NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Iktiraf UEC: Tommy Thomas tak hormat Perlembagaan?


Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 23 Rejab 1440H, Sabtu – Keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas meletakkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) setaraf dengan STPM dan A-Levels, bagi membolehkan pelajar persendirian Cina membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) amat mendukacitakan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Muhammad Thalhah Kamarol Zaman kesal kerana tindakan itu jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, yang tidak pernah mengiktiraf UEC.

"Saya kira ini penghinaan kepada sistem perundangan negara apabila sistem pendidikan luar seperti Taiwan boleh menembusi profesion perundangan negara.

"Malah ia juga ketidakadilan kepada sesetengah institusi pengajian awam tempatan yang masih belum diiktiraf CLP," katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Semalam, Tommy yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia mengesahkan, CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap 'Senior Middle 3' bermula 1 Januari 2021.

Katanya, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC ialah lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya 5 kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Levels/setaraf yang diperoleh dalam 1 peperiksaan yang sama.

Tommy berkata, syarat berkenaan hendaklah terpakai bagi semua pelajar yang mendaftar bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang selepas pengumuman keputusan terdahulu pada 5 Jun 2018.

Mengulas perkara itu, Thalhah tetap menyifatkan keputusan peguam negara sebagai membelakangkan Perlembagaan, lebih-lebih lagi ianya tidak selari dengan sistem undang-undang negara.

"Ini ternyata satu usaha jahat untuk menyamakan kedudukan UEC dan sistem pendidikan negara sedia. Pada masa sama ia adalah proses normalisasi UEC ke dalam pendidikan negara," katanya.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996.

Sebelum ini Dong Zhong – Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia – sudah sejak sekian lama berkeras mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/03/30/iktiraf-uec-tommy-thomas-tak-hormat-perlembagaan/











No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo