NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesan berpanjangan PRK Cameron Highlands


Walaupun perincian keputusan pilihan raya menunjukkan tidak banyak beza antara apa yang diperoleh oleh pihak-pihak bertanding, tetapi kemenangan Barisan Nasional tetap memberi suntikan semangat kepada parti itu.

Keputusan itu menunjukkan sokongan pengundi lebih kurang tidak berubah sejak pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Pemerintahan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 9 bulan lalu tidaklah mengubah pendirian pengundi untuk menyokong Pakatan Harapan. Segala pendedahan baru mengenai kepincangan dalam kerajaan BN lepas juga tidak dihiraukan oleh pengundi.

Nasib buruk yang menimpa pucuk pimpinan Umno juga tidak membuatkan pengundi meninggalkan BN.

PH hanya dapat mengurangkan undi lawannya dan ada kampung Umno yang dapat ditembus oleh PPBM. Amanah tidak dapat menarik penyokong PAS supaya tidak mengundi BN. Penyokong DAP tidak pulang kerana Perayaan Tahun Baru hampir tiba.

Pergantungan parti itu pada pengundi bukan pemastautin menjejaskan perolehan undi mereka.

Namun keputusan pilihan raya kecil itu tetap penting dan kesannya adalah berpanjangan, bukan saja bagi BN dan PH tetapi juga rakyat umum Malaysia.

Datuk Seri Mohamad Hasan yang pertama kali berperanan sebagai pemimpin utama Umno dan BN dalam menghadapi pilihan raya tentu diberikan kredit kerana berjaya dengan strateginya, iaitu menjadikan seorang Orang Asli Muslim calon BN bagi meraup undi Bumiputera; Melayu dan Orang Asli.

Dengan sokongan PAS, strategi BN berjaya.

Maka sepanjang kempen, kedudukan dan kepentingan Orang Asli di negara ini menjadi tumpuan yang akhirnya membawa kepada Ramli Mohd Nor muncul sebagai ahli Dewan Rakyat Orang Asli pertama negara.

Ia juga bermakna beliau mengubah kedudukan Cameron Highlands sebagai kawasan yang dikhaskan untuk wakil kaum India sejak tahun 2004 apabila ia mula diwujudkan sebagai kawasan untuk calon Orang Asli.

Sejak tahun 2004, BN meletakkan calon daripada MIC dan sentiasa menang di situ, iaitu bagi pilihan raya 2008, 2013 dan 2019.

Satu lagi komponen BN yang didominasi kaum India, Parti Progresif Penduduk (myPPP) berulang kali melobi untuk mendapatkan peruntukan kerusi di situ.

Selama ini, pihak utama yang dikalahkannya ialah calon DAP. Parti itu juga meletakkan calon dari kaum India. Ini menjadikan Cameron Highlands sebagai kawasan India walaupun pengundi dari kaum itu bukanlah bilangan terbesar.

Kemenangan calon BN adalah kerana sokongan pengundi Melayu dan Orang Asli.

Pada tahun 2004, 2008 dan 2013, DAP menggunakan lambang roket. Dalam pilihan raya tahun 2013, calon DAP turut mewakili Pakatan Rakyat, yang di dalamnya ada PAS. Tetapi pada masa itu Berjasa, sebuah parti pecahan PAS bertanding.
Adalah dipercayai undi penyokong PAS tidak pergi ke Pakatan Rakyat, tetapi melencong ke Berjasa.

Dalam pilihan raya 2018, DAP menggunakan lambang PKR sebagai mewakili PH, yang di dalamnya ada PKR dan PPBM yang merupakan parti pecahan Umno dan Amanah, sebuah parti pecahan PAS.

Tetapi pada masa PAS bertanding, adalah dipercayai PH tidak memperoleh banyak undi Melayu. Sebaliknya undi India yang menentang BN berpecah. Ini kerana Parti Sosialis Malaysia yang meletakkan calon dari kaum India turut bertanding.

Pilihan raya kecil kali ini mendapati DAP menggunakan lambang Harapan dengan harapan orang Melayu yang menyokong PKR, PPBM dan Amanah akan mengundi calonnya. Tetapi melihat keputusan, perkara itu tidak berlaku.

Dalam kalangan PH, kawasan Cameron Highlands dianggap kawasan DAP kerana sejak diwujudkan pada tahun 2004, parti itu bertanding menentang MIC yang mewakili BN.

Dalam pilihan raya baru-baru ini, MIC melepaskan kawasan itu apabila BN memilih Ramli sebagai calonnya. Ramli diisytiharkan bukannya dari Umno, tetapi calon BN yang disokong PAS.

Tetapi kalau dari segi parti tentulah Ramli tidak boleh menyertai MCA atau MIC. Tentunya beliau adalah sebahagian daripada Umno yang merupakan sebuah parti Bumiputera.

Kalau PH hendak mengambil kira sudut kaum, iaitu apabila BN letak calon Orang Asli, maka DAP pun patut menyediakan calon Orang Asli untuk bertanding di Cameron Highlands pada masa-masa akan datang.

Kalau DAP tidak berupaya menyediakan calon Orang Asli, maka kawasan itu wajar dilepaskan kepada parti lain dalam PH, sama ada PKR, PPBM atau Amanah. Tetapi sebagai parti pribumi, PPBM paling sesuai.

Ada kalangan pendokong PH yang melihat bahawa dalam konsep Malaysia Baru, kaum tidak wajar dijadikan perkiraan untuk memilih calon, sebaliknya kemampuan dan keberkesanan bekerja perlu merupakan keutamaan. Maknanya merit calon patut diutamakan daripada kaum. Tetapi itu adalah fantasi. Pada realiti, politik Malaysia masih tegar dengan soal kaum.

Walaupun Umno dan PAS jelas menimbulkan isu Melayu dan Islam sejak BN kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu, tetapi PH gagal menangkis dan menanganinya. Akibatnya terdapat suasana tidak kemas dalam hubungan antara kaum, terutamanya Melayu-India.

Usaha kerajaan PH memperbaiki hubungan kaum, terutama antara orang Melayu dan India melalui konsep hak asasi manusia dan Rahmatan Lil Alamin tetap tidak dapat diterima oleh kebanyakan orang Melayu, malah termasuk kalangan sebahagian penyokong PH.

Kenyataan yang dianggap tidak sensitif pemimpin India PH, daripada Hindraf dan DAP, tidak dapat diterima oleh bukan saja penyokong BN, tetapi juga sebahagian penyokong PH dari PPBM, PKR dan Amanah.

Antaranya ialah isu Konvensyen Antarabangsa mengenai Pembasmian Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mula ditimbulkan oleh pemimpin DAP dan turut disokong PKR dieksploitasi sepenuhnya oleh Umno dan PAS walaupun kerajaan sejak dari awal menolaknya secara rasmi.

Oleh sebab itulah banyak orang Melayu yang menyokong PH turut mahukan Ramli menang dalam PRK itu supaya memberi pengajaran kepada DAP, PH dan kerajaan persekutuan. Perkara ini dapat dikesan dalam komen mereka di media sosial.

Tetapi para penyokong PH dalam kalangan orang Melayu sedar bahawa DAP merupakan parti utama dalam gabungan itu. Tanpa DAP, kekuatan PKR, PPBM dan Amanah tidak akan mencukupi untuk menghadapi BN.

Tetapi PH tidak boleh mengikut rentak perkauman yang digunakan oleh penyokong-penyokong Umno-PAS. Jalan yang dicari adalah bagaimana hendak mengukuhkan perpaduan kaum melalui urus tadbir baik kerajaan, tanpa menyentuh sensitiviti kaum.

Inilah cabaran besar bagi PH kerana kegagalan menanganinya boleh membawa kekalahan pada pilihan raya umum ke-15 kelak. Sebaliknya, bagi BN, kemenangannya di Cameron Highlands itu membuktikan strategi kerjasama Umno-PAS akan mendatangkan kejayaan.

Selepas ini, tumpuan akan diberikan pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih yang juga mempunyai penduduk majoriti Melayu. Kerjasama Umno-PAS akan juga digemblengkan. Cumanya kali ini, calon yang diletakkan adalah dari PPBM.

Umno-PAS dipercayai akan tetap menimbulkan isu berhubung Melayu dan Islam sepanjang penggal ini kerana ia terbukti berjaya di Cameron Highlands. Jika prestasi kerajaan PH tidak bertambah baik, penyokongnya juga akan lari dengan erasaan kecewa.

Walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan kaedah Umno-PAS, tetapi kekecewaan dan protes boleh mengalih angin.

Buat masa ini, Umno dan PAS mendapat semangat baharu untuk menjatuhkan PH. Sementara itu, DAP dan PH kena kembali ke kamar fikir untuk melakukan bedah siasat, makro dan mikro.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2019/01/28/kesan-berpanjangan-prk-cameron-highlands/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo