Jadilah Melayu Yang Tidak Lupa



Oleh: Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Bertarikh: 25 Rabiul Akhir 1440 / 3 Januari 2019


Sabda Rasulullah S.A.W.:

(آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ (رواه البخاري ومسلم

“Tanda orang munafiq itu tiga: Apabila berjanji dia mungkiri, apabila dia bercakap dia bohongi dan apabila dia diberi amanah dia khianati”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Melayu yang beragama Islam berakhlak mulia sangat menjaga pesanan Rasulullah S.A.W. sehingga setiap janji yang diucapkan kebiasaannya akan menyebut dengan Insya-Allah, kerana kebimbangannya berkemungkinan ada halangan tidak dapat menunaikan janji. Apabila memungkiri janji dengan sendirinya berlaku bohong dan tidak amanah laksana mata rantai yang saling berkaitan.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) menjadi pengajaran bagi bangsa Melayu dalam menilai pemimpin yang mudah bercakap dengan lidahnya yang tidak bertulang: “Malam ini diisytiharkan menang, esok harga minyak diturunkan”. Laksana ucapan Almarhum Presiden Sukarno yang bergetar ucapannya mahu mengganyang Malaysia sebelum ayam jantan berkokok pada waktu pagi sewaktu penubuhan Malaysia yang terus tegak sehingga kini.

Ramai orang Melayu yang bertepuk tangan sehingga hampir bengkak jari jemarinya kerana mudah percayakan janji seperti ini. Tetapi sifatnya sejak azali mudah lupa. Sorak kemenangan pilihan raya menjadikannya lupa apa yang dilaungkan sebelumnya.

Maka yang paling kuat berucap dengan janji itu dikira paling layak menjadi pemimpin. Islam yang dianutinya sejak beberapa abad dilupakan, Rasulullah S.A.W. yang disambut maulidnya setiap tahun dengan gema selawatnya, hanya sekadar satu hari sahaja seperti mudah lupanya dengan janji yang kuat dilaungkan itu. Apatah lagi keimanannya kepada Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata dan didengari firman-Nya secara langsung dengan telinga yang dua lubangnya, mungkin masuk telinga kanan keluar ke telinga kiri atau akasnya.

Inilah sifat sebahagian bangsaku yang tercinta sehingga dapat diseret oleh kaum penyembah berhala, duit dan patung yang sedikit jumlahnya, tetapi lebih kaya duit daripadanya (tertipu dengan habuan dunia dan kemewahan). Ini kerana banyak duit dilihat dan dapat melihat berhala yang tercegak di hadapannya. Maka lupakan Allah yang tidak mampu dilihat dengan matanya, hanya disebut Tuhan Yang Maha Kaya, berdalilkan kejadian alam yang luas terbentang dan cerita benar musnahnya dunia yang mendurhakai-Nya. Tidak dipedulikan firman Allah:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14)

“Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah Engkau perhatikan bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Aad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk ‘Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya. (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di semua negeri (pada zamannya?). (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi Al-Qura iaitu tempat tinggalnya?). (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat). (14) (Surah Al-Fajr: 6-14)

Lebih percayakan media bohong yang diizinkan dengan undang-undang yang hendak diluluskan, lebih daripada kitab Allah yang wajib diimani, bersama amaran neraka dunia dan akhirat kalau mengkufurinya.

وَعَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ – رضي الله عنه -قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ: مَا مِنْ عَبْدِ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ، وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

“Tidak ada seorang hamba yang Allah memberikan kekuasaan kepadanya mengurusi rakyat, pada hari dia mati itu dia menipu rakyatnya, kecuali Allah haramkan syurga ke atasnya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kepada Melayu Muslim yang mudah lupa, tegakkan Islam bersama bangsa, selamat dunia akhirat. Andai tegakkan Melayu tanpa Islamnya terus lupa dan lalai.

Hanya reformasi bersama Islam sahaja yang akan menyelamatkan negara. Ingatlah amaran Allah:

سَوَاءٌ مِّنكُم مَّنْ أَسَرَّ الْقَوْلَ وَمَن جَهَرَ بِهِ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍ بِاللَّيْلِ وَسَارِبٌ بِالنَّهَارِ (10) لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ (11)

“Sama sahaja kepadanya: Sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang (10); Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu. Dan tiada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya”. (11) (Surah Ar-Ra’d: 10-11)

Adakah reformasi (yakni perubahan, tajdid dan islah) bersama janji berpandukan hidayah atau bertuhankan jibayah? Tepuk dada tanya iman, atau tepuk dada tanya selera.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG adalah Presiden PAS

Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget