Ibrah Al-Kahfi: Mencorak Masa Depan Akhirat





Oleh: Abdul Mu'izz Muhammad
4 Januari 2019.

Surah al-Kahfi mengajar kita agar sentiasa berfikir panjang. Segala implikasi kepada kezaliman kita semuanya akan diaudit di akhirat. Pedoman ini amat berguna, ketika kita melalui fenomena zaman manusia berfikir hanya menggunakan emosi. Apatah lagi masing-masing membuat penilaian berdasarkan untung rugi di dunia sahaja. Yang berfikir soal nasib di akhirat, akan dipandang kolot.

⚫ Ayat Ketiga Awal & Akhir.

Susunan tertib ayat di dalam al-Quran membawa mesej yang signifikan. Di dalam surah al-Kahfi, ayat ketiga menjelaskan betapa balasan Allah di akhirat bersifat kekal. Begitu juga ayat ketiga terakhir, Allah turut mengingatkan sesungguhnya ganjaran di akhirat kekal selama-lamanya.

مَّاكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا

"Mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya" - al-Kahfi 3.

خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلً

"Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak mahu berpindah darinya (syurga)" - al-Kahfi 108.

Berfikir Panjang.

Bahagian awal dan akhir surah al-Kahfi dimuatkan peringatan supaya utamakan nasib di akhirat. Tidak salah untuk mengambil dunia, tetapi al-Quran menjelaskan bahawa orang yang paling matang berfikir adalah orang yang memikirkan markahnya di akhirat.

Di ambang berlakunya kiamat, semakin ramai golongan 'dahriyyin' yang menganggap kononnya hidup ini sekadar di dunia sahaja. Sementara akhirat tidak wujud. Jika akhirat wujud sekalipun, mereka beranggapan ia bukanlah suatu perkara yang penting kerana Allah Maha Pengampun.

Pada tanggapan mereka, mana mungkin Allah akan menyeksa manusia semata-mata kerana sedikit kelalaian di dunia. Golongan 'dahriyyin' mengangkat slogan 'hidup hanya sekali', hingga terlupa bahawa mati pun sekali juga.

⚫ Kisah Menyesal Tidak sudah.

Allah juga merakamkan dua dialog kesal golongan 'dahriyyin'. Golongan yang pertama adalah mereka yang lalai lalu dihukum oleh Allah sewaktu mereka masih hidup di dunia:

وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا

"Dan dia berkata: "Aduhai alangkah baiknya jika dahulu aku tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun" - al-Kahfi 42.

Ayat di atas merupakan dialog orang yang diberikan kesenangan dunia lalu mengalami kelalaian yang dahsyat. Sehingga mendabik dada mengatakan kesenangan di dunianya tidak akan habis dibelanjakan dan tiada perhitungan Allah di akhirat. Lantas Allah menghancurkan kekayaannya lalu dia menyesal.

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

"Dan dikemukakan kitab (amalan), maka kamu akan melihat orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya. Lalu mereka berkata: "Aduhai celakalah kami, kitab apakah ini yang tidak tertinggal sedikit pun apatah lagi rekod yang besar, melainkan ia mencatat segalanya". Dan mereka dapati tertulis segala apa yang telah mereka amalkan. Dan Tuhanmu tidak menganiaya sesiapa pun" - al-Kahfi 49.

Ayat ini mengkhabarkan gelagat golongan yang kekal lalai di dunia, tidak mencermati soal syurga dan neraka. Lantas mereka mengalami kejutan yang dahsyat di akhirat. Mereka sama sekali tidak menyangka segala kesalahannya direkodkan oleh Allah tanpa tertinggal sedikit pun.

⚫ Sediakan Bekal Yang Kekal.

Di antara dua ayat berkenaan penyesalan golongan yang lalai seperti yang telah dijelaskan di atas, Allah menyelitkan pesanan agar kita jangan lupa mengumpulkan saham akhirat. Seakan-akan Allah memujuk kita, sememangnya kepentingan dan cita-cita kita di dunia banyak sekali. Namun janganlah lupa saham untuk akhirat.

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia. Tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk dicita-citakan" - al-Kahfi 46.

Allah Maha Memahami perangai hambanya. Lantas Dia menyediakan bagi kita cara untuk memanfaatkan nikmat dunia demi keuntungan saham akhirat. Nabi telah mewartakan 3 jenis amalan yang kekal sahamnya berpanjangan walaupun sesudah kita mati:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

"Apabila matinya anak Adam, semua amalannya terputus melainkan 3. Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaat dan anak soleh yang mendoakannya" - Hadis Riwayat Muslim.

3 amalan yang disenaraikan oleh Nabi, secara zahirnya kelihatan seakan-akan hanya menguntungkan orang lain. Sedekah memudahkan orang lain. Mengajar kelihatan memandaikan orang lain. Mendidik kelihatan mencorak masa depan orang lain. Namun hakikatnya, ketika kita membuktikan bahawa kita tidak mementingkan diri sendiri, lantas Allah memberi saham berkekalan untuk kita kerana amalan-amalan istimewa tersebut.

⚫ Orang Yang Berfikiran Panjang.

Jadilah kita orang yang menjadikan dunia untuk akhirat. Bukan seperti golongan dahriyyin yang hanya berfikir soal untung rugi di dunia semata-mata. Jika kita kaya, gunakan harta yang ada untuk Islam. Jika kita berilmu, budayakanlah ilmu dan usah kedekut berkongsi ilmu. Pada masa yang sama gigih melahirkan pelapis yang bakal berjasa untuk Islam. Sekurang-kurangnya mendidik anak cucu kita sendiri agar dengan doa mereka yang soleh, kita nyaman di sana.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget