PRK Cameron Highlands: Ramuan lengkap termasuk kerjasama PAS faktor menang


MUKADIMAH

PILIHAN RAYA KECIL (PRK) Parlimen Cameron Highlands melakar sejarah baharu buat Barisan Nasional (BN) apabila menyaksikan hasil kerjasama antara UMNO dan PAS menyaksikan BN bukan sahaja mempertahankan Parlimen itu tetapi meningkatkan majoriti sehingga lima kali ganda berbanding yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi mengupas kemenangan bermakna itu, wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mendapatkan pandangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan.

UTUSAN: Ini adalah ujian pertama Datuk Seri selepas menjadi Pengerusi BN Pahang. Bagaimana Datuk Seri melihat kemenangan ini?

WAN ROSDY :
Ia adalah kejayaan sebagai satu pasukan termasuk bersama dengan PAS. Saya tidak boleh kerja seorang, ada yang kata ini sebab Datuk Seri Wan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN. Yang sebenarnya sebab jentera, bantuan semua pihak dan banyak lagi termasuk bantuan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Pengerusi BN) dan juga Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Apakah faktor yang mendorong kepada kemenangan BN?

Banyak faktornya yang kalau boleh saya rumuskan adalah antaranya Pas tidak meletakkan calonnya dan jentera kita bekerja kuat. Kemudian tuduhan-tuduhan Pakatan Harapan (PH) yang tidak berasas dan pembangunan yang ada di Jelai serta Tanah Rata yang kita buat selama ini. Itu yang menyebabkan kita menang. Contohnya, kalau kita buat gulai kari tidak ada ikan ia tidak jadi. Kalau kita tidak letak gula pun tidak menjadi. Jadi ramuan itulah yang menyebabkan kita menang.

PH sekarang adalah kerajaan dan mereka turun berkempen berterusan membawa pemimpin-pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi mereka masih gagal.

Isu-isu yang dibangkitkan oleh PH tidak diterima rakyat kerana boleh dikatakan lebih 80 peratus tidak betul. Sebagai contoh, mereka kata tidak ada pembangunan di Jelai dan Tanah Rata seda­ng­kan rakyat boleh melihat sendiri pembangunan yang berlaku.

Tuduhan mereka mengatakan bahawa kerajaan negeri berhutang banyak sedangkan perkara ini telah pun diselesaikan dan kita pun berbincang dengan kerajaan Persekutuan. Pengundi menilai dengan bijak dan mereka berasakan bahawa janji atau tuduhan, isu-isu yang dibangkitkan adalah tidak relevan selain melihat PH gagal menunaikan janji dalam manifesto mereka.

Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama dengan Pas yang benar-benar mampu diterjemahkan dalam PRK Cameron Highlands kali ini?

Semasa saya mula bertanding pada 2004 hingga 2018, pertembungannya adalah antara PAS dan UMNO. Hati kecil saya berdetik kerana kita sebangsa, seagama, saya mula terfikir bila PAS dan UMNO ini akan bekerjasama. Alhamdulillah selepas 9 Mei bibit-bibit untuk kita bekerjasama dapat direalisasikan dan ini cukup penting supaya agama, bangsa dapat kita pertahankan.

Apa pandangan Datuk Seri tentang masa depan kerjasama antara UMNO dan Pas khusunya dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sejak awal saya sudah katakan andainya PAS bertanding dan UMNO bertanding, kedua-dua parti ini akan kecundang. Yang menang orang lain kerana kita akan terbahagi dua sedangkan mereka (penyokong PH) solid memberi undi kepada calon mereka. Saya menaruh harapan tinggi kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi agama bangsa dan negara. Kita akan bertolak ansur (pembahagian kerusi) mana-mana kerusi PH kalau banyak memihak kepada Pas kita bagi kepada mereka dan kalau memihak UMNO bagi kepada UMNO, yang penting kita berpakat dan kita menang.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/ramuan-lengkap-termasuk-kerjasama-pas-faktor-menang-1.830778#ixzz5ds7NGQGe
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget