NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabasun Model Perniagaan Melayu Muslim


Semasa menyertai misi ke Turki untuk membantu pelarian Syria baru ni, antara yang bersama dalam rombongan ialah seorang hartawan Islam yang hebat.

Beliau punya tiga cawangan hyper runcit yang menyaingi nama-nama besar seperti Giant, Mydin dan sebagainya.

Beliau ialah Tuan Che Salmi, atau lebih mesra dengan panggilan Abang Long.

Dan hyper runcit milik beliau, SABASUN, walaupun hanya ada di Terengganu, sangat dikenali oleh penduduk di sana.

Abang Long memulakan bisnes bersama dua orang beradik pada tahun 1995, tanpa ada pengalaman berniaga.

Mereka menceburi bisnes dengan membuka kedai dua pintu di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, sebelum ia berkembang menjadi hyper runcit pada tahun 2001, kemudian membuka cawangan kedua pada tahun 2010 di Gong Badak, dan cawangan Cheneh Kemaman pada tahun 2017.

Apa rahsia SABASUN boleh berjaya sebagai bisnes milik Melayu dan terus berkembang walaupun pernah dizalimi dan cuba dijatuhkan oleh monopoli bisnes lebih besar dan lama sejak tahun-tahun awal penubuhannya?

Rahsianya ada pada nama SABASUN sendiri, yang sebenarnya adalah singkatan perkataan SABAR dan BERSUNGGUH-SUNGGUH.

Bagi Abang Long, beliau menceritakan bahawa kejayaan beliau diasaskan dengan cara berjimat-cermat dan memberikan khidmat pelanggan yang terbaik.

Misalnya apabila ke SABASUN, beliau akan meletakkan kereta di tempat parkir yang jauh, supaya pelanggan dapat meletakkan kereta di kawasan yang dekat untuk memudahkan mereka.

Begitu juga jika ada barangan yang dibeli pelanggan pecah di luar pasaraya akibat kecuaian mereka, barang tersebut akan digantikan walaupun ia bukan tanggungjawab pasaraya.

Bagi saya, hasil berkenalan dengan Abang Long dalam tempoh singkat, dan melalui perkenalan pertama melalui whatsapp apabila beliau menyumbangkan ratusan ribu kepada Gaza, sebenarnya banyak rahsia lain boleh dicungkil :

1. Beliau merupakan seorang yang sangat merendah diri, kali pertama berjumpa ‘face to face’ di lapangan terbang, saya bertanya kawan-kawan yang mana satu Abang Long, lalu mereka tunjukkan kepada saya lelaki berambut panjang, berkopiah lusuh dan berseluar kembang; beliau datang dan bersalaman dengan saya lalu bertanya, Nadir Gaza eh?

Begitu juga sepanjang misi, beliau tidak mendamba layanan istimewa atau hotel lima bintang selayaknya yang diduduki para jutawan, tetapi tinggal dan makan bersama kami marhaen biasa.

2. Beliau sangat menekankan keberkatan dalam bisnes. Dalam usaha panjang dan penuh rintangan membangunkan bisnes, beliau enggan mengguna-pakai khidmat ‘kaki politik’.

Tahun 2010, sebaik membeli tanah untuk membuka cawangan pasaraya di Gong Badak, tanah tersebut cuba diambil oleh orang politik untuk diberikan ruang kepada pasaraya lain yang lebih besar dan terkemuka. Beliau terus bertegas dan mempertahankan haknya sehinggalah pihak tersebut berundur.

3. Begitu juga harta dan kelebihan yang diberikan Allah melalui bisnes digunakan seluasnya untuk ummah. Dalam perbincangan meja bulat isu Greece yang kami adakan di pejabat NGO Cinta Gaza Malaysia beberapa minggu lepas, beliau menghantar wakil tiga orang anaknya mewakili SABASUN apabila beliau sendiri tidak dapat hadir.

Anak beliau menyebut sekilas ratusan ribu yang telah disumbangkan untuk misi ke Yaman, sehinggakan saya terkejut kerana mereka baru sahaja menyumbang ratusan ribu lain ke misi Syria, Palu dan lain-lain.

Saya menyebutkan kepada anak beliau, SABASUN ini sebenarnya 50% sahaja bisnes, sedangkan 50% lagi adalah CSR projek untuk ummah.

4. Kelebihan lain SABASUN ialah mereka memahami apa yang mereka lakukan untuk menguatkan umat Islam, bukan memberi dan menyumbang untuk ditempel nama dan logo mereka di mana-mana.

Buktinya, SABASUN ialah satu-satu pasaraya yang memboikot 90% barangan yang menyumbang kepada Zionis Israel sejak tahun 2002, selain menyebarkan risalah menggalakkan kempen boikot dan membuka tabung Gaza secara berterusan.

5. SABASUN juga bersifat lokal, dengan menggunakan teknologi global. Mereka kini mempunyai 260 orang pekerja dan kesemuanya adalah bumiputra, kerana polisi yang digunakan adalah memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Mereka juga memasarkan sekitar 2000 produk daripada 200 orang pengeluar Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bermula kuih-muih, makanan ringan dan bahan mentah untuk memasak.

Berbanggalah warga Terengganu kerana mempunyai khazanah yang begitu besar sumbangannya kepada penduduk tempatan, kepada ummah dan kepada agama.

Mudah-mudahan lebih ramai lagi anak muda bangkit mencontohi semangat dan tauladan yang ditunjukkan oleh pihak SABASUN, agar ekonomi Islam dapat ditingkatkan dan menjadi sumber kekuatan baru untuk bangsa dan negara.

Sangat wajar SABASUN menjadi pilihan nombor satu penduduk Terengganu, selain pilihan pelancong juga menjadi mercu perniagaan yang penuh keberkatan.

Tahniah, SABAR dan SUNGGUH-SUNGGUH, dan teruslah maju jaya!

- Nadir Al-Nuri

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo