi yang menghidupkan Mekah itu sepanjang masa. Diatur oleh Allah Taala supaya risalah akhir zaman ini menjadi risalah sejagat untuk seluruh dunia. Ini hebat. Kita baca surah ini, tak tahu apakah tujuannya. Ini kehebatan Allah.

Mekah menghubungkan Timur dan Barat. Diatur oleh Allah Taala. Dalam kehidupan ekonomi dan kehidupan ibadatnya 24 jam. Diatur oleh Allah Taala. Rezeki yang melimpah-ruah, dibentuk generasi awal daripada Mekah dipindahkan ke Madinah. Apabila Mekah tak mengiizin untuk ditegakkan negara yang memerintah dengan al-Quran itu. Diterima oleh penduduk Madinah, berkumpul di sana orang-orang Yahudi bani Qainuqa', bani Nadhir, bani Quraizah dan orang Arab Aus dan Khazraj. Di mana orang-orang Yahudi berkumpul di Madinah kerana mendapat maklumat di situ kemungkinan akan berhijrah Nabi akhir zaman yang disebut dalam kitab mereka. Disebut oleh Nabi-nabi mereka.

Apabila penduduk Mekah menolak untuk Islam itu berkuasa di Mekah, maka Nabi berhijrah ke Yathrib. Yathrib ialah nama asal Madinah ataupun Taibah. Lalu Nabi pergi ke Mekah berhijrah membawa kumpulan Muhajirin yang asal Islam di Mekah dan segelintir daripada kabilah yang lain. Bergabung Khazraj dan Aus yang ada di Madinah, yang masuk Islam, dikenali golongan Ansar, yang masuk Islam. Maka dipersaudarakan dengan kestuan umat Islam; Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj dengan persaudaraan Islam. Dengan Islam, dipersaudarakan, dengan iman dan akidah, acuan yang dibawa al-Quran ini, mereka meninggalkan sifat-sifat jahiliah. Dibentuk dengan ilmu al-Quran itu.

Projek yang pertama apabila Nabi berhijrah di Melah ialah masjid. Projek yang pertama masjid. Masjid untuk jadi pusat ibadat, pusat ilmu dan pusat pentadbiran. Siapa yang pergi ke Madinah dapat menyaksikan masjid letak di tengah bandar Madinah. Itu cara pembangunan bandar yang diatur. Sekarang ini orang bangun bandar, masjid letak di hujung. Letak jauh-jauh. Payah nak pergi, atas bukit. Macam-macam. Untuk mengumpulkan manusia beribadat dan berilmu dan diadakan Pasar Madinah untuk kegiatan ekonomi yang melibatkan masyarakat majmuk. Pada awalnya orang Islam adalah golongan minoriti. Di mana Muhajirin-Ansar, Aus dan Khazraj dikumpul kerana mereka adalah orang Islam, kontrak sosial yang pertama dalam sejarah menegakkan negara dalam dunia. Mengeakkan pemerintahan masyarakat majmuk, ada orag Islam dan ada orang bukan Islam.

Mempersaudarakan manusia dengan akidah Islam, dengan sifat kemanusiaan. Manusia satu keluarga besar. Tak dipaksa masuk Islam. Tapi bernaung di bawah pemerintahan Islam yang adil. Banyak agenda tamadun, politik, ekonomi dan lain-lain dimulakan oleh Islam. Kalau kita baca dalam Sirah Nabawiyyah, apabila Nabi nak berhijrah dari Mekah ke Madinah, Nabi dan Abu Bakar berhijrah, menugaskan Ali menantunya supaya memulangkan barang-barang simpanan ynag diamanahkan oleh penduduk Mekah yang bukan Islam. Menandakan, menunjukkan bahawa orang Mekah yang bukan Islam percaya pada sifat mulia Nabi SAW. Mereka simpan barang di rumah Khadijah.

Ahli ekonomi yang mengkaji sejarah ekonomi mengatakan rumah Khadijah adalah bank. Bank Islam. Islam mencipta bank simpanan. Penduduk Mekah menyimpan barang di situ. Ini teori bank yang diamalkan pada hari ini. Dimulakan oleh Islam. Dan banyak lagi hal-hal lain dimulakan oleh Islam. Cek dimulakan oleh Islam. Hospital dimulakan oleh Islam. Empangan, bekalan air dimulakan oleh Islam.

Sesudah Islam disempurnakan, Allah mewafatkan Nabi SAW. Nabi diwafatkan. Siapa nak ganti ganti ketua negara? Macam mana nak pilih ketua negara? Maka diadakan mesyuarat di Saqīfah Banī Sā'idah, hari ini jadi tempat cetak al-Quran. Apabila Nabi wafat, dikebumikan, nak pilih ketua negara. Para sahabat berhimpun di Saqīfah Banī Sā'idah, ada tiga calon, tiga calon.

Keluarga Nabi mencalonkan Ali ibn Abi Talib, menantunya. Aus dan Khazraj Madinah mencalonkan Saad ibn Ubadah. Orang Madinah yang ketua negara. Kalangan Muhajirin mencalonkan Abū Bakr aṣ-Ṣiddīq RA. Masing-masing mengemukakan hujah. Kempenlah, mengemukakan hujah. Apabila mereka mendengar hadis yang dibaca الأئمة من قريش pemimpin daripada Quraisy, mesti Quraisy menjadi pemimpin. Mereka patuh. Kerana Quraisy adalah kabilah yang dominan. Kabilah yang paling ramai jumlah, yang paling kuat untuk menjadi ketua negara. Bukan sahaja ahli ilmu, ada kemampuan tetapi mempunyai pengaruh yang paling besar. Dipilih Abū Bakr aṣ-Ṣiddīq RA jadi ketua negara.

Kita menyaksikan demokrasi Barat yang menggunakan kuasa rakyat. Sejarahnya daripada Athens, demokrasi purba. Daripada Athens, nak buat keputusan berhimpun di stadium, mengundi buat pungutan suara di stadium. Tetapi yang berhak mengundi ialah bangsawan, pahlawan, hulubalang, hartawan. Kaum tua, kaum wanita tak ada hak. Islam memulakan pemilihan ketua negara. Dicatit oleh ulama-ulama dalam kitab-kitab fiqah.

Kita menyaksikan bagaimana di negara Barat, apabila nak ubah kepimpinan, berlaku revolusi. Revolusi di England, revolusi di Perancis, revolusi di Rusia, revolusi di Amerika. Berlaku pembunuhan ribuan, ratusan ribu manusia. Apabila tak puas hati, revolusi bersenjata. Cara yang dahsyat, tidak ada keharmonian. Balik pada harmoni tadi. Panjang mukadimahnya, panjang.

Cara pemilihan orang Islam, pemilihan Abū Bakr lain, pemilihan Umar lain, pemilihan Uthman, pemilihan Ali lain. Pemilihan Sayidina Uthman, Sayidina Umar menugaskan Abd al-Rahman ibn 'Awf untuk meninjau penduduk Madinah sehingga bertanyakan para muslimat sahabiat di rumah-rumah mereka, siapa yang kamu setuju jadi ketua negara. Uthman ataupun Ali. Majoriti bersetuju dengan Uthman. Di mana orang-orang Barat mengkaji bagaimana orang Islam memerintah negara. Baru mereka kenal demokrasi Barat moden yang ada pada hari ini.

Mereka ambil ilmu Islam tanpa akidah, iman dan akhlak. Itu saja. Islam yang sempurna tak sampai seratus tahun memerintah tiga benua besar. Benua Asia, benua Afrika dan benua Eropah. Sempadan Islam di timur Nusantara, dikenali Alam Melayu yang dikuasai oleh Islam. Alam Melayu yang Islam berkuasa ini daripada Sumatera, Acheh sehingga Vietnam dan Kemboja. Negara Cham di situ. Negara Cham, Champa. Orang Islam menguasai di situ. Di Filipina, di bawah takluk Islam. Filipina, Manila asalnya Amanullah. Oh, baru tahu, baru tahu. Manila, Amanullah. Islam memerintah ini, kawasan timur. Besarnya kawasan itu.

Bahasa Melayu menjadi bahasa Islam, bahasa rasmi di Nusantara yang luas ini. Dengan tulisan Jawi huruf Arab. Di Baratnya Afrika Barat. Di Utaranya, selatan Eropah, Andalusia iaitulah Sepanyol dan Portugal. Itu wilayah Islam. Di Asia Tengah termasuk Moscow, al-Misk. Moscow diperintah oleh Islam. Di Selatannya, Afrika Tengah di Selatannya. Sampai Senegal, Habsyah dikuasai oleh Islam. Pada zaman tidak ada alat-alat yang canggih. Tak ada telefon, tak ada kapal terbang, tak ada apa. Islam boleh memerintah negara yang besar mengandungi masyarakat majmuk. Orang-orang bukan Islam tak dipaksa masuk Islam. Sehingga di Mesir, masih ada gereja-gereja Kristian Optik Ortodoks yang dibina sebelum kedatangan Islam. Sampai sekarang masih ada lagi. Di Indonesia masih ada rumah-rumah berhala, Borobudur dan lain-lain. Orang Hindu Bali masih ada. Tak dipaksa mereka masuk Islam. Di Iran masih ada rumah Majusi, rumah penyembah api. Masih ada. Tapi majoriti rakyat masuk Islam.

Orang bukan Islam reda berada di bawah kerajaan Islam. Mengapa Islam boleh memerintah dengan begitu harmoni, masyarakat majmuk ini, Berdasarkan kepada empat perkara. Yang pertama, prinsip akidah. Beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang kedua, konsep takwa dan adil untuk semua. Ini empat perkara yang menjadikan Islam boleh memerintah dengan harmoni, dengan adil, degan baik. Sehingga rakyat berbagai kaum lebih rela berada di bawah kerajaan Islam. Beriman kepada Allah menjadikan khalifah, ketua negara tidak mengatasi undang-undang. Di bawah undang-undang.

Berlakunya pemisahan kuasa di antara Legislatif, Eksekutif dan Judisiari. Ditunjuk oleh Nabi SAW, diajar oleh Nabi lagi. Pernah Yang Arif Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara datang jumpa saya. Beliau kata, saya jumpa dalam Tafsir Ibnu Kathir. Saya pun baca-baca kadang-kadang tak ingat. Apabila dia sebut, saya baca balik, memang ada. Apabila Nabi SAW membeli seekor kuda daripada seorang Arab badawī. Setelah tawar-menawar, Nabi bersetuju untuk beli kuda ini. Tiba-tiba datang orang mengadu hal kepada Nabi. Nabi tak bayar lagi. Berpaling, layan orang yang mengadu ini, layan dulu sehingga selesai. Nak bayar ke badawī ini, lalu dia kata ada orang lain nak beli mahal lagi. Saya nak jual kepada orang lain pula. Tak boleh macam itu. Disebut khiyar majis. Pilihan dalam majlis akad itu masih ada lagi.

Namun Nabi sebagai rasul dan ketua negara tidak menggunakan kuasa merampas yang dibelinya itu. Dilantiknya hakim, tahkim, tribunal. Untuk membicarakan kes Nabi dengan si badawī itu. Ini hebat. Lalu dibicarakan, didapati memang Nabi berhak untuk mengambil kuda itu. Dan si badawī itu reda. Menunjukkan berlakunya pemisahan kuasa dalam pemerintahan Islam. Mendahului Barat dalam aspek undang-undang pemerintahan negara. Ini kehebatan Islam.

Zaman Sayidina Umar bin al-Khattab RA, apabila anak Sayidina Umar berlumba kuda dengan 'Amr ibn al-'As, Gabenor Mesir. Berlumba kuda dengan seorang pemuda Kristian Koptik Ortodoks.Tiba-tiba pemuda Kristian Koptik itu menang, menyebabkan anak Gabenor Mesir 'Amr ibn al-'As kalah. Lalu dia marah, kamu tak kenal siapa aku. Aku ini anak gabenor, kalau lawan aku buat-buat kalahlah. Macam main golf. Saya tahu main main golf ini. Berlawan dengan orang besar, buat-buat kalah, bagi menang orang besar saja. Zaman dulu sudah ada macam itu. Ditamparnya pemuda Koptik itu kerana dia kalah berlumba kuda. Lalu Qibti membawa anaknya pemuda datang ke Madinah menemui Umar bin al-Khattab RA mengatakan dia telah ditampar oleh anak Gabenor Mesir, 'Amr ibn al-'As kerana dia menang anak gabenor kalah. Dia tampar, dia kata أنا إبن الأكرمين aku anak orang bangsawan. Berani kamu kalahkan aku.

Lalu Sayidina Umar menulis surat minta 'Amr ibn al-'As datang ke Madinah bawa anaknya yang namanya sekian-sekian datang. Dibicarakan di hadapan Sayidina Umar. Dalam Islam, hukum Qisas. Kalau tampar balas tampar. Sayidina Umar kata إضرب إبن الأكرمين Sayidina Umar kata, tampar anak orang bangsawan ini. Tercengang. Sayidina Umar kata, wahai 'Amr ibn al-'As, tahukah kamu, Allah melahirkan manusia dari perut ibunya dalam keadaan merdeka. Kamu tak boleh perhambakan manusia. Ini adil untuk semua yang dibawa oleh Islam. Tak ada yang mengatasi undang-undang.

Sayidina Ali karramallahu wajhah kehilangan baju rantai. Baju rantai ini barang yang berharga pada zaman dahulu. Digunakan untuk perang. Sayidina Ali hilang baju rantai, terjatuh daripada kuda dia. Dia bertemu dibawa oleh seorang Ahli Kitab. Sayidina Ali kata, saya tak ada saksi. Memang baju ini, baju saya. Saksi tak ada. Kerana tak ada saksi, maka Syuraih membuat keputusan, serah baju ini kepada si Yahudi. Walaupun yang punya Sayidina Ali. Kerana tak ada saksi. Lalu keluar dari mahkamah, si Yahudi terus datang menemui Sayidina Ali, berkata wahai Amiral Mukminin, ambillah baju ini, kepunyaan Amirul Mukminin. Saya ambil ketika jatuh dari kuda. Apabila Amirul Mukminin pergi ke Siffin, berperang. Saya saksikan inilah hukum Nabi-nabi, hukum Allah yang adil dan Yahudi itu masuk Islam. Ini kehebatan Islam. Ini, disaksikan oleh orang bukan Islam.

Dalam Islam, orang Islam diwajibkan zakat. Orang bukan Islam jizyah ataupun kharāj, cukai. Jizyah dengan makna membalas. Oleh kerana orang Islam, kerajaan Islam menjaga keselamatan mereka, keamanan mereka. Mereka mesti bayar cukai kepada kerajaan Islam. Apabila Abū ‘Ubaydah ‘Āmir ibn ‘Abdillāh ibn al-Jarāḥ RA dilantik menjadi gabenor di wilayah Barat di Syam. Tiba-tiba kerajaan Islam di Syam menghadapi ancaman tentera Byzantin Rom Timur yang berlipat kali ganda jumlahnya. Menyebabkan kerajaan Islam tak mampu nak jaga kemananan. Lalu Abū ‘Ubaydah memanggil orang bukan Islam, memulangkan balik jizyah, cukai yang diambil daripada mereka. Orang bukan Islam hairan. Macam mana ini kerajaan ambil cukai pulang balik. Biasa nak penaik adalah. Nak naik lagi itu ada. Ini ambil cukai, pulang balik. Ini pelik.

Kata Abū ‘Ubaydah, jizyah ini dengan makna jaza', balasan kami jaga keamanan. Apabila kami tak mampu nak jaga keamanan, kami tak berhak, ambil balik. Amalan ini menyebabkan orang bukan Islam masuk Islam. Di mana orang Utara Afrika, Mesir, Libya, Algeria, Moroko asalnya bukan orang Arab. Sekarang jadi orang Arab, cakap Arab, masuk Islam. Segelintir sahaja yang tak masuk Islam. Bukan dipaksa. Kerana melihat adilnya Islam. Rahmatnya Islam. Kerana takwa. Kerana beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang ada dalam konsep pemerintahan Islam itu.

Mewujudkan keharmonian. Di mana untuk menyatukan manusia, tak sama dengan menyatukan kayu dan batu. Nak satukan kayu, gunakan tali untuk berkas ikat dia. Nak satukan batu-bata gunakan simen. Manusia tak boleh buat macam itu. Manusia ada perasaan, ada akal dia. Nak menyatukan manusia mestilah dengan akidah, dengan iman, dengan akhlak yang mulia. Mewujudkan perpaduan, keadilan untuk semua. Menyebakan orang bukan Islam masuk Islam.

Itu semua dalam sejarah. Dalam sejarah sahaja. Kita menghadapi zaman kejatuhan orang Islam. Kejatuhannya berpunca kerana orang Islam meninggalkan ajaran Islam. Berlakunya penyelewengan dengan sebab kemewahan. Berlaku, sehingga orang Islam lemah. Tanah air orang Islam dijajah. Dijajah oleh musuh-musuh berbagai agama, berbagai fahaman. Dipecah, diperintahnya orang Islam ini. Dibahagi-bahagikan tanah air mereka sesama kuasa penjajah. Di rantau kita ini, Indonesia bagi kepada Belanda. Filipina bagi kepada Sepanyol, wilayah Amerika. Champa, Vietnam dengan Kemboja diberi kepada Perancis. Malaysia, Inggeris. Dibahagi sama-sama kuasa penjajah.

Di negara Arab; Algeria, Tunisia, Moroko, Maurutania itu diperintah oleh Perancis. Mesir, Sudan, negeri Teluk, Yaman Selatan diperintah oleh British. Mereka bahagikan negeri orang Islam.

Di Asia Tengah, sebahagiannya ditakluk oleh Soviet. Sebahagiannya oleh China Komunis. Dibahagi-bahaginya orang Islam sesama mereka. Dahsyatnya yang dialami oleh umat Islam pada akhir aman ini. Mengapa jadi begini? Kerana kita meninggalkan ajaran Islam. Itu puncanya. Tak beramal dengan Islam. Kejahilan umat, kelemahan pada ulama untuk memimpin umat pada zaman mutakhir menyebabkan umat Islam dijajah, tanah air mereka dijajah. Namun, mereka tak boleh menghapuskan agama Islam ini.

Orang Islam bangkit menentang penjajah di seluruh dunia. Termasuk di Sabah, di Sarawak, di Brunei ada pemimpin-pemimpin yang menentang penjajah. Di Indonesia, di Tanah Melayu, di Filipina menentang penjajah. Di negara Arab mereka tak menyerah kalah kepada penjajah. Dalam kedaan yang lemah.

Ini janji Allah. Walaupun Islam ditakluk umatnya, cahayanya tak boleh dipadam. Ini janji Allah Taala. Di sinilah pemikir-pemikir Barat pernah membuat kenyataan. Antaranya ialah Profesor Francis Fukuyama dari Amerika yang tersohor pada zaman ini, yang membuat kenyatan selepas kejatuhan Soviet Union pada abad yang lalu. Francis Fukuyama mengatakan bahawa sekarang tinggal satu tamadun iaitu tamadun Barat. Semua tamadun zaman dahulu dalam lipatan sejarah. Barat akan mejadi kuasa besar tunggal yang memerintah dunia pada masa depan.

Pandangan Fukuyama disanggah oleh Huntington, mengatakan di sana ada lagi yang mencabar Barat yang tak boleh dihapus sekali-kali iaitulah Islam. Walaupun tak ada kuasa besar yang memerintah dunia Islam tetapi ajarannya diwarisi oleh umat Islam, tak boleh dihapuskan. Termasuk Henry Kissinger yang pernah jadi Setiausaha Luar Amerika berapa lama dulu membuat kenyataan, jangan pandang ringan terhadap Islam ini Walauun mereka tak ada negara besar yang melinduingi, tetapi cahayanya laksana api dalam sekam yang tak boleh dipadamkan.

Di mana rahsianya? Ringkas ceritanya, orientalis Barat yang membuat kajian di dunia Islam. Mereka mengkaji ajaran Islam dan masyarakat Islam. Rahsia kedegilan orang Islam tak tunduk kepada penjajah walaupun mereka miskin ialah mereka masih kukuh berpegang kepada ajaran Islam itu.

Disimpulkan oleh Gladstone, Perdana Menteri British zaman Queen Victoria. Beliau berucap di Parlimen British ketika membahaskan kebangkitan orang Islam yang tidak menyerah kalah kepada penjajah. Mendiang Gladstone kata, ada tiga perkara, selagi ada tiga perkara ini, orang Islam tak mungkin dihapuskan semangat mereka. Yang pertama al-Quran al-Karim. Selagi ada al-Quran dibaca oleh orang Islam, selama itulah tak boleh dihapuskan Islam. Yang kedua solat Jumaat seminggu sekali. Orang Islam tak tinggal sembahyang Jumaat di mana-mana. Selagi ada solat Jumaat, dengar khutbah walaupun lekeh saja, semangat mereka tak hilang. Yang ketiga haji di Mekah tiap-tiap tahun. Menemukan orang Islam. Ini tga batu pejalnya sangat besar yang tak boleh dimusnahkan oleh teknologi Barat yang ada pada orang Islam. Selagi ada perkara ini, hati orang Islam tetap berpaut dengan ajaran agama mereka.

Dan kita kena sedar, dunia hari ini dalam keadaan kacau-bilau. Menandakan kegagalan ideologi-ideologi ciptaan manusia. Menghuru-harakan dunia dalam segala aspek ekonomi, politik dan masyarakat. Disaksikan oleh dunia pada hari ini. Keruntuhan moral yang mencelarukan kehidupan manusia. Ekonomi yang zalim terhadap sesama manusia. Politik yang menipu sesama manusia, berlakunya kezaliman. Tida ada yang boleh menyelamat melainkan Islam. Di sini kita perlu kembali kepada Islam. Bukan saja menjadi agama yang kita yakini dalam hubungan kita dengan Allah juga adalah ad-din yang boleh menyelamatkan manusia dalam kehidupan dunia dan sehingga ke hari akhirat.

Saya rasa itulah beberapa perkara yang dapat saya ucapkan dalam majis ini.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget