NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Royalti Minyak : Cerminkan Sifat Profesional Kerajaan Persekutuan


KUALA LUMPUR : Terengganu berharap Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan menghormati perjanjian Petronas dengan negeri- negeri pengeluar minyak dengan memberikan royalti 5 peratus tanpa sebarang diskriminasi kepada kerajaan negeri.

Jangan diulangi dasar Barisan Nasional di dalam pemerintahan Malaysia Baharu, menzalimi hak rakyat Terengganu sehingga mereka dinafikan pemberian royalti atau pemberian royalti tidak melalui kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat.

Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Dewan Negara ketika membahaskan Bajet 2019.

Katanya, Terengganu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Tun Mahathir dan Petronas kerana telah menjelaskan baki bayaran royalti bagi tahun 2018 secara berperingkat dan berharap bayaran penuh dapat dilunaskan seberapa segera.

"Sungguhpun begitu, Terengganu juga berharap royalti Terengganu dibayar dua kali setahun sebagaimana amalan sebelum ini.

"Bukannya dengan pembayaran sedikit demi sedikit yang akan menyulitkan urusan pengurusan kewangan negeri yang banyak bergantung kepada sumber bukan terima ini.

" Kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat meneruskan pembinaan projek infrastruktur jalan raya, tebatan banjir, hakisan pantai dan pendalaman muara sungai di negeri Terengganu," tegas beliau.

Nuridah menjelaskan bahawa penyelesaian segera amatlah diperlukan lebih-lebih lagi sekarang sudah mula musim tengkujuh.

Jelasnya, sudah menjadi kebiasaan waktu kini banjir di beberapa kawasan di Pantai Timur dan apabila pembangunan infra tersebut ditangguhkan, sudah pasti kosnya akan bertambah dari keadaan sedia ada.

Justeru beliau berpandangan, projek itu adalah di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran yang memerlukan peruntukan kewangan daripada kerajaan pusat.

"Kerajaan Negeri berharap program-program pembangunan di bawah pembangunan koridor pantai timur, di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dapat diteruskan dan diperkasakan.

" Putrajaya diharap tidak menganak-tirikan pantai timur daripada arus pembangunan ekonomi. Pembangunan infrastruktur yang dirancang di koridor pantai timur akan menyumbang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi yang lebih pesat dan berdaya saing.

" Saya terus berharap agar kerajaan Persekutuan membuat mempertimbangkan yang positif untuk meneruskan tiga projek infrastruktur berskala besar iaitu; Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3), East Coast Rail Link (ECRL) dan projek Pengawalan Hakisan Pantai.

" Perkara ini amat penting kepada warga Pantai Timur khususnya, dengan memastikan keuntungannya diperolehi rakyat dan pengurangan kebergantungan yang boleh menganggu gugat keselamatan negara di masa hadapan," ujar Nuridah lagi.

Beliau memaklumkan kepada sidang dewan, projek ECRL di Terengganu telah dimulakan dan sehingga kini sebanyak 3 terowong telah siap di bina.

Tambahnya, lagi menyedihkan kerja-kerja awalan seperti pengambilan tanah, infrastruktur asas dan penyediaan tapak telah dijalankan.

Maka ia memberi kesan besar kepada rakyat Terengganu yang telah memberi kerjasama dengan menyerahkan tanah kepada projek tersebut.

https://berita.pas.org.my/royalti-minyak-cerminkan-sifat-profesional-kerajaan-persekutuan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo