NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FIFA 19: Luqman jadi pemain Malaysia pertama ke Kejohanan FUT


KUALA LUMPUR: Pemain kompetitif e-sukan FIFA 19 daripada pasukan Gamesbond, Muhammad Luqman Haziq Hajiman, 22, sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT).

Muhammad Luqman atau senang dikenali sebagai Fenrir dalam gelanggang maya berkata kemenangan tersebut memang di luar jangkaan memandangkan beliau ketika ini sedang menghadapi peperiksaan akhir semester di sebuah universiti tempatan.

“Corak permainan FIFA 19 sangat berbeza dan lebih sukar berbanding FIFA 18.

“Saya sempat berlatih tiga atau empat jam sehari pada beberapa bulan dahulu namun memandangkan saya sedang menduduki peperiksaan ketika ini, latihan terpaksa dikurangkan.

“Saya terpaksa bergantung kepada pengalaman dan skil dalam pusingan kelayakan untuk ke kejohanan FUT ini,” kata Fenrir yang kini menduduki semester lima jurusan kewangan di Universiti Malaya.

Fenrir berkata dia bersyukur atas kemenangan itu selepas pernah terkandas di final pusingan kelayakan ke kejohanan FUT.

“Saya sentiasa mahu percayakan kepada diri saya, tidak kisahlah apa orang lain cakap pasal saya,” jelasnya.

Nama Fenrir mula meningkat naik dalam arena e-sukan FIF8 sejak dia layak ke Piala Kejohanan (FUT) di Barcelona pada tahun lalu.

Fenrir sebelum ini memenangi kejohanan FIFA 18 MESL dan tempat kedua dalam kejohanan e-sukan Malaysia Cyber Games (MCG) 2018.

Bagi FIFA 19, Fenrir merupakan antara tujuh pemain Malaysia yang mendapat pengiktirafan penerbit e-sukan FIFA iaitu EA Sports untuk layak bertanding dalam pusingan kelayakan ini.

Setiap minggu, pemain-pemain FIFA 19 yang diiktiraf seluruh Asia dan Australia akan bertanding untuk mendapatkan slot ke Piala Kejohanan FUT.

EA Sports menggunakan pendekatan format yang berbeza bagi FIFA 19 dengan setiap pemain yang layak ke Piala Kejohanan FUT akan berpeluang untuk mengumpul mata sebelum ke Grand Final kejohanan FIFA eWorld Cup (FEWC).

Menurut Fenrir, jika beliau dapat memenangi Piala Kejohanan FUT pada bulan Mac nanti peluang bagi dirinya untuk ke FEWC adalah sebanyak 70 sehingga 80 peratus.

“Format terbaharu daripada EA Sports ini sebenarnya memberi peluang kepada pemain FIFA untuk mendapatkan slot beraksi di FEWC berbanding sebelum ini,” katanya.

FEWC merupakan kejohanan dunia FIFA yang dianjurkan EA Sports, mengumpulkan pemain-pemain terhebat dari seluruh dunia.

Pada tahun lalu, pemain Arab Saudi Mosaad Aldossary merangkul kejuaraan kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM1.6 juta.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-sukan/fifa-19-luqman-jadi-pemain-malaysia-pertama-ke-kejohanan-fut-195280

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo