NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

6 Ahli Parlimen keluar UMNO buat pusingan U


KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan keluar UMNO bulan lalu dijangka akan memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Difahamkan, mereka kembali semula ke dalam UMNO kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka di buat akhir bulan lalu.

Sumber parti memberitahu sudah ada perbincangan antara keenam-enam Ahli Parlimen itu dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Mereka sudah pun menyerahkan permohonan menjadi ahli parti kepada ibu pejabat minggu lalu,” katanya.

Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas itu, meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau ada mendengar khabar angin mengenai kemasukan semula enam Ahli Parlimen berkenaan.

Katanya, setakat ini, ibu pejabat belum menerima apa-apa permohonan daripada enam wakil rakyat itu untuk menjadi ahli.

“Dalam pengetahuan saya tiada permohonan daripada enam Ahli Parlimen berkenaan tetapi mungkin mereka ada buat permohonan mengikut bahagian memandangkan bahagian ada kuasa untuk memproses permohonan sebelum di hantar ke ibu pejabat.

“Dengan kata lain, bahagian yang akan menapis permohonan mereka yang mana didaftarkan secara dalam talian,” katanya kepada BH.

Ditanya sama ada UMNO akan menerima enam wakil rakyat itu, beliau berkata, UMNO bersikap terbuka namun kelulusan kemasukan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Kita terbuka untuk sesiapa saja masuk parti ini sama ada mereka daripada parti lawan, bekas ahli parti atau mana-mana individu yang tiada parti,” katanya.

Sementara itu, Ikhmal Hisham ketika dihubungi berkata, buat masa ini beliau belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Maaf, setakat ini belum ada keputusan untuk menyertai mana-mana parti,” katanya

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/01/520314/6-ahli-parlimen-keluar-umno-buat-pusingan-u

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo