NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hadi: Gabungan PAS-Umno tak ancam kaum lain, akan kerjasama dengan PPBM juga



Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti Islam itu menjalin kerjasama rasmi dengan Umno untuk menyatukan parti Melayu, tetapi mereka tidak akan mengancam atau mengabaikan kaum lain.

Ini kerana katanya, orang Melayu berpecah dari segi politik, tetapi bukannya kaum lain dan ini juga adalah alasan PAS akan menyokong Dr Mahathir Mohamad.

"Kita kerjasama dengan parti lain, khususnya parti Melayu.

"Parti Melayu ialah PAS, Umno dan PPBM. PKR bukan parti Melayu, Amanah bukan parti Melayu.

"Sekarang ini Tun jadi perdana menteri, maka kita pertahankan dia," katanya kepada wartawan di Kuala Terengganu, hari ini.

Kelmarin, Umno mengesahkan kerjasama rasmi dengan PAS di peringkat Parlimen dan setiap pilihan raya kecil, selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti dan senario politik tempatan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam dilapor menyifatkan kerjasama Umno-PAS sebagai "isyarat perang" terhadap orang bukan Melayu dan Islam.

Hadi berkata, kaum lain perlu menghargai jasa umat Islam yang menerima mereka sebagai warganegara dan diberikan kebebasan beragama serta menubuhkan sekolah berasaskan bahasa ibunda mereka.

"Di Indonesia dan Thailand, mereka tidak dibenarkan buka sekolah Cina. Di negara kita, kita benarkan. Sepatutnya mereka terhutang budi, tetapi mereka meminta lebih."

"Mereka sepatutnya sedar diri, bagaimana orang Islam yang 65% (ialah) penduduk Malaysia, tetapi 80% (ekonomi) di tangan bukan Islam. Di Indonesia, Cina hanya 2%, tetapi ekonomi 80% di tangan bukan Islam. Ini boleh mencetuskan ketegangan."

Dalam perkembangan lain, Hadi menafikan beliau membayar lebih RM1 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sebagai sebahagian penyelesaian luar mahkamah berkaitan saman fitnah yang difailkan di London.

"Dulu RM90 juta, sekarang dah turun sejuta? Saya tak bayar. Tak betul."

Beliau berkata, PAS ialah parti miskin dan ia perlu bergantung kepada sumbangan orang ramai, termasuk bukan Islam.

"Ada yang datang beri sumbangan kepada PAS, khususnya semasa pilihan raya, membiayai pusat pengajian, beribu kelas PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam), beratus sekolah yang kita dirikan. Semua ini sumbangan orang ramai.

"Semasa pilihan raya, ada yang beri pinjaman untuk membayar deposit."

Pada 1 Mac lalu, Sarawak Report mengesahkan dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang Hadi membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah terhadap saman fitnah difailkan ahli Parlimen Marang itu.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Pada 1 Mei 2018, peguam mewakili PAS, Wan Rohimi Wan Daud dilaporkan berkata, Hadi memenangi semua 5 permohonan interlokutori dalam kes saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown, tetapi Hadi bertindak menarik balik saman itu awal bulan lalu.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan hasil siasatan tidak menemui sebarang kemasukan dana 1MDB sebanyak RM90 juta ke akaun PAS.

Hari ini, Hadi berkata, saman fitnah itu ialah kes politik kerana parti itu tidak mahu menghabiskan masa dan wang bagi kes berkenaan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo