NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Kad Sejahtera Sasar 20 Ribu Keluarga Miskin


Oleh: Safwan Syakir

KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan negeri mensasarkan kira-kira 20,000 keluarga untuk penggunaan percuma Kad Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM11 juta setahun bagi mengatasi masalah kesesakan tumpuan pesakit di hospital dan klinik kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Haji Alias Razak berkata, untuk itu kerajaan akan mengenalpasti klinik-klinik swasta yang bakal dijadikan panel bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan kad itu dengan nilai RM 500 setahun.

"Jika penggunaannya habis pada tahun semasa, kad baru akan diberi kepada keluarga berkenaan untuk tahun berikutnya, " ujar beliau.

Menurut Dr Haji Alias, kad sejahtera itu adalah satu kemudahan tambahan untuk rakyat Terengganu mendapatkan rawatan di klinik swasta secara percuma kepada golongan sasaran.

"Justeru, kerajaan menyasarkan sekitar 20,000 keluarga akan dapat manfaat daripada skim kad sejahtera ini, " katanya ketika bercakap di sebuah stesen radio di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, kerajaan tidak menafikan kemudahan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan yang sedia ada tidak mencukupi.

"Sebab itu kalau kita pergi ke hospital dan klinik kerajaan, pesakit terpaksa tunggu lama.

"Ini kerana kemampuan hospital untuk menampung keperluan pesakit itu, tidak seimbang maknanya pesakit terlalu ramai sedangkan kemampuan hospital dengan kakitangan dan kemudahan yang sedia ada terhad, " jelasnya.

Sebagai contoh katanya banjir kilat akan berlaku bila hujan terlalu lebat sekaligus longkang-longkang yang sedia ada tidak boleh menampung pengaliran air keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau tidak menyalahkan kakitangan kerajaan kerana mereka melaksanakan tugas dengan baik.

"Untuk itu bila kerajaan menyediakan kad sejahtera, sebahagian daripada golongan sasaran (berpendapatan rendah) tidak perlu pergi ke hospital atau klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

"Mereka boleh pergi ke klinik swasta dan caj itu akan dibayar oleh kerajaan melalui skim kad sejahtera inj, " jelas beliau lagi. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo