NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Pacu Industri Pertanian Melalui Teknologi Moden

Dr. Azman melihat benih pokok yang diusahakan oleh Nasarudin Mohamed di Tapak Semaian Nasaruddin, Jabi 
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 21 Februari-Kerajaan negeri terus mempergiatkan usaha memajukan industri pertanian dengan pelbagai teknologi moden bagi mendapat impak yang lebih besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan teknologi dalam sektor pertanian ini terus bergerak tanpa batas dan sentiasa maju ke hadapan. 

"Apabila teknologi mainkan peranan, kita akan mendapat hasil berganda walaupun tidak mempunyai keluasan yang luas…siapa yang bergerak lambat dan kekal dengan dunia tradisi , dia akan ketinggalan ke belakang.

"Contohnya penggunaan teknologi oleh sahabat kita di ladang durian Musang King dengan keluasan 300 hektar, dapat diatur tanpa buah luruh serentak. Bila luruh sekali gus, pelbagai risiko yang akan ditanggung seperti harganya akan jatuh, melebihi permintaan, tidak sempat dijual dan sebagainya.Inilah ilmu yang diperuntukkan untuk 'mengajar' pokok," katanya yang turut menegaskan kepentingan penguasaan ilmu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Penyediaan Benih dan Cantuman Pokok di Tapak Semaian Nasaruddin, Jabi yang dianjurkan oleh Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar (LATAS) Setiu, baru-baru ini.

Menurutnya, LATAS merupakan satu syarikat yang akan bergiat lebih komersial dalam sektor pertanian. Setakat ini, yang diloporinya adalah Ubi Sweet LATAS dan akan berperanan dalam beberapa sektor pertanian dalam negeri antaranya membaikpulih semula ladang Kelapa Matag di Kubang Puyu di Langkap dengan keluasan 35 hektar yang terbiar sejak 2011. 

Jelas Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, mengikut Institut Kajian Ekonomi, Terengganu terbelakang dalam bidang lain kecuali pertanian dan ia amat serasi di bumi Jabi. Kelompangan dan peluang yang ada membuka banyak peluang untuk diceburi sektor ini bagi menjamin 'food security' bagi negeri Terengganu.

" Kita nak ubah minda rakyat yang selama ini berfikir bahawa bidang ini bidang yang gagal. Harapan yang saya nampak sangat cerah untuk menjadikan pertanian ini satu kerjaya dan perniagaan.

"Sepanjang kita turun padang seluruh Terengganu, ramai yang datang dari generasi muda menunjukkan bahawa mereka melihat pertanian ini satu kerjaya yang boleh jadi sumber ekonomi.Yang ni yang kita nak, bukan lagi setakat apa yang diwarisi oleh orang dulu-dulu,"ujarnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo