NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Jumaat Hari Ilmu, Sabtu Hari Keluarga



Perutusan Tahun Baharu 2019
Menteri Besar Terengganu Darul Iman

Jumaat Hari Ilmu, Sabtu Hari Keluarga

Tahun 2018 baru sahaja melabuhkan tirainya sekali gus menandakan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu sudah pun mencecah usia tujuh bulan. Tempoh ini adalah fasa pengenalan kepada pentadbiran yang baru, namun ia bukanlah sebab untuk mencipta pelbagai alasan.

Tugas yang digalas adalah satu amanah dan Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan. Hasilnya kita merancang untuk melaksanakan 12 daripada 20 agenda manifesto tawaran kepada rakyat Terengganu pada 2019. Sebahagiannya telah pun berjaya dilaksanakan pada tahun lepas.

Tanpa menoleh ke belakang, Kerajaan Negeri akan terus memacu tahun 2019 dengan lebih agresif dan proaktif. Rakyat mahu melihat apa yang dirancang dikotakan, bukan sekadar manis di bibir.

Namun, agenda ekonomi dan kemajuan tiada erti tanpa penerapan nilai sosial, ilmu dan akhlak kepada masyarakat. Ini bertepatan dengan empat teras dalam Bajet 2019 yang menekankan aspek keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan.

Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengumumkan bahawa Jumaat merupakan hari ilmu dan Sabtu pula adalah hari keluarga. Pengisytiharan ini bertujuan meningkatkan budaya cintakan ilmu dan pentingkan nilai kekeluargaan yang menjadi tonggak utama sesebuah masyarakat maju, berkat dan sejahtera.

Saya juga mengharapkan tahun 2019 akan menjadi tahun yang lebih baik dan produktif bagi negeri Terengganu dalam semua aspek terutamanya dari aspek ekonomi, pembangunan modal insan, dan kebajikan rakyat. Semoga semua perancangan dan urusan kita dipermudahkan oleh Allah SWT.

Kepada seluruh rakyat Terengganu, dengan rendah diri saya dan saf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2019.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”
“Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”

Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
1 Januari 2019

https://www.instagram.com/p/BsDtZ3GFOvn/?utm_source=ig_share_sheet&igshid=1ta91chm9ygte

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo