NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkemas SOP perlombongan bauksit, pakar ingatkan kerajaan

Moratorium perlombongan bauksit yang bermula 2016, tamat hujung Mac ini. (Gambar Bernama) 

PETALING JAYA: Seorang pakar kualiti air menggesa kerajaan membuktikan penduduk negeri Pahang akan terselamat daripada pencemaran yang berpunca daripada kegiatan perlombongan bauksit, berikutan pengumuman Putrajaya sekatan 3 tahun ke atas kegiatan itu tidak diteruskan selepas hujung Mac ini.

"Saya dengar sudah ada prosedur operasi standard (SOP) baru, tapi pastikan ia lebih baik kerana kesan sebelum ini sangat teruk," Zaki Zainudin, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), memberitahu FMT.

Beliau merujuk kepada dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasiona (BN) gagal menghalang pencemaran yang meluas akibat kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

"Kita mahu lihat sama ada pihak berkuasa boleh tunai janji mereka (untuk kuat kuasa peraturan berkaitan perlombongan bauksit)," katanya.

"Kita mahu ingatkan kerajaan dan pihak berkepentingan bahawa mereka perlu buktikan keberkesanan pelaksanaan banyak perkara dari segi kawal selia kegiatan ini," katanya.

Perlombongan bauksit diharamkan pada awal 2016 selepas kegiatan perlombongan tanpa kawalan dan resapan dari simpanan stok mencemari sumber air, sekali gus menjadikan permukaan jalan raya, air sungai dan air di pesisiran pantai berwarna merah.

Isnin lalu, Putrajaya mengumumkan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium disebabkan permintaan tinggi terhadap bauksit, yang merupakan bahan utama untuk menghasilkan aluminium.

Menyedari bahawa kerja membersihkan bauksit kini akan menjadi sebahagian daripada kegiatan perlombongan, Zaki berkata, ia boleh memberi kesan buruk kepada sungai.

"Bagaimanakah air buangan itu akan dikendalikan ? Walaupun tiada hujan, masih akan terdapat air buangan," katanya.

Zaki juga meluahkan kebimbangan mengenai masalah hakisan, yang menurutnya pernah berlaku.

"Apabila hujan, hakisan menyebabkan sedimen bauksit masuk ke dalam sungai. Pihak berkuasa mesti menangani masalah hakisan dari tapak perlombongan yang akan membawa sedimen bauksit ke sungai atau saliran air berdekatan," katanya.

Jika tidak ditangani katanya, sedimen bauksit itu akan memberi kesan ke atas ikan dan kehidupan sungai lain dan membawa logam berat seperti besi ke dalam air.

Zaki mengingatkan tentang pentingnya tindakan penguatkuasaan dan mitigasi bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas, dengan berkata, banyak negara lain turut melombong bauksit.

Pengarah Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Teknologi Malaysia, Maketab Mohamed berkata, pembersihan bauksit pernah dijalankan di Bukit Sagu di Pahang.

"Pembersihan bauksit tidak terkawal tanpa rawatan air buangan yang mengandungi jumlah sisa pepejal serta logam berat toksik seperti merkuri yang tinggi akan memberi kesan buruk ke atas alam sekitar," katanya, sekali gus mengingatkan bahawa kemudahan pembersihan yang ada terletak di bahagian hulu sumber bekalan air bagi Kuantan seperti Sungai Kuantan.

Beliau juga mengingatkan tentang bahaya tumpahan dari kenderaan pengangkut bauksit yang tidak dikawal dan ditutup dengan betul.

Ketika ditanya apakah terlalu awal untuk kerajaan menamatkan moratorium, Maketab berkata, ia bukanlah soal sama ada kerajaan perlu mengharamkan kegiatan perlombongan atau sebaliknya.

"Ia bukan soal moratorium, tetapi bagaimana agensi kerajaan menjalankan tugas mereka," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo