NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS perlu sokong PBB di Sarawak

Oleh: Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

TIDAK lama lagi Sarawak akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), diikuti Sabah selepas itu. Sudah tentu pertandingan pada kali ini akan menjadi lebih sengit. Lebih-lebih dengan melebarnya sayap dan pengaruh PPBM (Bersatu) di kedua-dua negeri itu.

Memandangkan senario politik yang agak berbeza dengan masa lalu, saya amat mengharapkan PAS tidak bertanding dalam PRN kali ini seperti sebelumnya, sebalik memberi sokongan padu kepada Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) yang ditubuhkan pada 30 April 1973.

PAS perlu kembali kepada matlamat asal penubuhan di Sabah dan Sarawak untuk menjadi parti dakwah bukan parti politik.

Jika PAS bertanding juga, sekali lagi ia akan memecahkan undi dan tidak mustahil memberikan kemenangan kepada ultra kiasu untuk menambah kerusi dan mungkin menguasai PRN kali ini.

Keputusan PRU14 yang lalu, perlu dijadikan suatu muhasabah untuk semua pihak, terutama PAS dan UMNO. Petandingan tiga penjuru dan lebih dalam kalangan parti-parti berpengaruh Islam, tidak menguntungkan Islam, tetapi ultra kiasu. Jadi, perlu ada perancangan strategik untuk memenangkan Islam.

PAS perlu memikirkan masa depan Islam yang lebih penting di Sabah dan Sarawak. Lagipun, melihat kepada keputusan setiap PRU dan PRN, PAS tidak menampakkan pengaruh yang memberansangkan, sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.

Jika PAS hendaklah bertanding juga, buatlah kajian mendalam, sama ada boleh menang atau tidak, atau tunggulah sehingga pengaruhnya merebak dan kuat, baharulah mengambil keputusan untuk bertanding.

Atau lebih baik lagi, jika PAS berbincang dengan parti dominan Islam di Sarawak dan Sabah seperti PBB dan UMNO (USNO). Perkara ini penting demi survival Islam di sana.

Saya masih ingat kata-kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, PAS adalah parti berpegang pada prinsip dan dasar Islam yang sentiasa mahu menyebarkan dakwah. Berpegang kepada prinsip itu, jika PAS melihat ada ruang untuk menyebarkan dakwah menerusi PRN Sabah, parti itu tidak menolak untuk turut bertanding. Namun, sekiranya merugikan (tidak ada ruang untuk berdakwah), kita tidak masuk (Berita Harian, 27.1.17).

PAS mula bertapak di Sarawak pada 1996. Menyertai PRU pada 1999 dan PRN Sarawak pada 2001. Sehingga saat ini, PAS masih belum menyerlah di kedua negeri ini. Dalam PRU14 PAS hanya mendapat keputusan terbaik di Kerusi Parlimen Batang Lupar, kerusi DUN tradisi PAS iaitu Beting Maro.

Justeru, saya memohon kepada PAS menumpu beberapa perkara berikut menjelang PRN Sarawak dan Sabah.

Pertama, berikan kefahaman Islam melalui dakwah ‘bil hal’ secara berterusan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak, tidak ketinggalan kepada ultra kiasu. Lupakan buat sementara cita-cita untuk bertanding dalam PRN dan PRU, kecuali di kawasan yang benar-benar kuat. Kalau sekadar memecahkan undi, lebih baik jangan bertanding. Apa yang penting sekat kemaraan ultra kiasu dengan memberi sokongan kepada PBB.

Kedua, landskap politik Sarawak, Sabah berbeza dengan Semenanjung. Taburan agama dan etnik Sarawak dan Sabah, tidak sama seperti di Semenanjung. Mengikut bancian 2010, 42.06 peratus penduduk Sarawak beragama Kristian. Islam pula adalah agama kedua terbesar di Sarawak iaitu 32.02 peratus, diikuti dengan Buddha, Taoism dan agama-agama Cina dengan 19.6 peratus serta minoriti Hindu, Sikh, Baha’i dan lain-lain agama tradisi.

Dalam mencari pengaruh, PAS perlu menjadi pejuang kebajikan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak. Dakwah ‘bil hal’ ini amat besar ertinya.

Mengaku sahajalah, sebelum ini kerajaan kurang memberikan tumpuan kepada kedua negeri ini apabila membentuk Malaysia 1963. Sudahlah kita dipisahkan dengan Laut China Selatan.

Saiz Sarawak sahaja sebenar Semenanjung. Parlimen Hulu Rajang sahaja hampir sebesar sebuah negeri Pahang. Bayangkan betapa besarnya Parlimen Rajang berbanding dengan bersamaan14 Parlimen dalam negeri Pahang.

Sudah tentu Sarawak perlukan lebih tumpuan, kerana saiznya yang begitu besar. Begitu juga Sabah. Membangunkan negeri berskala besar sudah tentu berbeza dengan yang kecil. Kita tidak boleh tersalah pandang Sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan.

Ketiga, kita perlu mengeluarkan Sarawak da Sabah daripada kemelut kemiskinan. Kemiskinan ini adalah isu yang sangat fundamental. Miskin boleh menjadi manusia bertukar agama atau menjual akidah mereka.

Jika PAS dapat lakukan, ini adalah kejayaan PAS yang paling besar dan sangat bernilai di akhirat. Ingatlah, kefahaman Islam dalam kalangan Bumiputera Sarawak Sabah masih belum kukuh. Justeru, perhebatkan dakwah. Ingatlah, selagi rakyat Sabah Sarawak masih tidak memahami Islam, selagi itu mereka tidak akan memangkah PAS.

Mengimbau kembali penyertaan PAS dalam PRN Sarawak, dalam PRN11, PAS bertanding 11 kerusi dan belum berjaya menenangi sebarang kerusi. Dalam PRU14, PAS bertanding lima kerusi, namun tidak menang kesemuanya.

Pada pilihan raya 1999, PAS bersama PKR dan ultra kiasu menyertai pilihan raya atas nama Barisan Alternatif (BA). Kemudian, ultra kiasu keluar daripada BA pada tahun 2001. Kemudian, selepas pilihan raya 2008, BA dan ultra kiasu kembali berpakat dan bersama dalam gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat (PR). PAS masih tidak memenangi satu kerusi pun.

Pada Mac 2015, ultra kiasu telah memutuskan hubungan dengan PKR dan PAS di Sarawak, diikuti Sabah pada April 2015. Ini menjadikan PR berkubur di Sarawak dan Sabah. Seterusnya terkubur di Semenanjung pada Julai 2015. Ultra kiasu terus menambah kerusi, manakala PAS masih belum mendapat walaupun satu kerusi.

Pada akhir 2015, Pakatan Harapan (PH) dibentuk dengan gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), diikuti Bersatu. PRN kali ini sudah pasti akan menjadi lebih rancak dengan penyertaan PAN dan Bersatu. Sudah pasti sukar untuk PBB memberi laluan kepada PAS. Jika keadaan ini berlaku, pasti akan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Melihat kepada senario politik sebegini, jelas menunjukkan bahawa harapan PAS untuk memenangi satu kerusi di Sabah dan Sarawak agak tipis.

Pada hemat saya, suara Islam sebenarnya bergantung kepada PBB. PBB adalah sandaran masyarakat Islam untuk memastikan agenda Islam tidak dikesampingkan. Bayangkan jika ultra kiasu mengambil alih Sarawak. Saya tidak boleh bayangkan apa akan berlaku dengan mengambil contoh yang berlaku di Semenanjung. Ternyata Islam dan Melayu semakin terpinggir. Apa akan jadi dengan nasib Bumiputera Sabah dan Sarawak

Jika ultra kiasu menang akan berkumandanglah suara-suara Sarawak For Sarawakians (S4S) dan sentimen parti Semenanjung, begitu juga dengan Sabah.

Keempat, tidak dinafikan kehadiran PAS sebenarnya di Sarawak telah memberikan signifikan besar kepada perkembangan dakwah Islamiyah, tetapi masih belum memuaskan berbanding Sabah.

Perkembangan Islam di Sabah suatu ketika dahulu begitu memberansangkan. Ini disebabkan oleh kehebatan pemimpin mereka ketika itu, Tun Datu Mustapha yang merupakan Ketua Menteri (1967-1975), yang juga Yang DiPertua USIA, begitu giat menyebarkan syiar Islam. Dakwah ‘bil hal’ almarhum sangat berkesan.

Pada tahun 2010, daripada keseluruhan penduduk Sabah, seramai lebih tiga juta orang, lebih dua juta adalah Islam. Lebih 853,000 Kristian, Buddha lebih 194,000. Dan lain-lain sekitar 9,000 orang. Sebelum itu, umat Islam masih lagi minoriti di sana, sekitar 30 peratus seperti Sarawak hari ini.

Kehadiran PAS ke Sabah lebih awal (1986) daripada UMNO (1990). PAS telah menyertai plihan raya sejak tahun 1986 sehingga 2013. Sama keadaannya seperti Sarawak, PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi. Justeru, sama-sama kita fikirkan, apakah jalan terbaik untuk memenangi Islam di Sarawak dan Sabah,

Akhirnya, PAS mesti meletakkan misi menjadi parti dakwah untuk mengIslamkan Bumiputera Sarawak dan Sabah seramai mungkin. Jika berjaya misi ini, bertandinglah PAS dalam PRN nanti. Buat masa ini berikan sokongan kerjasama kepada PBB. Mudah-mudahan Islam dapat dimartabatkan dan menjadi majoriti seperti di Sabah.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo