NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guan Eng boleh cetuskan api permusuhan kaum, kata Nasrudin


Bertali arus pemimpin PAS dan Umno tampil membidas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berikutan dakwaannya bahawa 'kerjasama' kedua-dua parti itu adalah suatu 'perisytiharan perang' ke atas masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Terbaru, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menyifatkan kenyataan Lim sangat bahaya dan boleh mengugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

"Kenyataan Lim sangat bahaya, boleh mencetuskan api permusuhan dan mengundang persekitaran yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Lim dan DAP cuba untuk menyalakan api permusuhan yang keterlaluan. Apakah mereka sangka kerjasama politik PAS dan Umno bertujuan untuk menghapuskan hak dan kepentingan golongan bukan Melayu?" soalnya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Harakahdaily.

Sebaliknya, kata Nasrudin, kerjasama PAS dan Umno adalah satu tindakan untuk melindungi kedudukan Islam, menyatupadukan ummah dan membela kebajikan orang Islam di Malaysia.

"Tidak ada satu pun kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan PAS yang mengecam golongan bukan Islam dan bukan Melayu, apatah lagi melancarkan permusuhan terhadap mereka," katanya.

Lim semalam menggesa MCA untuk meninggalkan BN memandangkan Umno dan PAS kini bergandingan. Kenyataan itu hanya dikeluarkan dalam bahasa Cina.

Menurutnya Umno dan PAS kini "mengisytiharkan perang" kepada masyarakat bukan Islam.

Beliau memberi contoh semasa kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands dan Semenyih yang menyaksikan kedua-dua parti itu membuat kenyataan "ekstremis" seperti membidas tindakan kerajaan persekutuan melantik individu bukan Islam sebagai menteri kabinet.

Lim turut mendakwa PAS dan Umno melaga-lagakan antara orang Melayu dan kaum lain.

Walau bagaimanapun, lewat tengah malam semalam, Lim mengeluarkan pembetulan dalam kenyataan asalnya untuk menggantikan perkataan "mengisytiharkan perang" kepada "menyasarkan".

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata kenyataan pemimpin DAP itu sangat bahaya dan boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang ekstremis untuk melancarkan pelbagai tindakan propaganda supaya agenda penyatuan ummah gagal.


"(Justeru) PAS menuntut Lim memohon maaf secara terbuka dan membetulkan keadaan.

"Perjuangan PAS dan tindakan politiknya sehingga kini menepati lunas feqh politik Islam dan juga tidak bercanggah dengan amalan demokrasi negara.

"Persoalannya kenapa Lim dan DAP kelihatan begitu cemas, takut dan panik dengan kerjasama politik antara PAS dan Umno?" soalnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo