Kalau PAS perintah Malaysia


Oleh: Mohsin Abdullah
1 Jan 2019, 9:00

Imbas kisah lama masa saya kerja dengan Harakah dulu. Dua kali sebenarnya. Kali pertama bantu wujudkan Harakah Web TV. Lepas itu Harakah English. Bertugas di situ membuka peluang bertemu pemimpin dan ahli PAS. Ramailah juga.

Dan kesempatan itu kerap saya gunakan untuk bertanya kepada mereka apa sebenarnya Negara Islam yang PAS uar-uarkan. Jawapan yang saya peroleh samar-samar. Ramai yang bercakap mengenai konsep. Konsep negara berkebajikan, Islam untuk semua, macam-macam lagi, tapi tak ada yang jelas.

Maksudnya tidak ada yang beri gambaran jelas selain berkata PAS akan berlaku adil kepada semua bangsa dan agama. Dan PAS akan tadbir berdasarkan ajaran Islam dan berpandukan al-Quran. Namun rupa bentuk Negara Islam yang akan diwujudkan PAS tidak dihuraikan, tidak dilakar dengan jelas.

Ketika saya mengajukan pertanyaan, apa yang saya jangkakan ialah PAS mengemukakan contoh. Kalau tunjuk negara contoh lagi baik. Kesimpulan jawapan yang diterima, bagi saya, cuma “superficial”.

Pun begitu saya terus bertanya dan saya terus dapat jawapan yang sama. Lama kelamaan saya berhenti bertanya.

Bagaimanapun 27 Julai lalu pertanyaan saya dijawab. Lebih tepat lagi terjawab. Jawapan diberikan oleh pemimpin Pemuda PAS Fadhli Shaari ketika beliau bercakap pada satu forum di Shah Alam, bukanlah kepada saya secara langsung.

Fadhli berkata jika PAS menawan Putrajaya (maknanya memerintah Malaysia) ia akan menggunakan Kelantan sebagai rujukan mengurus perundangan khususnya yang membabitkan pentadbiran golongan minoriti dan aspek hiburan.

Bagi beliau Kelantan telah “berjaya mengimbangi undang undang syariah dan keperluan budaya golongan bukan Islam”.

Fadhli mengakui mentadbir sesebuah negeri berbeza dengan mentadbir negara tetapi “kami akan guna Kelantan sebagai rujukan dan seterusnya ambil langkah demi langkah”.

Dalam erti kata lain kalau mahu bayangkan bagaimana rupa bentuk Malaysia bawah pemerintahan PAS, tengok sahaja Kelantan.

Apa yang ada di Kelantan sekarang akan diadakan untuk Malaysia. Begitu jika ikut kata kata Fadhli.

Saya tidak akan sentuh mengenai dasar dan keberkesanan kerajaan Kelantan dalam mengurus tadbir negeri atau bincang sama ada ia kerajaan yang cekap dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan sebagainya. Itu semua memerlukan kajian terperinci dan mendalam.

Jadi yang dihuraikan di sini secara rambang ialah apa yang boleh dilihat dengan mata kasar, rupa bentuk fizikal.

Bagus atau tidak? Terpulang

Golongan minoriti iaitu orang bukan Islam dibenarkan buka restoran dan menyediakan makanan kegemaran mereka dan dibolehkan menjual arak. Restoran mereka bagaimanapun beroperasi di kawasan tertentu.

Tidak ada kedai judi berlesen.

Umat Islam diwajibkan mematuhi undang undang syariah.

Lelaki tidak boleh berseluar pendek walau pun ketika bersukan. Wanita wajib berhijab. Semua mesti tutup aurat.



Tidak ada konsert hiburan artis dalam atau luar negara selain persembahan nasyid dan yang berunsur keagamaan.


Tidak ada panggung wayang. Juga tidak ada hiburan yang dilihat sebagai ‘melalaikan’ termasuk karaoke, kelab malam.


Di kedai dan pasar raya ada kaunter khas buat lelaki dan wanita. Namun ada kawan saya memberitahu kaunter seperti itu “ macam tidak berfungsi lagi” di tempat dia tinggal di Tanah Merah. Waullahualam.


Saya sudah lama tidak ke Kelantan . Apa yang dihurai berdasarkan laporan media dan apa yang dimaklumkan oleh kawan kawan saya orang Kelantan.


Berdasarkan hujah Fadhli, bolehlah disimpulkan itu semua akan dilaksanakan di negara ini jika PAS memerintah Malaysia.


Adakah itu bagus atau tidak? Terpulang. Ada yang suka itu semua dan ada yang tidak suka. Di kalangan umat Islam sendiri itu perkara biasa. Walau apa pun rancangan atau perkara tentu ada yang setuju ada yang tidak.


Persoalannya ialah bilangan golongan mana yang ramai. Yang suka lebih ramai atau yang tak suka lebih ramai?


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget