NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Pasangan Kembar Terima Anugerah Kecemerlangan PPSR Daerah Setiu

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 23 Disember- Sepasang kembar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Bidong, Muhammad Harith Iskandar Nazri dan Muhammad Syahmi Zulkirnain Nazri menerima Anugerah Kecermerlangan Peperiksaan Pentaksiran Sekolah Rendah(PPSR) di sini, semalam.

Keduanya juga memperolehi 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini.

Nazri Bahrom dan Masrina Hamzah, ibu-bapa pasangan kembar tersebut yang berasal daripada Kampung Lembah Bidong teruja dengan kejayaan si kembar dalam kedua-dua peperiksaan.

"Kami bangga dengan pencapaian kedua mereka, bahkan SK Lembah Bidong melahirkan tiga orang lagi murid yang cemerlang dalam PPSR, dan teramai bagi daerah Setiu,

"Rasa syukur sangat apabila kedua anak kami berjaya mendapat tempat ke Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) Bentong," ujar Masrina.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan PPSR Tahun 2018 Yayasan Terengganu Peringkat Daerah Setiu di Dewan Sivik Gong Terap.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shahrizukirnain Abd. Kadir.

Seramai 25 orang pelajar daripada 20 buah sekolah di Setiu menerima anugerah bersama ibu-bapa masing-masing. Setiap pelajar menerima sumbangan RM300 setiap seorang beserta sijil penghargaan bagi meringankan bebanan ibu-bapa untuk memulakan sesi persekolahan awal 2019.


Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kewangan Yayasan Terengganu, Hajah Noriah Jusoh; Ketua Penyelia i-MiTS Setiu, Ustaz Fauzi Muda; Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof; Penyelia i-MiTS DUN Langkap, Haji Hassan Karim dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Setiu (Kemanusiaan) Haji Rozalan Adam.


Sementara itu, Shahrizukirnain berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebahagian besar bajet 2019 untuk pendidikan.

"Di dalam sidang dewan rakyat baru-baru ini, saya telah mencadangkan agar sebuah Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) dibina di Setiu ini.

"Salah satu manifesto kita ialah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) yang akan dibuka di setiap daerah, bagi daerah Setiu InsyaAllah akan dibuka bermula awal tahun 2020", tambah beliau lagi.

PPSR bagi tahun 2018 yang diumumkan baru-baru ini meletakkan Daerah Setiu antara yang cemerlang dari segi pencapaian.

Sumber: https://www.teganukita.net/2018/12/pasangan-kembar-terima-anugerah.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo