NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin Ali dilantik pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan


PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Ia diumumkan dalam satu kenyataan oleh Unit Sekretariat, Bahagian Pemantauan & Penilaian, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, di bawah Arahan No 1, 2018 Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (berkuatkuasa 31 Okt, 2018), MTNg diwujudkan di setiap negeri sebagai badan utama peringkat negeri yang bertanggungjawab memastikan keputusan Majlis Tindakan Negara (MTN) di peringkat persekutuan dilaksanakan.

MTNg bertindak sebagai platform penyelarasan utama bagi keputusan dasar berkaitan penyelarasan perancangan, pemantauan dan pengesanan pelaksanaan dasar dan program/projek pembangunan serta inisiatif semasa kerajaan Persekutuan di peringkat negeri, menurut kenyataan itu.

Majlis itu akan bermesyuarat setiap suku tahun.

Bagi Kelantan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju melantik Mohamad Azmin sebagai pengerusi MTNg negeri itu.

"Bagi memastikan segala projek pembangunan yang dirancang untuk negeri Kelantan dapat berjalan dengan lancar, kerajaan Persekutuan amat berharap agar kerajaan Negeri memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Ini penting dalam memastikan usaha keras kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan fizikal dan insaniah ke seluruh jajahan di Kelantan akan dapat memberikan impak yang optimum kepada negeri dan rakyatnya," menurut kenyataan itu.

Komitmen kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan pembangunan Kelantan adalah jelas apabila ia diletakkan sebagai salah sebuah negeri yang diberi keutamaan dalam pengagihan peruntukan pembangunan sepertimana yang dinyatakan dalam Tonggak Ke III Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2018-2020).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo