NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mana kemajuan dan reformasi dijanjikan PH, soal ahli akademik


KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Malaya, Prof Terence Gomez hari ini menyuarakan kebimbangannya tentang kurangnya kemajuan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pergelutan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pemimpin politik hanya cuba menguasai negara dan mengukuhkan kedudukan sendiri berbanding tumpuan ke atas pembaharuan.

"Ini bukan bentuk reformasi yang kita mahu," katanya dalam sebuah panel perbincangan pada Persidangan Konflik Kepentingan anjuran C4 hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Integriti Petronas, Datuk Rohaizad Yaakob, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, penasihat risiko operasi Deloitte Malaysia, Cheryl Khor dan Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel.

"Apakah tidak benar berlaku perbalahan besar antara Dr Mahathir dan Anwar?

"Apakah tidak benar terdapat perbalahan besar mengenai anggota Kabinet? Apakah tidak benar Anwar, yang bercuti sabatikal 2 tahun, kini menjadi ahli Parlimen?

"Apakah tidak benar kita dengar cerita berulang mengenai kebimbangan Dr Mahathir menerima Anwar sebagai bakal perdana menteri?

"Apakah tidak benar surat khabar menjadikan perkara ini sebagai tajuk berita mereka?" soal Gomez.

Beliau mempersoalkan jika Dr Mahathir dan Anwar sudah menyelesaikan isu mereka dan menggesa semua pihak tidak menyembunyikan perkara ini.

"Adakah ahli politik bercakap benar kepada rakyat?"

Katanya, isu seperti lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dasar berasaskan perkauman yang lazim pada masa lalu, masih berlaku ketika ini.

Walaupun kerajaan bertukar, katanya, pemimpin utama masih sama seperti zaman 1990-an, iaitu Dr Mahathir, penasihat ekonominya, Tun Daim Zainuddin dan Anwar.

"Mengapa ada masalah ini? Lihat kepada wacana politik. Sebaik sahaja mengambil alih kuasa, mereka kata ahli politik tidak akan terlibat dalam perniagaan. Mereka mengingkarinya.

"Mereka kata tiada lagi dasar berasaskan kaum, tetapi kini kita ada dasar Bumiputera. Ini adalah ulangan perkara yang kita lihat pada masa lalu."

Perniagaan dalam politik

Gomez turut mempersoalkan penggunaan wang dalam pilihan raya dan bagaimana ahli perniagaan menggunakan pengaruh mereka dalam politik untuk membentuk dasar awam.

Katanya, apabila ahli perniagaan menjadi ahli politik, pembiayaan politik menjadi masalah.

"Politik kita seperti pintu berpusing. Orang jadi ahli politik, kemudian mereka berundur dan berniaga, kemudian mereka masuk semula ke (arena) politik."

Gomez berkata, rasuah politik secara sistematik boleh berlaku, tetapi negara tidak mempunyai pembaharuan untuk menghalangnya daripada berlaku.

Beliau berkata, skandal Scorpene yang berlaku dahulu ialah skandal 1MDB ketika ini.

Katanya, kebanyakan skandal dalam politik melibatkan wang dan sebahagian besarnya disebabkan ahli politik yang mempunyai latar belakang perniagaan.

Gomez mempersoalkan penguasaan elit dalam kuasa dan politik.

"Dulu, kita anggap (bekas perdana menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) ialah simbol dominasi elit. Tetapi, siapa lagi ialah elit?"

Beliau menamakan "elit" yang merupakan pemimpin politik dalam parti dan negeri berlainan.

"Jika anda pergi ke Selangor, ada PKR di situ. Jika anda pergi ke Kelantan, anda ada PAS. Sekarang, mereka 'monetised' (dikaitkan dengan) RM90 juta."

Beliau berkata, kerajaan perlu menghentikan sistem "elitis dan ahli perniagaan" ini.

Dengan menghentikan sistem ini, katanya, ia boleh mewujudkan ketelusan untuk membolehkan rakyat memastikan ahli politik bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Mansuh dasar berasaskan kaum

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ada banyak perbincangan mengenai cara menangani isu perkauman dan agama dalam politik.

"Ada permintaan untuk menghapuskan dasar berasaskan kaum. Saya minta anda semua fikir betul-betul dan tidak melihat perkara dari sudut ekonomi sahaja, tetapi dari kaca mata politik juga."

Katanya, di Amerika Syarikat (AS), apabila ada ruang dan pembaharuan dibuat dengan pantas, "pendapat umum beralih daripada seseorang yang dihormati seperti Barack Obama kepada seseorang yang malang seperti Donald Trump, dengan cepat".

"Di Malaysia, apabila anda memulakan reformasi dan jika anda melakukannya dengan cepat, anda boleh kehilangan sokongan pengundi dan tewas dalam pilihan raya umum akan datang."

Katanya, pembaharuan tertentu sudah berlaku, contohnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi melapor kepada Pejabat Perdana Menteri, tetapi ia melaporkan secara bebas kepada Parlimen dan SPR kini bebas serta adil.

"Ada banyak lagi — menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi secara automatik dan pemansuhan Akta Hasutan," katanya sambil menambah pembaharuan tidak boleh dilakukan secara terus, tetapi perlu melalui perbincangan dan ia memakan masa.

Ketua Pemuda PPBM itu memberi contoh pemansuhan Akta Anti-berita Tidak Benar yang ditolak Dewan Negara dan kini kerajaan perlu membuat pertimbangan dan pindaan untuk membolehkan pemansuhannya diluluskan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo