PAS Mengamalkan BPMS Dengan Umno Dan Ppbm



Oleh:Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

PAS telah memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sejak tahun 2015, iaitu sebuah anjakan dalam paradigma berpolitik di Malaysia ke arah mencapai kesejahteraan negara dan keharmonian rakyat. BPMS ini telah menggariskan tujuh teras utama yang secara umumnya adalah berteraskan kepada prinsip-prinsip politik Islam yang bertujuan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Dengan pendekatan ini PAS telah menerokai hubungan yang matang dengan Kerajaan Malaysia yang memerintah ketika itu.

Hubungan yang seperti ini telah disalah tanggap oleh PH khususnya PAN yang telah membina persepsi PAS bersekongkol dalam BN melakukan salahguna kuasa dan menyelewengkan harta negara. Hakikat sebenarnya adalah jauh berbeza dari persepsi buruk yang direka. PAS bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam dan semangat kemanusiaan seperti pembelaan terhadap rakyat Palestin, bantuan kemanusiaan kepada bangsa Rohingya dan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Dengan pendekatan BPMS ini, banyak kesan-kesan positif yang diperolehi terutama mengendurkan konflik sesama masyarakat Melayu yang telah lama wujud di negara ini. Pendirian politik tidak lagi menjadi alasan untuk masyarakat Melayu bersengketa, sebaliknya jika berlaku pertandingan dalam sesuatu Pilihanraya Kecil (PRK), ia tidak setajam seperti sebelum itu. Selain daripada itu, matlamat menyuarakan pembelaan terhadap umat Islam yang tertindas juga seperti Palestin dan Rohingya tercapai. Sudah tentu pendekatan BPMS ini satu ancaman kepada strategi ‘pecah dan perintah’ DAP.

PAN yang merupakan adik kecil (small brother) kepada DAP atau istilah yang popularnya sekarang ‘macai DAP’, dilihat telah memainkan peranan yang besar untuk membina persepsi buruk terhadap pendekatan BPMS PAS. Mereka diyakini berkongsi kebimbangan dengan DAP, sekiranya sokongan pengundi Melayu-Islam tidak dipecah-pecahkan, maka peluang untuk PH menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) adalah kecil. Lantaran kebimbangan tersebut, PAN memainkan peranan begitu besar untuk mengaitkan pendekatan BPMS dengan isu RM 90 juta dan yang seumpamanya.

Minggu lepas negara Malaysia dikejutkan pula dengan pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Selepas pertemuan tersebut, Tun Dr Mahathir telah ‘membocorkan’ kandungan pertemuan, iaitu antaranya PAS tidak akan menyokong UMNO di dalam PRK DUN Semenyih. Sudah tentu maklumat yang dibocorkan itu menimbulkan kegelisahan banyak pihak khususnya UMNO dan PAS. Sebenarnya, pihak yang paling gelisah dengan pertemuan tersebut ialah DAP dan macainya PAN serta bakal Perdana Menteri ke-8.

Hubungan PAS dengan Tun Dr Mahathir dan PPBM sebenarnya adalah penerusan kepada pendekatan BPMS yang telah dirintis sejak 2015. Tun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia yang mengetuai kuasa eksekutif. Di tangan beliau halatuju negara ini akan dibawa dalam tempoh lima tahun sebelum Pilihanraya Umum akan datang. Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir mengetuai kerajaan dalam keadaan yang cukup tersepit kerana parti beliau hanya mempunyai 13 kerusi sahaja ketika mula memenangi PRU 14 berbanding DAP sebanyak 42 kerusi dan PKR sebanyak 50 kerusi.

Situasi ini menyebabkan DAP mendominasikan Kerajaan Malaysia kerana PKR meskipun 50 kerusi, mereka berpecah dua. Manakalah satu lagi parti iaitu PAN sememangnya dikenali sebagai adik kecil DAP yang sering tunduk kepada hasrat parti chauvinist tersebut. Daripada 13 kerusi parlimen PPBM, dua daripadanya adalah pendukung kuat sebuah organisasi yang menganggap diri mereka sebagai cawangan Ikhwanul Muslimin di Malaysia. Pendukung organisasi ini biasanya tidak taat kepada organisasi sekunder mereka, iaitu dalam kes ini ialah PPBM.

Oleh sebab itu, Tun Dr Mahathir dilihat memang tersepit apabila DAP dengan sokongan PKR dan PAN mendesak supaya dilaksanakan beberapa dasar dan amalan yang sememangnya bertentangan dengan pendirian Tun Dr Mahathir sejak sekian lama. Antaranya ialah desakan untuk ratifikasi ICERD, iktiraf UEC, laksana Pilihanraya Kerajaan Tempatan, mansuh Akta Hasutan dan lain-lain lagi. Sememangnya Tun Dr Mahathir ‘bersilat’ tidak segagah dahulu sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri keempat bukan sebab usianya tetapi kerana PPBM parti kecil dalam PH.

Selain daripada itu, sudah mula kedengaran mutakhir ini khabar-khabar angin untuk membuat undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathir dalam kalangan PH sendiri. Ia bermula dengan usaha pihak tertentu dalam PH sendiri untuk membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar Kedah (anak Tun Dr Mahathir) dan Menteri Besar Perak. Diyakini ‘Langkah Ipoh’ dan ‘Langkah Alor Setar’ ini sekiranya berjaya akan merebak ke ‘Langkah Putrajaya’, di mana Tun Dr Mahathir sendiri berkemungkinan menjadi sasaran undi tidak percaya tersebut.

Sebagai sebuah parti yang begitu mementingkan kestabilan politik negara dan kepentingan rakyat, PAS melihat usaha untuk menguasai kerajaan melalui pintu belakang ini sesuatu yang perlu disekat. Apatah lagi, PAS melihat PPBM satu-satunya parti dalam PH yang boleh diharap untuk mempertahankan kepentingan Umat Melayu dan bumiputera buat masa ini. Kedua-dua parti terbesar Umat Melayu iaitu PAS dan UMNO berada di luar kerajaan. Oleh sebab itu, dengan pendekatan BPMS ini PAS telah mendekati Tun Dr Mahathir serta PPBM, dan usaha PAS itu disambut baik.

Manakala pendekatan BPMS dengan UMNO telah bermula sejak UMNO berada dalam kerajaan lagi. Apabila UMNO menjadi pembangkang sebagaimana PAS, hubungan itu semakin erat sebagai satu blok dalam pembangkang. Kedua-dua PAS dan UMNO mempunyai kebimbangan yang sama, negara Malaysia yang bertunjangkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan keistimewaan kedudukan Melayu dan Bumiputera sebagai teras politik negara Malaysia, sedang dihakis oleh DAP yang mendominasikan PH. Atas asas itu kedua-dua parti sedang bekerjasama erat sebagai pembangkang.

Dengan sifir BPMS ini tidak sukar membaca mengapa PAS mempunyai hubungan baik dengan Tun Dr Mahathir dan di masa yang sama tetap bekerjasama dengan UMNO. Matlamat yang paling utama kedaulatan Islam dan kepentingan bumiputera akan terus terjamin, sekiranya kerjasama PAS dan UMNO (taawun) terus subur sejak daripada beberapa PRK sebelum ini. Demikian juga PAS berharap kedudukan Tun Dr Mahathir dan PPBM tidak goyah dalam PH disebabkan tekanan dari segenap penjuru yang datang daripada parti-parti komponen PH yang lain serta golongan liberal Barat.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget