NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya nampak sekumpulan lelaki pukul seseorang, saksi beritahu inkues Adib




SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, beliau ternampak beberapa lelaki memukul, menendang dan memijak badan seorang individu di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Mualaf, Nasaruddin Abdullah berkata, kumpulan lelaki itu menyerang mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

"Selepas van (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) bomba berpusing, saya nampak 30 orang mengelilingi seseorang dan mereka mencarut.

"Saya perhatikan gerak-geri 30 orang itu seolah-olah memukul seseorang. Nampak mereka buat bulatan, nampak macam menendang, menumbuk ke arah bawah dan memijak," kata saksi ke-17 inkues itu dalam bahasa Tamil di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, kejadian itu berlaku kurang seminit sebelum kumpulan lelaki itu melarikan diri ke arah kuil, selepas mendengar jeritan "polis datang".

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika lelaki yang mengelilingi individu terbabit bersenjata.

Beliau berkata, selepas kumpulan terbabit bersurai, beberapa individu tampil mengusung lelaki berseluar celoreng itu.

"Individu berseluar bomba itu diusung tanpa memakai baju, sambil seorang lelaki merakam video," katanya ketika ditanya pegawai pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-11 inkues.

Pada 18 Februari lalu, saksi ke-9 inkues itu yang juga anggota Jabatan Pertahanan Awam, R Narresh dilaporkan berkata, beliau ternampak kesan tapak kasut pada rusuk kanan Adib ketika memeriksa kecederaan pada badan anggota bomba itu.

Adib yang juga anggota van EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo