Malaysia baru, perangai lama?



Reformasi, bina semula negara dan Malaysia baru. Itu antara ungkapan-ungkapan yang meniti dibibir pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum dan selepas berjaya menumbangkan BN pada 9 Mei tahun lalu.

Pelbagai janji, tawaran ditabur membuatkan rakyat terpesona sehingga PH berjaya menumbangkan sebuah kerajaan yang bertapak di bumi Malaysia ini sejak lebih 60 tahun lalu.

Janji untuk membawa perubahan yang menyeluruh serta ingin membina semula negara telah berjaya "memikat" hati rakyat untuk berubah memberi peluang kepada PH menerajui negara.

Rakyat berarak di jalan raya, Dr Mahathir Mohamad disambut bagaikan wira ketika meraikan kemenangan penuh bermakna. Suara rakyat menjadi suara keramat.

Slogan perjuangan untuk rakyat, kerajaan rakyat menjadi kata-kata penuh bermakna. Besar juga harapan rakyat untuk melihat perubahan total Malaysia baru yang dicanangkan PH.

Hari ini kira-kira sembilan bulan PH menguasai negara, apa yang diimpikan rakyat masih belum tampak membuahkan hasilnya kecuali BN tumbang dan Najib Razak tidak lagi menjadi perdana menteri serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sudah "dikebumikan".

Harga barang masih tinggi

Janji 100 hari manifesto gagal ditunaikan dan akhirnya ia bukan lagi "kitab suci" yang perlu dipatuhi. Harga barang masih lagi tinggi, kos sara hidup masih belum lagi turun dan banyak lagi janji-janji manis yang belum terlaksana.

Pembaharuan dalam urus tadbir negara yang diharapkan rakyat masih kabur, digelapkan lagi dengan tularnya video ketua hakim negara dan peguam negara terkinja-kinja menari dalam satu majlis.

Bak kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang umpama "kera kena belacan". Penularan video itu sedikit sebanyak menghakis kewibawaan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga undang-undang dan kehakiman negara.

Zaman BN, situasi sama pernah berlaku apabila peguam negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali menari di khalayak ramai, berbondong-bondong kritikan dan tidak kurang juga ramai "pahlawan-pahlawan" PH tampil mendesaknya supaya melepaskan jawatan.

Begitu juga zaman BN apabila berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) maka banyaklah program-program menteri akan diatur di kawasan terbabit, situasi sama juga berlaku di era PH.

Pelanggaran tatacara kempen dibiar

Bila berlaku PRK maka berduyun-duyunlah menteri-menteri turun untuk melawat sekolah, melawat balai polis, kem tentera dan sebagainya.

Pembaharuan sistem pilihan raya yang dijanjikan juga hanya sekadar sedap didengar, pelanggaran tatacara kempen masih berlaku dan 'dibiarkan' begitu saja.

Penggunaan kenderaan kerajaan ketika berkempen masih berlaku. Lebih parah lagi apabila kantoi timbalan menteri seakan mengamuk 'kebudak-budakan'.

Pemimpin-pemimpin politik masih lagi dilantik menerajui syarikat ataupun entiti berkaitan kerajaan, lebih parah lagi isteri dan anak dilantik menjadi ahli lembaga pengarah serta pengerusi agensi kerajaan.

Inikah Malaysia baru yang dibanggakan PH?

Sewaktu Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, Khairy Jamaluddin menjadi sasaran pembangkang yang mendakwa menantu bekas perdana menteri itu mencampuri urusan hal ehwal kerajaan.

Begitu juga pada era Najib, isterinya Rosmah Mansor menjadi sasaran pembangkang. Pada ketika itu, Rosmah dicanangkan sebagai orang di belakang tabir pentadbiran Najib.

Hari ini pada era pentadbiran baru, PH melakukan perkara sama, malah ada yang lebih teruk jika dibandingkan dengan kerajaan BN.

Apakah menteri dan pemimpin PH fikir rakyat kini masih bodoh? Mudah dipermain-mainkan sesuka hati, jangan fikir begitu. Orang Asli di kawasan pedalaman juga ambil tahu hal ehwal pentadbiran negara.

Jangan pandang enteng pada suara rakyat suara keramat kerana kelak ia akan memakan diri.

Kuasa sementara

Tiada guna kerajaan baru dan apalah maknanya Malaysia baru jika perangai lama masih tidak mampu dikikis dan dibuang seperti mana pengharapan rakyat.

Pada era Malaysia baru rakyat bukan lagi penakut ataupun boleh disogok dengan gula-gula. Jangan main-main dengan kuasa rakyat.

Jika perangai kerajaan lama menjadi amalan kerajaan baru, maka siap sedialah untuk menjadi mangsa serangan ataupun 'troll bossku' yang bakal disambut oleh 'tentera bawang'.

Bekerjalah dengan sepenuh hati seikhlas mungkin seperti dijanjikan kepada rakyat kerana kuasa yang ada ketika ini hanyalah bersifat sementara.

Rakyat sedang memerhati.



HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget