NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama bekas komponen BN di Sabah, Sarawak baik untuk MA63, kata bekas menteri



Pemimpin Sarawak sewaktu pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching 19 Jan lepas. (Gambar Bernama) 
KUCHING: Seorang wakil rakyat Sarawak mengalu-alukan kemungkinan kerjasama antara blok pembangkang Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) – gabungan kerajaan yang dibentuk bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Bekas menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia adalah langkah positif di pihak anggota kedua-dua blok yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada BN.

Bagaimanapun kata ahli Parlimen Batang Sadong itu, beliau tidak maklum mengenai apa-apa pertemuan yang dirancang antara pemimpin kedua-dua gabungan itu.

"Sarawak dan Sabah adalah 2 pihak yang menanda tangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama-sama Singapura dan Persekutuann Negeri-negeri Melayu.


"Sarawak dan Sabah mempunyai kepentingan bersama dalam menuntut dan mempertahankan hak kami di bawah MA63," katanya.

Baru-baru ini, presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, satu mesyuarat rasmi dirancang diadakan dengan pemimpin GPS bagi membincangkan bagaimana mereka boleh bekerjasama untuk melindungi hak dalam persekutuan Malaysia.

Nancy berkata, walaupun aspirasi rakyat tempatan disebut dengan jelas dalam MA63 dan laporan Jawatankauasa Antara-Kerajaan, namun kedua-dua negeri itu belum merasai semua manfaat daripada persekutuan Malaysia.

"Apabila manifesto kerajaan baru tidak menjadi kenyataan, Borneo mahu kerajaan persekutuan benar-benar komited kepada janji mereka," katanya.

Nancy berkata, Putrajaya hendaklah memenuhi janjinya kepada 2 negeri itu, terutamanya berhubung kajian semula geran khas di bawah Perkara 112D perlembagaan persekutuan.

"Di bawah kerajaan BN, rundingan sudah pun bermula antara kerajaan pusat, Sabah dan Sarawak," tambah beliau.


Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg tidak dapat dihubungi untuk komen.

Dalam pada itu, kumpulan pendesak Sarawak, Solidariti Anak Sarawak (SAS) berkata, adalah baik sekiranya 2 negeri di Malaysia Timur itu bekerjasama untuk melindungi hak mereka.

Pengasas SAS, Peter John Jaban berkata, Sabah lebih terkedepan berbanding Sarawak dalam perjuangan memulihkan hak mereka di bawah MA63.

Beliau memuji usaha presiden parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan kerana memulakan gerakan tersebut.

Katanya, ia baru bermula di Sarawak beberapa tahun lepas.

"Rakyat Sabah lebih tahu tentang MA63, tetapi mereka tidak bersatu" katanya.

"Mereka (pemimpin Sabah dan Sarawak) juga harus berhenti daripada menuding jari menyalahkan satu sama lain, sebaliknya harus bekerjasama bagi melindungi hak mereka," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo