NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Negara Islam: Patriot tolak cabaran ISMA


Oleh: Yasmin Ramlan

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menolak cabaran debat oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengenai isu 'Malaysia Negara Islam'.

'Malaysia Negara Islam' adalah kempen yang dilancarkan Isma yang menurut pertubuhan itu untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Presiden Patriot Mohd Arshad Raji berkata pihaknya menolak cabaran itu kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Ia hanya memperlihatkan orang Melayu ini sarat dengan perbalahan sesama sendiri mengenai agama yang dianuti," katanya kepada Malaysiakini.

"Kami tidak akan melayan mana-mana pihak yang kami fikir tidak terbuka dalam hal perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Islam sudah pun termaktub sebagai agama rasmi persekutuan dalam Perlembagaan kita. Tidakkah ini mencukupi?" soalnya lagi.

Semalam Isma mencabar Patriot dan kumpulan bekas penjawat awam (G25) - kedua-duanya membantah kempen itu - untuk berbahas mengenainya.

Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata perbahasan akan dibuat dalam konteks perlembagaan, sejarah dan syarak, dan memberi masa dua minggu kepada dua pihak itu untuk memberi maklum balas.

Sementara itu, G25 pula berkata pihaknya perlu mengetahui lebih lanjut tentang takrifan 'negara Islam' yang dicadangkan Isma dan seterusnya akan berbincang mengenai cabaran itu.
Mohd Sheriff Mohd Kassim
"Mereka perlu terus-terang apa maksudnya. Kalau kita faham apa maksudnya, kita akan buat (hujah) secara terperinci agar rakyat boleh tahu kenapa kita tak setuju," kata Penasihat G25 Mohd Sheriff Mohd Kassim.


Namun Sheriff berpendapat Isma sewajarnya menumpukan perhatian kepada masalah sedia ada seperti kemiskinan, penagiahn dadah, perkahwinan bawah umur dan kanak-kanak terabai.


Katanya lagi, konsep agama yang ditekankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dengan slogan Rahmatan Lil Alamin - rahmat ke seluruh alam - juga lebih baik untuk Malaysia.


"Itu juga konsep Islam dan kita boleh jadikan Malaysia negara (majoriti) Islam yang terpuji. 


"(Tetapi) itu semua kita tak ambil kira. Kita nak melabel, mendesak dan menghukum. Kalau kita buat seperti itu, memang Malaysia akan berpecah nanti," katanya lagi.


Kempen yang dilancarkan pada 26 Disember itu turut disertai petisyen 'menolak kerajaan sekular dan mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam' dan sehingga kini sudah mengumpulkan kira-kira 57,000 tanda tangan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo