NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

19 kakitangan PBB terkorban dalam nahas Ethiopian Airlines




Pasukan penyelamat mengalihkan mayat dari lokasi pesawat Ethiopia Airlines terhempas berhampiran Bishoftu kira-kira 60km tenggara Addis Ababa, Ethiopia, semalam. (Gambar AFP)
AMERIKA SYARIKAT: Sekurang-kurangnya 19 penumpang yang terkorban dalam nahas pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 berhampiran Addis Ababa, Ahad lalu, ialah kakitangan organisasi berkaitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata ketua agensi migrasi PBB.


Pihak berkuasa berkata, semua 157 penumpang dan anak kapal terbunuh, apabila Boeing 737 itu terhempas beberapa minit sejurus berlepas dari Addis Ababa dalam perjalanan ke Nairobi, di mana satu persidangan alam sekitar PBB akan diadakan.


"Petunjuk awal ialah 19 kakitangan organisasi berkaitan PBB sudah meninggal dunia," kata Ketua Migrasi PBB, Antonio Vitorino dipetik AFP.


Beliau berkata, mereka termasuk kakitangan dari Program Makanan Sedunia (WFP), Agensi Alam Sekitar PBB dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).


Antara kakitangan IOM itu ialah Anne Feigl yang bekerja untuk misi di Sudan.


Ketua misi itu, Catherine Northing berkata, Feigl ialah "rakan sekerja yang komited, profesional, popular dan amat dihargai".


Sementara itu, Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley, mengesahkan 7 kakitangannya maut.


Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian yang berpangkalan di Geneva, Filippo Grandi dalam satu kenyataan bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah kakitangannya yang terkorban, tetapi menyifatkan agensinya mengalami "kerugian besar".


Terdahulu, sumber PBB berkata, beberapa penterjemah bebas yang dalam perjalanan menghadiri persidangan alam sekitar PBB itu, mungkin antara mangsa korban.


Sumber itu berkata, sukar mengesahkan jumlah kakitangan PBB yang terkorban kerana bukan semua yang menggunakan pasport PBB dan ada pula yang tidak memaklumkan jadual perjalanan mereka kepada badan dunia itu.


Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, beliau "amat sedih dengan kehilangan nyawa tragis itu."


"PBB sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Ethiopia mengenai butiran kakitangan PBB yang terkorban dalam tragedi ini."


Sementara itu, Bernama melaporkan 149 penumpang yang terkorban itu datang dari sekurang-kurangnya 35 negara.


Menteri Pengangkutan Kenya, James Macharia dalam sidang akhbar di Addis Ababa semalam, mengesahkan terdapat 32 penumpang dari Kenya, Kanada (18), Ethiopia (9), Itali (8), Amerika Syarikat (8), Perancis dan United Kingdom masing-masing 7 orang.


Penumpang lain terdiri daripada 6 masing-masing dari China dan Mesir, Belanda (5) dan 4 masing-masing dari India dan Slovakia.


Sementara itu, gergasi pembuatan pesawat AS, Boeing, berjanji menawarkan bantuan teknikal kepada Ethiopia, susulan nahas semalam.


"Satu pasukan teknikal Boeing akan berlepas ke lokasi nahas untuk memberikan bantuan di bawah arahan Biro Penyiasatan Kemalangan Ethiopia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS," kata Boeing dalam satu kenyataan ringkas dipetik agensi berita China Xinhua.


Ia turut mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang menaiki penerbangan 302 itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo