Kedah: Kerajaan Persekutuan Lulus 11 Projek Infrastruktur



ALOR SETAR – Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan telah meluluskan 11 projek infrastruktur untuk dilaksanakan dengan segera di seluruh Kedah.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata khabar gembira itu dimaklumkan kepadanya oleh kedua-dua kementerian tersebut melalui surat minggu lepas.

Katanya, antara projek yang diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ialah pembinaan Dewan Serbaguna di Pokok Sena; pembinaan semula Masjid Muadzam Shah, dewan serta kerja-kerja berkaitan di Kuala Nerang; dan pembinaan sebuah masjid di Changlun.

"Projek lain yang turut diluluskan ialah peruntukan tambahan khas bagi menyiapkan sebuah dewan orang ramai di Taman Gurun Jaya, Gurun; pelaksanaan kerja-kerja tanah runtuh di Taman Selasih, Kulim; kerja baik pulih dan naik taraf masjid dan surau di Kedah; pembinaan semula Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu; pembinaan Kompleks Perniagaan dan Bazar di Sungai Petani dan kerja baik pulih Masjid Permatang Gedong di Kuala Muda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata Kementerian Kewangan pula telah meluluskan projek "Off-River Storage" (ORS) Sungai Merbok untuk membina menara tangki dan mengganti paip air di Merbok dan Tanjung Dawai serta kerja baik pulih Masjid Al-Fateh di Bandar Baharu.

Katanya, projek-projek yang diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menggunakan peruntukan Projek Khas Unit Perancang Ekonomi yang disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri manakala projek baik pulih Masjid Al-Fateh akan diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah.

"Kesemua 11 projek ini akan dilaksanakan secara tender terbuka bagi memberikan nilai faedah terbaik dan penjimatan yang selaras dengan tatacara perolehan semasa yang berkuat kuasa tanpa menjejaskan kualiti kerja.

"Bagi mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kedah, saya berterima kasih di atas perhatian dan keprihatinan kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan untuk meluluskan projek yang dilihat akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat sekali gus menjamin kemakmuran negeri Kedah," katanya. – BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget