NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam gesa kerajaan pastikan keselamatan Hamid


Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong agar memastikan keselamatan Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer membuat pendedahan berhubung institusi kehakiman dalam afidavitnya hari ini.

Haniff juga mengulangi gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara yang dibuatnya sejak Ogos tahun lalu.

"Yang paling utama sekali, menteri undang-undang perlu memastikan keselamatan Hamid kerana saya, seperti juga yang lain, bimbang dengan keselamatannya susulan pendedahannya itu.

"Tidak pernah sebelum ini seorang hakim begitu berani untuk tampil dan mendedahkan perkara ini dan juga mendedahkan terdapat hakim-hakim tertinggi tertentu sebelum ini telah menolong pihak swasta untuk menipu kerajaan.

"Semua ini dakwaan yang serius yang perlu diteliti oleh kerajaan hari ini.

"Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan keselamatan Hamid terlebih dahulu. Itu yang paling penting dan utama sekali," katanya kepada Malaysiakini.

Haniff berkata, beliau maklum bahawa sebagai hakim Mahkamah Rayuan, Hamid mempunyai pengawal peribadi, namun ia tidak cukup susulan pendedahannya.

Dalam afidavitnya hari ini, Hamid mendakwa terdapat hakim yang membantu pihak swasta menipu duit kerajaan, melalui penama politik yang memeterai kontrak dengan kerajaan.

Sebaik kerajaan membatalkan kontrak, beliau mendakwa, pihak swasta akan mengheret kerajaan ke mahkamah untuk menuntut pampasan.

Dalam konferens undang-undang Badan Peguam Malaysia tahun lalu, Hamid mendakwa dia diberi teguran oleh hakim kanan susulan penghakiman yang dibuatnya dalam kes Indira Gandhi.

Haniff yang pernah mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes sebelum ini, menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk mula merangka terma rujukan RCI dan melanjutkannya ke badan kehakiman.

"Ketika saya menggesa RCI tahun lalu, saya menggesa ia dibuat ke atas badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara. Susulan pendedahan Hamid, RCI itu juga boleh dibuat ke atas jabatan kerajaan dan kementerian," katanya.

Haniff turut mengesahkan bahawa Hamid merupakan sumber yang memberikan maklumat kepada pendedahan yang dibuatnya hujung tahun lalu berhubung dakwaan seorang hakim kanan mengarahkan Mahkamah Rayuan mengekalkan pensabitan mendiang Karpal Singh dalam kes melibatkan Akta Hasuta pada 2016.

"Saya boleh sahkan Hamid berjumpa saya seperti yang dinyatakannya dalam perenggan ke 99 dalam afidavitnya berhubung kes Karpal.

"Saya dimaklumkan oleh Hamid berhubung perkara itu dalam perjumpaan yang diadakan pada 20 Ogos antara 9.30 malam hingga 11 malam," katanya.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/464058

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo