NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr Suhazeli – Viral Rawatan Tulang Belakang AJAIB; Anda Tahu Apa Risikonya?

Begitu ramai yang mengaku boleh ubati sakit tulang belakang seperti rawatan betulkan slip disc yang disebarkan meluas melalui media sosial. Testimoni yang ditunjukkan itu menakjubkan dan ajaib sungguh. Dengan hanya gosok atau ketuk dan seumpamanya, kesakitan hilang ibarat mencabut semaian padi.

Saya tidak pasti apa mekanism yang berlaku sehingga begitu mujarab sekali! Kami di hospital berlainan kaedahnya. Doktor akan meneliti secara terperinci jika seseorang itu mempunyai masalah tulang belakang. Selain dari xray, mungkin ct-scan dan MRI akan digunakan untuk mengetahui punca penyakit serta menilai keparahan penyakit. Kemudian, barulah kami memberikan cadangan rawatan samada ubatan, fisioterapi atau pembedahan.

Maksudnya penelitian kami para doktor bukan hanya lima atau sepuluh minit! Tiada yang ajaib dan menakjubkan. Perawatan tulang belakang ini adalah lebih kepada rawatan mekanikal yang berlaku ke atas tulang belakang atau pelapik antara tulang belakang (disc). Jika berlaku tekanan, kerosakan pergerakan, disc tersembur keluar dan sebagainya, rawatan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati.


Rawatan pun berbeza mengikut jenis penyakit. Pakar tulang akan menilai secara terperinci sebelum sesuatu prosedur dijalankan. Bukannya terus menghentak atau memotong tanpa melihat kepada anatomi (Struktur dan kedudukan) tulang belakang itu. Anatomi sesuatu tulang yang rosak itu tidak boleh dibuat andaian atau agak-agak walaupun kita boleh merasai lokasinya.

Ini kerana di antara celah-celah tulang belakang itu tersirat saraf tunjang dan saraf yang menggerakkan tangan serta kaki manusia. Tersalah tekan boleh memparahkan lagi keadaan. Apatah lagi dengan menggunakan hentaman kuat seperti tukul, kayu blok dan sebagainya.


Mungkin telahan saya, ke’ajaib’an yang berlaku terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan dari bomoh tulang tradisional itu adalah bersifat sementara. Terasa lega setelah ditekan atau diketuk dan bernasib baik tidak mematahkan tulang temulang. Namun punca dan penyakit sebenar pesakit masih lagi berlegar di situ tanpa rawatan yang khusus. Sakitnya akan menjengah kembali pada satu tempoh yang tertentu.

Kebimbangan kami di sini adalah, andai ketukan itu kuat dan boleh mecederakan tisu sekeliling, meretakkan tulang dan menghimpit saraf, pesakit akan merana sepanjang hidup. Kemungkinan boleh berlaku lumpuh adalah satu risiko yang agak tinggi.

Namun terdapat para penyokong tegar perubatan tradisional ini memperli dan memperlekeh nasihat kami, dengan mengatakan ilmu doktor tidak sama dengan ilmu yang diperolehi oleh bomoh tradisional berkenaan. Ya, saya akui ilmu Allah itu luas dan apa salahnya penerangan yang jitu diberikan. Kita tidak mahu ianya bersifat mistik sehingga tidak boleh diberi penjelasan tuntas mengikut ilmu akal manusia. Andai kata jika ianya benar-benar ajaib dan hebat, sepatutnya mereka:

1) Bergabung “kepakaran” itu dengan pakar ortopedik (tulang) supaya masyarakat lebih ramai mendapat manfaat.

2) Membuka kelas-kelas ilmu resetting tulang kaedah Melayu ini kepada orang ramai atau doktor. Penting penyebaran ilmu ini kerana semakin ramai yang pandai, maka semakin ramai orang dapat manfaat. Bukan setakat sekitar kampung bomoh itu menginap sahaja tetapi ianya perlu dimanfaatkan keseluruh Malaysia. Tidak perlu lokek dengan ilmu. Saya terbuka dalam bab mencari ilmu ini.

Saya kira dua cadangan di atas hanya fatamorgana. Jika hanya pandai lukis atas belakang dan ketuk-ketuk tanpa mengetahui diagnosa sebenar penyakit samada tulang retak, disc terkeluar, disc menipis, saraf tersepit dan banyak lagi, memang mudah melakarkan lukisan.

Zaman sekarang ini anatomi boleh dilayar dalam youtube mahupun google sahaja. Tetapi punca dan nama penyakit harus dibuat pemeriksaan teliti oleh pakar dan dibantu oleh alat-alatan terkini seperti xray, CT Scan atau MRI. Tiada keajaiaban yang boleh digunakan untuk mengetahui perkara sebenar, kecuali menggunakan ilmu-ilmu ghaib.

Seruan saya, jangan mudah terpedaya dengan testimoni yang menakjubkan. Fikir dalam-dalam dan berbincanglah dengan ahli yang pakar dalam bab ini. Keputusan silap anda boleh menyebabkan sengsara sepanjang hidup dan banyak wang melayang nanti.

Sekian nasihat tanpa bayaran dari suhazeli.com

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo