NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adun DAP dituntut mohon maaf



BANGI, 11 Rejab 1440H, Isnin – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Chew Chong Sin digesa membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia, apabila mengaitkan serangan pengganas ke atas masjid di New Zealand dengan kerjasama UMNO dan PAS.

Adun Panti, Hahasrin Hashim berkata, walaupun wakil rakyat DAP itu telah menarik semula kenyataannya, namun ia cukup menggambarkan kepimpinan dan ideologi parti yang tidak sensitif, malah berprasangka buruk terhadap umat Islam dan orang Melayu.

"Beliau sengaja mencetuskan kebencian dan provokasi kepada kerjasama UMNO-PAS dan menganggap penyatuan atas nama Islam ini adalah ekstremis.

"Saya menggesa agar Chew Chong Sin memohon maaf kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dan parti DAP pula harus memastikan ianya tidak berulang dalam kita menjaga keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia ini," katanya.

Memetik laporan UMNO Online, Hahasrin turut memberi peringatan tegas kepada Chong Sin dan semua pelampau di negara ini agar tidak terikut-ikut dengan sentimen yang selalu dimainkan oleh Barat atau mana-mana kumpulan antiagama dan kumpulan anti-Islam. 

"Saya ingin menegaskan agar parti DAP untuk tidak menangguk di air yang keruh atas peristiwa sedih yang sedang menimpa umat Islam di New Zealand. Sememangnya, ianya juga memberi kesan kepada umat Islam di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong menyifatkan kenyataan Chong Sin berhubung tragedi serangan keganasan di Christchurch bukan pendirian parti.

"Walaupun Chong Sin telah menarik balik dan memohon maaf sebanyak tiga kali, saya mengakui kenyataan tersebut memberi kesan serius.

"Nasi sudah menjadi bubur dan saya menegur sikap beliau yang tidak sensitif. Parti amat memandang serius insiden ini," kata Chin Tong.

Media melaporkan, angka kematian serangan pengganas masjid di Christchurch meningkat kepada 50, selepas seorang mangsa ditemui di dalam salah satu masjid berkenaan.

Setakat ini, 50 lagi mangsa disahkan turut tercedera dalam tragedi tersebut dan 36 masih dirawat di Hospital Christchurch, dua daripada mereka dalam keadaan kritikal.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo