NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rakaman suara Nik Abduh dipetik luar konteks, kata PAS




PETALING JAYA: PAS mengesahkan rakaman suara individu yang mengulas isu PAS menerima dana daripada Umno ialah Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Nik Abduh sendiri mengakuinya tetapi rakaman itu bukan keseluruhan perbualan.

"Dia berkata ia tidak menunjukkan konteks sebenar. Ia bukan hanya mengenai PAS menerima wang daripada Umno; ada perkara lain.

"Untuk memahami konteks rakaman suara itu, kita perlu dengar dari awal hingga akhir. Hanya selepas itu kita akan faham segala-galanya," Bernama memetik ucapan Takiyuddin selepas satu majlis di Kubang Kerian, Kelantan.

Sebelum ini dilaporkan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menghasilkan rakaman suara untuk menyokong dakwaannya bahawa pemimpin PAS menerima RM90 juta yang dikaitkan dengan 1MDB dari Umno.

Isu rakaman suara itu timbul sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tetapi Nik Abduh menafikannya, mengatakan ia tidak masuk akal dan satu pembohongan.

Isu itu muncul semula rentetan penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Rewcastle-Brown berhubung artikel yang mendedahkan dakwaan tersebut pada 2 Feb.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata PAS tidak akan meletakkan calon pada PRK Semenyih untuk memberi laluan kepada parti pembangkang yang lain, termasuk Barisan Nasional.

"Kami mahu mewujudkan perpaduan dalam kalangan pembangkang di negara kita, termasuk di Selangor," katanya.

Beliau menambah kerjasama politik antara PAS dan Umno adalah untuk kebaikan Islam, orang Melayu dan perpaduan rakyat dan akan berterusan sehingga PRU15.


Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/02/13/rakaman-suara-nik-abduh-dipetik-luar-konteks-kata-pas/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo