NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Erat hubungan anak Terengganu


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

KUALA LUMPUR: Karnival Sukan Rakyat Perantau 2019 antara platform digunakan kerajaan Terengganu berkongsi maklumat dan manfaat bersama anak negeri yang berhijrah di perantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata sejak acara sedemikian dimulakan Februari lalu oleh kerajaan negeri, ia sudahnya menjelajah ke beberapa zon, termasuk selatan dan utara.

Katanya, pendekatan karnival sukan diadakan di Lembah Klang, namun sebelum ini ia turut anjurkan dalam bentuk sesi perjumpaan di Pulau Pinang dan Johor.

“Ia selaras memenuhi matlamat kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat berhubung Bajet Negeri Terengganu 2019 bertemakan ‘Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera’.

Penerangan khusus berhubung Bajet itu bagi memastikan mereka dapat merasai kesan daripada pembentangan bajet itu.

“Kita ingin mereka tahu bahawa walaupun berada di negeri orang, segala kemudahan untuk anak negeri termasuk bantuan, sumbangan dan pinjaman, layak mereka terima,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan karnival berkenaan, di sini hari ini.

Wan Sukairi (tiga dari kiri) beramah mesra bersama peserta Karnival Sukan Rakyat Perantau Terengganu di Padang Bukit Expo, UPM Serdang. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Bajet 2019 berjumlah RM2.015 bilion, iaitu peruntukan yang lebih besar berbanding RM1.996 bilion dalam bajet tahun lalu.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, kerajaan negeri menjangka akan memperoleh hasil berjumlah RM2.015 bilion menjadikan Bajet 2019 berimbang.

Sementara itu, karnival sukan rakyat itu dianjurkan Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) dengan kehadiran lebih 300 ahli.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo