NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apakah ada keadilan untuk Allahyarham Adib?

Oleh: Tn Hj Aminuddin Yahaya

PERISTIWA menyayat hati kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman mengundang pelbagai persoalan. Intergriti dan ketelusan kerajaan juga dipersoal oleh rakyat.

Beberapa isu yang membimbangkan rakyat :-

1) Sikap menteri perpaduan yang mempertahankan kuil, walaupun sudah ada keputusan mahkamah dan telah dibayar ganti rugi;

2) Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengaitkan ini sebagai isu agama;

3) Perangai menteri agama yang menjulang tangan pentadbir kuil seolah-olah menyokong pembunuhan ini;

4) Sikap Peguam Negara yang membisu dan menolak siasatan polis yang telah siap, dan orang yang disyaki telah dikenalpasti tetapi kini mengarah diadakan inkues;

5) Kenyataan pihak kuil yang mengatakan Muhammad Adib mati kerana dilanggar;

6) Tindakan pemaju yang membayar orang-orang Melayu untuk pergi ke kuil, tetapi kini tidak diambil apa-apa tindakan;

7) Keluarga Adib pula dikatakan sudah di'neutralise'kan sehingga tidak berani untuk ke hadapan

Semua ini melambangkan ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem pentadbiran negara. Seolah-olah ada perkara yang ingin disembunyikan daripada rakyat.

Persoalannya, kenapa?

Suspek telah dikenalpasti dan dibebaskan – apakah status mereka?

Pada tarikh 24 Disember 2018, dilaporkan bahawa pihak polis melalui kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid, empat orang suspek telah dikenalpasti dan telah disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Hasil siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Namun, anehnya pada 10 Disember 2018, suspek-suspek berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah dan jaminan polis.

Kini, kita tidak tahu di mana suspek ini berada? Kenapa perlunya inkues?

Asas utama untuk melakukan siasatan inkues adalah apabila suspek tidak dikenalpasti, tetapi dalam kes ini suspek telah ditangkap. Tetapi, keputusan Peguam Negara untuk mengadakan inkues adalah sesuatu yang menimbulkan tanda tanya.

Apa yang membimbangkan bukan sahaja inkues ini akan mengambil masa yang panjang, malah ia mungkin akan berakhir dengan 'Open Verdict' di mana hakim akan mengatakan bahawa sebab kematian bukan kerana dipukul, tetapi disebabkan perkara-perkara lain.

Sudah terdengar teori yang mengatakan Adib mati dilanggar bukan sebab dipukul!

Kesimpulan

Di mana pejuang-pejuang hak asasi manusia yang sebelum ini lantang bersuara? Di mana menteri-menteri muslim yang sepi membisu?

Perlu dijelaskan juga bahawa Peguam Negara yang ada ini bukanlah seorang yang pakar dalam kes-kes jenayah, tetapi hanya kes sivil. Adakah beliau faham apabila membaca laporan siasatan polis yang telah diserahkan?

Apakah beliau tahu di bawah seksyen mana harus dikaitkan apabila laporan inkues dikeluarkan nanti?

Saya yakin semua laporan-laporan ini ditulis dalam Bahasa Melayu dan kita tahu beliau tidak pandai berbahasa kebangsaan. Apakah akan berlaku 'blunder' dalam keputusan beliau nanti?

Akhirnya, adakah di sana nanti Allahyarham Adib akan dapat keadilan yang sebenarnya atau hanya menjadi mainan politik jalanan!

Wallahu'alam

Tn Hj Aminuddin Yahaya ialah
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/02/15/apakah-ada-keadilan-untuk-allahyarham-adib/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo