NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Konspirasi Undi Tidak Percaya, Sejarah Tidak Pernah Menipu

KONSPIRASI UNDI TIDAK PERCAYA, SEJARAH TIDAK PERNAH MENIPU !

Pengalaman PAS sebagai di antara parti politik tertua di dalam negara banyak mengajar PAS dalam mengenal kawan dan lawan dalam dunia politik. Sikap berpura-pura, tikam belakang dan berbuat apa saja asalkan tercapai cita-cita di kalangan lawan cukup masak di ketahui PAS.

Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah menafikan akan adanya undi tidak percaya terhadap Tun Dr. Mahathir pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang dan menyatakan Majlis Presiden PH kekal menyokong Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH.

Saifuddin Abdullah patut memberitahu rakyat bilakah kali terakhir Majlis Presiden PH bersidang dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH. Jika dua atau tiga bulan lepas ia tidak masuk akal kerana di dalam politik, esok macam-macam boleh jadi. Seperti kata Menteri Kewangan minggu lepas, Da Ma Cai yang menaja rombongan pegawai kanan PDRM ke Turki, sekarang sudah U-Turn pula.

Di sebalik keriuhan wujud gerakan undi tidak percaya ke atas Tun Dr. Mahathir pada sidang Dewan Rakyat tidak lama lagi, Anwar Ibrahim mengemukakan teori tidak masuk akal iaitu Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan usul tersebut. PAS langsung tidak mendapat apa-apa faedah jika berbuat demikian mahupun menyokong usul sedemikian. Sepatutnya wajar kita kaji siapa yang untung jika berbuat demikian serta siapa yang benar-benar marah bila PAS bangkitkan kisah ini. Sekali lagi SEJARAH TIDAK PERNAH MENIPU !

Ramai yang lupa kisah 16 September 2008, ketika kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi hampir di tumbangkan. Bagaimana kisah 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional di terbangkan ke Taiwan untuk berbuat “ BELOT “ terhadap Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dengan notis undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Ramai yang tidak tahu di sebalik semua itu siapa arkitek di di belakangnya atau ramai juga yang tahu tetapi tidak dapat memahami apa yang cuba di sampaikan oleh PAS sekarang. Anwar Ibrahim ialah arkiteknya dan orang yang bertanggungjawab terhadap cubaan tersebut yang pada mulanya di nafikan bermati-matian oleh beliau. Namun semuanya terbongkar adalah benar ketika perbicaraan saman beliau terhadap Khairy Jamaluddin pada 2017.

PAS tidak mendapat apa-apa faedah jika berlaku undi tidak percaya, yang paling mendapat faedah ialah Anwar Ibrahim. Jika kita lihat reaksi pertama beliau ketika mula kecoh isu ini, beliau memang marah dan tidak sangka tindakan beliau di belakang tabir di hidu PAS. Semua orang tahu Anwar Ibrahim idamkan jawatan Perdana Menteri, begitu juga semua orang tahu bagaimana DAP tidak percaya kepada Tun Dr. Mahathir. Ketika cubaan Anwar Ibrahim pada 2008, ia terhalang apabila Speaker Dewan menolak usul tersebut namun dengan Nga Kor Meng dari DAP menjadi Speaker Dewan Rakyat kali ini, usul tersebut akan mendapat laluan mudah jika di angkat.

Sudah berapa lama PKR dan DAP idamkan untuk menjadi Kerajaan, setiap kali mencuba mereka gagal. Namun pada PRU 14, mereka berjaya mengajak Tun Dr. Mahathir bersama mereka walaupun mereka sebenarnya tidak percaya kepada beliau dan kerana itu sahaja cara untuk mereka menang PRU 14 dan mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Setelah berjaya, kini sokongan terhadap Tun Dr. Mahahtir bertambah kuat serta Tun Dr. Mahathir seperti mahu kekal sebagai Perdana Menteri meresahkan PKR, DAP dan PAN.

Sebelum keadaan bertambah parah, membantutkan cita-cita dan agenda Malaysia Baharu mereka, mereka perlu kembali kepada rancangan asal, hanya menggunakan Tun Dr. Mahathir untuk memenangi PRU 14. Tun Dr. Mahahtir perlu di tumbangkan atau di keluarkan dari Kerajaan dan PH. Cara yang paling efektif, usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat tidak lama lagi kerana mereka merasakan mereka memperolehi sokongan majoriti dan Anwar Ibrahim berpengalaman membuat “ MANOUVER “ sedemikian.

Jika PH kalah di Semenyih, jangan salahkan PAS kerana kempen dari PH sendiri yang hambar. Dengan kempen calon PH di Semenyih kebanyakkannya hanya dari Bersatu dan DAP seolah-olah memboikot, itu sebenarnya tanda jelas wujudnya pergolakan besar di dalam PH. Sekarang kita sudah tahu kisah sebenar di sebalik semua ini, cuma yang menjadi tanda tanya di kalangan anggota Parlimen PH, siapa yang menyokong Tun dan siapa yang menolak beliau. Mungkin sekarang ramai tidak berani berpihak takut di kerat atau mungkin kita patut tanya mereka menyokong siapa sebenarnya.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Link Berita  Gerakan Undi Tidak Percaya 16 September 2008
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2017/02/06/anwar-gagal
Rancangan 16 Sept. Gagal -  Anwar Ibrahim

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo