NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bukit Malut hampir ditenggelami lautan sampah


LANGKAWI: Bukit Malut di Langkawi, Kedah, sekali lagi berdeoan episod baharu yang juga berkait dengan kebersihan iaitu sampah.

Ibarat tiada 'kunjungan' penguatkuasa ke sana, Bukit Malut yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuah, hampir 'ditenggelami' sampah, apabila sisa buangan itu langsung tidak diuruskan dengan baik.

Bahkan menurut penduduk, tong sampah yang dibekalkan 'hanya sekadar ada'.

Tinjauan Astro AWANI pada Isnin jelas kelihatan sampah berselerakan serta tidak dikutip.

Sampah sarap dari sisa buangan bahan domestik juga sudah tidak terlindung dan jelasnya makin ketara.

Hanya ada dua tong sampah di hujung jalan besar, yang jika dihitung saiz tong sampah itu, tidak cukup untuk menampung jumlah penduduk yang sedia ada.


Menurut Ketua Kampung Kampung Datuk Haji Hassan Bulat, Ishak Hassan, isu sampah di Bukit Malut ini bukan sesuatu yang baharu.

"Saya minta tolonglah kepada pihak berwajib supaya ambil tindakan yang sewajarnya.

"Kami minta sediakan satu tong sampah bagi setiap 100 rumah di sini," ujarnya.

Penduduk juga meminta pihak berkaitan terutamanya Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) mengambil tindakan segara untuk selesaikan masalah mereka.

Sementara itu Yang Dipertua MPLBP, Abdul Bari Abdullah menjelaskan perkhidmatan menyelia dan mengurus sampah di kawasan Bukit Malut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal.

"Sebenarnya saya ingin maklumkan di sini bahawa kawasan penempatan Bukit Malut adalah berada di luar daripada kawasan perkhidmatan MPLBP.

"Walaubagaimanapun syarikat konsesi yang telah dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah pun menyediakan dan mengadakan dua tempat tong berpusat bagi kawasan tersebut," jelasnya.

Pihaknya turut meminta kerjasama dari semua pihak di kawasan terbabit untuk sama-sama membuang sampah di tempat yang telah ditetapkan.

Abdul Bari juga berjanji akan mendapatkan maklum balas daripada pihak syarikat konsesi yang dilantik berhubung isu berkenaan.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/bukit-malut-hampir-ditenggelami-lautan-sampah-200889

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo