NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pak Nik Lah Tegas Berprinsip


HAJI NIK ABDULLAH BIN TUAN GURU HAJI ABDULLAH (ARSHAD) BIN TAHIR

Hari ini(13 Jan) genap 23 tahun pemergian Haji Nik Abdullah Bin Arshad atau lebih dikenali dengan nama Pak Nik Lah.

Tokoh PAS yang terkenal sebagai satu-satunya calon yang tidak pernah tewas dalam pilihanraya bermula sebagai ADUN Kota Bharu Pantai 1959-1974, DUN Sering 1974-1982, malah menjadi ahli parlimen tunggal PAS (Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat pada 1986. Kerusi ini dipertahankan oleh beliau sehingga 1995 sebelum diganti oleh pelapisnya.

TEGAS BERPRINSIP

Almarhum Tok Guru Nik Aziz sentiasa bercerita dalam beberapa perjumpaan dan ceramah, bahawa bukan beliau yang masuk PAS tapi beliau dimasukkan dalam PAS. Pak Nik Lah lah yang membawanya masuk PAS.

“Saya tengah mengajar di Ma’ahad Muhammadi, datang wakil rakyat Panchor, Pak Nik Lah Arshad, dia kata ‘Ustaz, Datuk Asri minta ustaz pergi ke rumah dia sekarang’. Saya tanya ‘Pasal apa?’ Mulai dari situlah saya menjadi orang PAS. Jadi ahli PAS tiga hari sebelum menjadi calon tahun 1967”.

Almarhum Tok Ku Nik Mat Alim (Ayahanda Tok Guru Nik Aziz) pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah (Arshad) bin Tahir (1875-1942) atau lebih dikenali dengan gelaran Tok Ayah Kedah (Ayahanda kepada Pak Nik Lah).

Pak Nik Lah sebelum itu telah pun memohon restu dan persetujuan lebih awal daripada Tok Ku Nik Mat sebelum membawa Tok Guru Nik Aziz ke dalam PAS.

UTAMAKAN PENDIDIKAN

Pondok Tok Ayah Kedah yang diasaskan pada 1920 an di Kampung Panchor kini masih berdiri teguh dihuni oleh 125 orang pelajar perempuan, 30 pelajar lelaki dan 85 pelajar tahfiz seiring dengan ribuan pelajar di SMUA Tarbiah Mardhiah yang diasaskan oleh Pak Nik Lah bersama adik-beradik dan sokongan seluruh keluarga dan masyarakat.

Pak Nik Lah sangat menitik beratkan pelajaran anak-anak, malah mengambil ramai anak angkat untuk dihantar melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara selain dididik dengan penuh disiplin agama di rumah.

ISTIQAMAH

1996, Dewan Duyong, Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, menyaksikan Pak Nik Lah rebah di pentas ketika memberikan ucapan pada satu program munaqasyah PAS akibat sakit jantung dan meninggal di riba anakanda sulungnya dalam perjalanan ke hospital.

Selain Jambatan Pak Nik Lah yang bermula dari binaan kayu hingga sekarang laluannya cantik dan sibuk menghubungkan mereka dari Bachok dan Pengkalan Chepa, nama Jalan Hj Nik Abdullah Arshad juga digazetkan pada tahun 2011 sepanjang 5km dari Simpang 3 Pengkalan Datu hingga Kolej Vokasional Pengkalan Chepa.

MUTIARA SEBUAH LEGASI

Satu sifat Pak Nik Lah yang harus dicontohi oleh legasi pejuang PAS ialah, beliau sangat lantang bersuara dalam setiap mesyuarat, termasuk menyatakan pendirian dan pandangannya walau bercanggah dengan suara ramai.

Tetapi apabila keputusan dalam sebuah mesyuarat telah diputuskan, beliaulah yang ke depan melaksanakan dan patuh kepada keputusan jemaah, walau awalnya dibahas pada peringkat perbincangan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo