NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelarian Syria: Kanak-kanak mangsa cuaca sejuk beku


AMMAN, 10 Jamadilawal 1440H, Rabu – Sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak pelarian Syria maut akibat cuaca sejuk di bawah paras beku, dan kekurangan bekalan perubatan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hari ini.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapan daripadanya meninggal dunia akibat cuaca sejuk di Kem Rukban di sempadan Syria-Jordan.

Tujuh lagi maut ketika cuba melarikan diri daripada pertempuran antara IS dan tentera disokong Amerika Syarikat – SDF – dalam cuaca sejuk di timur laut Hajin.

Pengarah Wilayah UNICEF, Geert Cappelaere berkata, cuaca beku dan kehidupan yang teruk di Rukban, meningkatkan risiko kepada kanak-kanak.

"Dalam tempoh sebulan, sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak kebanyakannya berusia satu bulan hingga empat bulan, maut," katanya.

Rukban terletak di dalam 'no man's land' atau tanah tidak dimiliki antara Syria dan Jordan, memang terkenal sukar untuk dimasuki. Kira-kira 80 peratus daripada 45,000 penduduk adalah wanita dan kanak-kanak.

Lebih ke utara pula, pertempuran antara IS dan SDF yang berterusan, memaksa lebih 10,000 penduduk melarikan diri, tatkala cuaca sejuk selain salji dan hujan lebat.

"Keluarga yang mencari tempat selamat berdepan kesukaran ketika meninggalkan zon konflik, dan terpaksa menunggu dalam cuaca sejuk beberapa hari tanpa tempat perlindungan dan bekalan asas.

"Perjalanan berbahaya dan sukar itu dilaporkan membunuh tujuh kanak-kanak, kebanyakannya berusia di bawah satu tahun," kata Cappelaere.

Pada masa sama, SDF mendakwa militan IS dan keluarga mereka cuba untuk bergabung dengan pelarian.

Minggu lalu, ribuan pelarian Syria di Lubnan berdepan Ribut Norma, yang menyebabkan banjir di kem mereka yang turut diliputi salji.

Kesatuan Penjagaan Kesihatan dan Organisasi Bantuan Antarabangsa, pertubuhan yang mengumpul bantuan, menganggarkan kira-kira 250,000 pelarian Syria di Lubnan terjejas akibat ribut itu.

Satu lagi ribut – Ribut Miriam – dijangka berlaku malam ini. – Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/01/16/pelarian-syria-kanak-kanak-mangsa-cuaca-sejuk-beku/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo