NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

46 lokasi di Pasir Gudang berisiko tercemar



JOHOR, 13 Rejab 1440H, Rabu – Sebanyak 46 lokasi baharu dikenal pasti berpotensi berlakunya pencemaran di Pasir Gudang.

Susulan pemantauan pihak berkuasa dengan menggunakan data satelit bagi mengesan punca dan sumber kes pencemaran sisa kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim, baru-baru ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata demikian dalam pembentangan laporan terperinci Jawatankuasa Saintifik mengenai pencemaran sungai berkenaan.

"Antara kawasan berisiko adalah tempat pelupusan sampah domestik yang akan dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala satu lagi, tempat pembuangan sisa berjadual," katanya, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, 46 lokasi itu akan dibersihkan dan berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

"Perkara ini akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Selain itu, lokasi , pihaknya mengesahkan bahawa lokasi-lokasi baharu seperti Sungai Selangkah dan Sungai Masai yang telah dikenal pasti itu tidak tersenarai sebagai sumber terjadinya keracunan di Sungai Kim Kim.

Dalam usaha jangka panjang untuk memastikan perkara ini tidak berulang, beliau berkata, satu Jawatankuasa Penilai akan ditubuhkan bagi melihat sungai-sungai tercemar, bukan sahaja di Pasir Gudang malahan di semua kawasan perindustrian di seluruh negara.

"Apa yang dilakukan di sini, akan turut dilakukan di kawasan perindustrian-perindustrian lain di Malaysia. Apa yang dapat kita pelajari dalam isu ini adalah kita kena memperkukuhkan lagi prosedur operasi standard (SOP) untuk menjaga kualiti alam sekitar," katanya.

Justeru, beliau berkata, kepentingan untuk memperkasakan jentera di bawah agensi-agensi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan pada masa hadapan. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo