NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kahwin muda lebih baik daripada bergaul bebas, kata ahli Parlimen PAS



PETALING JAYA: Pandangan seorang ahli Parlimen Kelantan mengenai perkahwinan bawah umur dan kehamilan remaja mendedahkan perbezaan ketara antara sesetengah umat Islam konservatif dan penyokong hak asasi dalam menangani masalah itu.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi, ahli Parlimen Tumpat di Kelantan yang mewakili PAS, menyalahkan kehamilan remaja dan kes pembuangan bayi ke atas kegagalan pihak berkuasa menghentikan apa yang disifatkannya pergaulan bebas antara jantina berlainan.

"Saya nampak ini banyak berlaku di Kuala Lumpur," katanya kepada FMT.

"Mereka menaiki motosikal bersama, tetapi saya tahu mereka belum berkahwin. Mereka pergi ke pulau dan pantai. Mereka mempunyai bayi dan kemudian membuangnya."

Abdullah tidak bersetuju dengan gesaan menaikkan had umur minimum berkahwin kepada 18 tahun yang semakin mendapat sokongan susulan beberapa kes kanak-kanak dan remaja perempuan dikahwinkan kepada lelaki yang usianya 2 atau 3 kali ganda lebih tua daripada mereka.

Beliau berkata, berkahwin pada usia muda tidak patut dianggap penghalang untuk lelaki atau wanita melanjutkan pelajaran.

"Berapa ramai yang berkahwin dan masih melanjutkan pelajaran mereka? Saya berkahwin pada usia 23 tahun. Saya mengambil Sarjana Perakaunan ketika berusia 32 tahun. Saya sudah mempunyai 4 anak ketika itu.

"Jadi, saya tidak rasa perkahwinan menghalang sesiapa daripada meneruskan pelajaran mereka," kata bapa kepada 12 anak itu.

Semalam, kumpulan memperkasakan wanita Islam, Sisters In Islam mengkritik kerajaan Kelantan tidak menyokong gesaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menaikkan had umur minimum berkahwin kepada 18 tahun.

"Kami kecewa Kelantan dan Terengganu memilih untuk mengekalkan perkahwinan kanak-kanak di negeri berkenaan, dengan Kelantan pada November lalu berkata, amalan itu dianggap 'keperluan' di negeri itu."

Perkahwinan bawah umur hangat dibincangkan dalam media sejak Jun tahun lalu, apabila seorang lelaki Kelantan berusia 41 tahun mengahwini seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Bulan berikutnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kerajaan akan meminda undang-undang untuk menaikkan had umur kanak-kanak perempuan dibenarkan berkahwin dari 16 tahun kepada 18 tahun.

Dr Mahathir dalam satu mesyuarat menteri besar dan ketua menteri pada Oktober lalu, turut dilaporkan menggesa kerajaan negeri menaikkan had umur minimum berkahwin kepada 18 tahun bagi umat Islam dan bukan Islam.

Abdullah berkata, masalah utama ialah pergaulan bebas antara jantina.

Katanya, pasangan belum berkahwin yang ditangkap berkhalwat, perlu dikahwinkan supaya mereka lebih bertanggungjawab selepas itu.

"Bagi saya, kita tidak patut menghalang kanak-kanak berkahwin, tetapi membenarkan mereka bergaul bebas. Lebih baik mereka berkahwin."

Beliau turut menolak kebimbangan ibu bapa muda tidak mampu menyara anak mereka.

"Kami percaya kami melahirkan anak dan Allah bagi rezeki. Saya ada 12 anak. Saya tak pernah risau bagaimana mahu menyara anak saya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo