Tabung Haji pindah aset RM19.9b kepada Kementerian Kewangan


KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Lembaga Tabung Haji (TH) akan memindahkan asetnya bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan menjelang 31 Disember ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Pemindahan aset TH kepada Kementerian Kewangan adalah sebagai pertukaran kepada sukuk bernilai RM10 bilion dan saham Islamik bernilai RM9.9 bilion.

"Daripada aset yang akan dipindahkan ke SPV, 80 peratus daripada jumlah nilai itu terdiri daripada ekuiti, manakala hartanah menyumbang kira-kira 20 peratus.

"Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zukri berkata, pemindahan aset tidak menguntungkan itu akan selesai akhir tahun ini, dan sebaik saja pemindahan itu selesai, aset dan liabiliti TH akan seimbang.

Beliau menegaskan tidak ada transaksi tunai atau jaminan kerajaan terbabit dalam pelaksanaan itu, kerana SPV akan mengeluarkan sukuk yang tidak boleh didagangkan dalam tempoh tujuh tahun, dan akan dilanggan sepenuhnya oleh TH, bersama dengan RCPS-i tanpa tempoh matang atau dividen.
Walaupun tidak memberi maklumat terperinci mengenai aset yang akan dilupuskan, Zukri berkata, ianya termasuk tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dana minyak dan gas serta hotel.

Tabung Haji membeli tanah seluas 0.6 hektar di Tun Razak Exchange daripada 1MDB dengan bayaran RM188.5 juta pada tahun 2015 untuk membina menara kediaman – satu perjanjian yang mencetuskan bantahan awam pada masa itu kerana ia dilihat sebagai bayaran untuk menyelamat 1MDB.

Dengan berakhirnya pelaksanaan itu, TH dijangka memiliki aset bernilai RM77 bilion, termasuk melalui pengeluaran sukuk dan RCPS-i, untuk mengimbangi liabiliti RM77 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, dan membolehkannya terus membayar dividen kepada pendeposit.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/12/11/tabung-haji-pindah-aset-rm19-9b-kepada-kementerian-kewangan/
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget