3 Meter: Kita Atau Mereka Yang Perlu Diselamatkan?



KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PERUBATAN ISLAM MALAYSIA / ISLAMIC MEDICAL ASSOCIATION OF MALAYSIA (IMAM) BERSAMA GREEN CRESENT MALAYSIA (GCM)

3 METER: KITA ATAU MEREKA YANG PERLU DISELAMATKAN?

2 Januari 2019

Antara berita gembira yang dihadiahkan kepada rakyat Malaysia menjelang tahun baru 2019 adalah pewartaan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan komitmennya untuk melihat Malaysia Baharu yang lebih sihat dan ia tidak tunduk kepada bantahan pihak-pihak tertentu seperti Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/512833/tangguh-dulu-larangan-merokok-di-premis-makanan).

Ramai yang gembira dan menyokong tetapi ada yang sedikit pesimis dengan aspek penguatkuasaan undang-undang tersebut. Tinjauan yang dibuat di sesetengah tempat oleh satu akhbar tempatan telah mendedahkan bahawa perokok tidak menghiraukan larangan ini. (https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/01/514926/perokok-tegar-tak-hirau-larangan). Barangkali ini bukan sesuatu yang baru. Perjuangan memerangi rokok (dan juga dadah) sering tertumpu kepada aspek perundangan. Pendekatan seperti mengurangkan kawasan merokok, mengurangkan tempat pembelian rokok dan menaikkan duti eksais harga rokok di seluruh negara sudah lama diusahakan (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2015/06/59986/4-pendekatan-negara-bebas-rokok). Dari sudut kesedaran kesihatan mengenai bahayanya rokok, pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Di samping kempen menakut-nakutkan dari sudut perundangan dan tentunya kempen tentang bahayanya rokok itu dari segi kesihatan, adakah orang awam benar-benar memahami bahawa ketagihan rokok ini satu penyakit? Satu penyakit perubatan yang boleh dirawat. Kita khuatir mentaliti dan kefahaman ini masih kabur di kalangan rakyat lantas keluarlah kata-kata seperti, “aku boleh berhenti bila-bila sahaja”, “aku hanya merokok pada waktu-waktu tertentu sahaja”, dan “aku tidak gian seperti orang gian pada dadah heroin”. Kisah-kisah yang sering kita dengar bahawa ada yang boleh berhenti merokok begitu sahaja sebenarnya adalah satu pengecualian. Yang lebih ramai sebenarnya adalah yang cuba berhenti tetapi gagal. Lebih menyedihkan, yang berjaya berhenti setelah benar-benar dilanda masalah kesihatan yang meruncing.

Merokok tembakau adalah satu ketagihan. Nikotin di dalam tembakau apabila dijemput masuk ke dalam badan manusia dengan mudah sahaja akan sampai ke otak dan mengucar-ngacirkan kandungan dopamin dan noraderenalin (bahan kimia yang disebut neurotransmitter). Ketagihan berlaku disebabkan perubahan bahan- bahan kimia ini lalu manusia itu secara tidak sedar hanya tunduk kepada kemahuan euforia yang berulang-ulang. Sains perubatan dan psikiatri menyediakan rawatan yang sistematik untuk menangani gejala ini. Malahan pihak kerajaan juga menyediakan klinik-klinik berhenti merokok di Klinik Kesihatan seluruh negara. (http://www.infosihat.gov.my/index.php/direktori/klinik-berhenti-merokok/details) Kaunseling, terapi nikotin gantian dan ubat seperti varenicline tartrate merupakan rawatan yang absah dan berdasarkan bukti yang kuat. Natijah struktur perawatan sedia ada ini dikira cukup baik. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia
bekerjasama dengan 88 pusat perubatan swasta untuk menawarkan klinik berhenti merokok. Sebahagian besar kos rawatan disubsidi oleh kerajaan. (https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/356935/ministry-and-88-private-health-facilities-offer-quit-smoking-programme).

Yang menjadi persoalan adalah mengapa masih ramai yang tidak mahu ke klinik berhenti merokok? Mungkin ada sebab-sebab yang tidak diendahkan, dan ini perlu dikaji dan ditangani, atau mungkin, seperti yang dikhuatiri, masyarakat sendiri tidak berapa pasti bahawa perlukah tabiat merokok dirawat oleh doktor? Mungkin sudah tiba masanya, pihak Kementerian Kesihatan menambah baik promosi perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok ini mengatasi iklan rokok-rokok di pasaran? Di saat hangatnya sambutan “menjauhkan” perokok ini sejauh 3 meter, mungkin perlunya lebih sokongan kepada perokok ini untuk berhenti terus daripada merokok.

Pemusatan kepada aspek perundangan barangkali memberi satu elemen penyelesaian yang cepat dan popular. Rawatan pula, lebih-lebih lagi berkenaan penyakit ketagihan, adalah satu proses yang lama dan memerlukan kesabaran yang tinggi baik pada si perokok atau si perawat. Kami mendesak pelaburan untuk kempen anti-rokok disalurkan lebih banyak lagi kepada kempen kesedaran mendapatkan rawatan di samping penambahbaikan sistem rawatan sedia ada dengan pertambahan ubat-ubat terkini dan doktor-doktor yang terlatih dalam kaunseling ketagihan.

Kenyataan bersama oleh;

Dr. Zul Azlin Razali
Green Crescent Malaysia

Dr. Ahmad Munawwar Helmi
Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)

#gcm #greencrescentmalaysia #letsquitforgood #newyearresolution
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget